Social Icons

Isnin, 4 Julai 2016

PANDUAN SOLAT SUNAT HARI RAYA

Apa hukum solat sunat hari raya?

Solat sunat hari raya sama ada hari raya korban atau hari raya fitrah adalah sunat muakkad kerana Nabi s.a.w. tidak pernah meninggalkannya sejak mula disyari’atkan hinggalah baginda wafat.

Ke atas siapa disyariatkan?

Ia disyari’atkan ke atas semua golongan muslim yang mukallaf sama ada lelaki, wanita atau khunsa, muqim atau musafir, merdeka atau hamba. 

Bilakah ia mula disyariatkan?

Mula disyari’atkan pada tahun ke 2 hijrah. Solat hari raya yang pertama dilakukan oleh Rasulullah ialah bersempena hari raya fitrah pada tahun tersebut. 

Apakah dalil disyariatkan solat hari raya?

1) Firman Allah;

إِنَّا أَعْطَيْنَاكَ الْكَوْثَرَ، فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ، إِنَّ شَانِئَكَ هُوَ الْأَبْتَرُ
“Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang banyak (di dunia dan di akhirat). Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur). Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, Dia lah yang terputus (dari mendapat sebarang perkara yang diingininya)” (al-Kauthar: 1-3).

Berkata para ulamak; “Yang dimaksudkan dengan solat di dalam ayat di atas ialah solat ‘aidil-adhha (hari raya korban)”.

2) Diriwayatkan dari Abi Sa’id al-Khudri r.a. yang menceritakan; 

كَانَ النَّبِيُّ صَلّى الله عَلَيْهِ وَسَلّم يَخْرُجُ يَوْمَ الْفِطْرِ وَالأَضْحَى إلَى الْمُصَلَّى، وَأَوَّلُ شَيْء يَبْدَأُ بِهِ الصَّلاةَ، ثُمّ يَنْصَرِفُ فَيَقُومُ مُقَابِلَ النَّاسِ ـ وَالنَّاسُ عَلَى صُفُوفِهِمْ ـ فَيَعِظُهُمْ وَيَأْمُرُهُمْ
“Adalah Nabi s.a.w. keluar pada hari raya fitrah dan hari raya korban menuju ke tempat solat. Perkara pertama yang dilakukan oleh baginda ialah menunaikan solat. Kemudian baginda akan berdiri mengadap orang ramai yang masih berada dalam saf-saf mereka lalu ia memberi peringatan dan arahan kepada mereka” (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim).

Bilakah masuknya waktu untuk menunaikan solat hari raya?

1. Menurut mazhab Syafi’ie; bermula waktu solat sunat hari raya ialah apabila terbitnya matahari pada hari raya dan berakhir apabila tergelincir matahari dari tengah langit (yakni masuk waktu zohor). Namun waktu terbaik ialah ketika matahari telah naik dengan kadar segalah atau dua galah. Kadar segalah (الرمح) ialah tiga meter pada pandangan mata iaitu lebih kurang 30 minit selepas matahari terbit. (Rujuk: al-Fiqhul-Wadhih, Dr. Muhammad Bakar Ismail, jil. 1, hlm. 266).

2. Para ulamak yang lain berpandangan; masanya bukan bermula dari terbit matahari tetapi bermula dari ketika matahari naik segalah dan berterusan hingga waktu rembang (وقت الظهيرة) iaitu ketika matahari tepat di atas kepala (yakni lebih kurang 20 minit sebelum matahari tergelincir dari tengah langit atau masuknya waktu zohor), iaitu masa yang sama dengan solat dhuha. Ini kerana waktu terbit matahari adalah saat dilarang mengerjakan solat kerana dikhuatiri menyerupai para penyembah matahari. Begitu juga waktu dari matahari rembang (وقت الظهيرة) hingga tergelincirnya. Larangan ini sabit dengan hadis dari ‘Uqbah bin ‘Amir al-Juhaniy r.a. yang menceritakan;
ثلاثُ ساعاتٍ كانَ رسولُ اللَّهِ صلَّى اللَّهُ عليهِ وسلَّم يَنهانا أنْ نصلِّي فيهنَّ أو نقبرَ فيهنَّ موتانا: حينَ تطلعُ الشَّمسُ بازغةً حتى ترتفعَ، وحينَ يقومُ قائمُ الظهيرةِ، حتىّ تميلَ، وحينَ تَضَيَّفُ الشمس للغروبِ حتىّ تغربَ
“Tiga waktu di mana Rasulullah s.a.w. melarang kami mengerjakan solat padanya atau mengkebumikan jenazah-jenazah kami pada waktu tersebut (*maksudnya; menunaikan solat jenazah), iaitu; ketika matahari terbit sehinggalah ia meninggi (*dengan kadar segalah), ketika matahari rembang (*yakni betul-betul di atas kepala) hinggalah ia condong (*yakni masuk waktu zohor) dan ketika matahari condong untuk jatuh (*yakni selepas waktu asar) hinggalah terbenamnya”. (Riwayat Imam Muslim).
(Rujuk: al-Fiqhul-Islami wa Adillatuhu (2/366), al-Fiqhul-Wadhih (1/267), al-Fiqhul Muyassar (hlm. 172)).

3. Disunatkan imam menyegerakan solat hari raya korban dan melewatkan sedikit solat hari raya fitrah. Ini kerana menyegerakan solat hari raya korban dapat memanjangkan waktu bagi melaksanakan ibadah korban (kerana binatang korban sunat disembelih setelah imam selesai solat hari raya). Adapun melewatkan solat hari raya fitrah dapat memberi lebih masa kepada kaum muslimin membayar zakat fitrah (kerana zakat fitrah afdhal dikeluarkan sebelum solat hari raya). 

Mana paling baik; menunaikan solat hari raya di masjid atau di tanah lapang?

Menjadi sunnah Nabi s.a.w. menunaikan solat hari raya di tanah lapang jika dapat berbuat demikian tanpa sebarang kesukaran atau tegahan seperti hujan, cuaca terlalu sejuk dan sebagainya. Ini sebagaimana yang diceritakan oleh Abu Sa’id al-Khudri r.a.;

كَانَ النَّبِيُّ صَلّى الله عَلَيْهِ وَسَلّم يَخْرُجُ يَوْمَ الْفِطْرِ وَالأَضْحَى إلَى الْمُصَلَّى...
“Adalah Nabi s.a.w. keluar pada hari raya fitrah dan hari raya korban menuju ke mushalla (tempat menunaikan solat)….” (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim). 

Mushalla (tempat solat) tersebut menurut ulamak adalah satu kawasan lapang yang terletak di hujung Madinah berhampiran al-Baqi’. (Lihat; al-Fiqhul-Wadhih, jil. 1. hlm. 267). Imam Ibnul-Qayyim dalam Zadul-Ma’ad menyatakan; “Nabi s.a.w. tidak pernah menunaikan solat hari raya di masjidnya kecuali sekali sahaja iaitu ketika hujan turun…”. (Zadul-Ma’ad, 1/441).

Menurut jumhur ulamak; menunaikan solat sunat hari raya di kawasan lapang lebih afdhal dari menunaikannya di masjid kerana mengikut sunnah Nabi tersebut. Namun menurut mazhab Syafi’ie; Menunaikan solat hari raya di Masjid adalah lebih afdhal kecuali jika masjid sempit, maka ketika itu barulah afdhal ditunaikan solat di kawasan lapang. Nabi s.a.w. menunaikan solat hari raya di kawasan lapang kerana masjid baginda sempit, tidak mampu menampung semua jamaah.

Adakah disyari’atkan azan untuk solat sunat hari raya?

Tidak disunatkan azan dan juga iqamah sebelum menunaikan solat hari raya, akan tetapi dilaungkan seruan; (الصلاة جامعة) (maksudnya; marilah menunaikan solat berjamaah). Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan dari Ibnu ‘Abbas dan Jabir bin ‘Abdillah r.a. yang menceritakan;

لَمْ يَكُنْ يُؤَذَّنُ يَوْمَ الْفِطْرِ وَلاَ يَوْمَ الأَضْحَى.
“Tidaklah dilaungkan azan (untuk solat hari raya) pada hari raya fitrah dan juga hari raya korban”. 

Adakah sunat dilakukan berjamaah? Bagaimana jika dilakukan bersendirian?

Solat hari raya sunat dilakukan secara berjamaah (di masjid atau di tanah lapang) berdasarkan banyak hadis-hadis yang soheh dan masyhur serta menjadi ijmak para ulamak. Namun jika seseorang melakukan solat hari raya secara bersendirian dirumahnya atau di tempat lain, adalah sah. Jika dilakukan solat hari raya secara bersendirian, tidak perlu berkhutbah (al-Majmu’, 5/31).

Berapakah bilangan rakaat solat sunat hari raya?

Bilangan rakaat solat sunat hari raya ialah 2 rakaat dengan disepakati oleh sekelian ulamak. Diriwayatkan dari Umar r.a. yang menceritakan;

صلاة السفر ركعتان وصلاة الأضحى ركعتان وصلاة الفطر ركعتان وصلاة الجمعة ركعتان تمام من غير قصر على لسان محمد صلى اللَّه عليه وسلم
“Solat ketika musafir adalah dua rakaat, solat hari raya korban adalah dua rakaat, solat hari raya fitrah adalah dua rakaat dan begitu juga solat Jumaat adalah dua rakaat di mana (semua bilangan rakaat itu) adalah bilangan rakaat yang sempurna, bukan qasar (pendek) berdasarkan kepada apa yang disabdakan oleh Nabi Muhammad s.a.w.”. (Riwayat Imam Ahmad, an-Nasai dan Ibnu Majah. Hadis ini soheh menurut Imam Nawawi)

Bagaimana caranya mengerjakan solat sunat hari raya?

1. Syarat-syarat, rukun-rukun dan sunat-sunat bagi solat hari raya adalah sama seperti solat yang lain kecuali beberapa sunat tambahan yang akan dijelaskan nanti. 

2. Hendaklah diniatkan di dalam hati ketika takbiratul-ihram; untuk mengerjakan solat sunat ‘idil-fitri atau solat sunat ‘idil-adhha (yakni hendaklah ditentukan salah satu darinya di dalam hati).

3. Setelah takbiratul-ihram, baca doa iftitah sebagaimana biasa. Setelah itu disunatkan bertakbir sebanyak tujuh kali pada rakaat pertama dan lima kali pada rakaat kedua. Selesai dari takbir-takbir tersebut, barulah membaca isti’azah dan seterusnya surah al-Fatihah. 

Diriwayatkan dari Kathir bin ‘Abdullah yang meriwayatkan dari bapanya yang meriwayatkan dari datuknya (‘Amru bin ‘Auf al-Anshari r.a.) yang menceritakan;

أن النبي صلى اللَّه عليه وآله وسلم كبر في العيدين في الأولى سبعاً قبل القراءة وفي الثانية خمساً قبل القراءة
“Sesungguhnya Nabi s.a.w. bertakbir di dalam solat dua hari raya (yakni ‘Aidil-Adhha dan ‘Aidil-Fitri); pada rakaat pertama sebanyak tujuh kali sebelum membaca Fatihah dan pada rakaat kedua sebanyak lima kali sebelum membaca Fatihah”. (Riwayat Imam at-Tirmizi. Menurut Imam at-Tirmizi; hadis ini hasan)

4. Semasa bertakbir sunat dijelaskan suara dan diangkat tangan. Begitu juga, sunat selepas setiap kali takbir tangan kanan diletakkan di atas tangan kiri di bawah dada iaitu sama sebagaimana selepas takbiratul-ihram.
5. Di antara dua takbir sunat berhenti seketika untuk berzikir dengan bertahlil, bertahmid, bertasbih dan bertakbir. Lafaz zikir yang paling baik ialah;

سبحان الله والحمد لله ولا إله إلا الله أكبر
“Maha suci Allah, segala puji bagi Allah, Tiada Tuhan melainkan Allah, Allah maha besar”.

Menurut Imam Ibnul-Qayyim; tidak terdapat zikir tertentu dari Nabi s.a.w. di antara takbit-takbir tersebut. Namun terdapat riwayat bahawa Ibnu Mas’ud r.a. menyarankan supaya bertahmid kepada Allah, memujinya dan berselawat ke atas Nabi s.a.w. (di antara takbir-takbir itu)..”. (Zadul-Ma’ad, 1/443).

Menurut Imam Syafi’ie, makruh hukumnya jika seseorang membaca takbir-takbir tadi secara bersambungan tanpa diselangi dengan membaca zikir di antaranya (al-Majmu’, 5/23). 

6. Selepas membaca al-Fatihah, disunatkan membaca surah Qaf pada rakaat pertama dan surah al-Qamar (اقتربت الساعة) pada rakaat kedua atau membaca surah al-A’la pada rakaat pertama dan surah al-Ghasyiyah pada rakaat kedua. Imam atau orang yang bersolat sendirian disunatkan menjelas atau menguatkan suara ketika membaca al-Fatihah dan juga surah-surah atau ayat-ayat selepasnya.

عَنْ عُبَيْدِ اللهِ بْنِ عَبْدِ اللهِ: أَنَّ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ سَأَلَ أَبَا وَاقِدٍ اللَّيْثيَّ: مَا كَانَ يَقْرَأُ بِهِ رَسُولُ اللهِ -صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ- فِي الأَضْحى وَالْفِطْرِ؟ فَقَالَ: كَانَ يَقْرَأُ فِيهِمَا بِـ{ق وَالْقُرْآنِ الْمَجِيدِ} و{اقْتَرَبَتِ السَّاعَةُ وَانْشَقَّ الْقَمَرُ}
Diriwayatkan dari ‘Ubaidillah bin ‘Abdillah menceritakan; “Umar bin al-Khattab r.a. telah bertanya kepada Aba Waqid al-Laithi; ‘Surah yang dibaca oleh Rasulullah di dalam solat hari raya korban dan hari raya fitrah?’. Abu Waqid menjawab; “Baginda membaca dalam solat kedua-dua hari raya itu; (ق وَالْقُرْآنِ الْمَجِيدِ) (yakni surah Qaf; pada rakaat pertama) dan (اقْتَرَبَتِ السَّاعَةُ وَانْشَقَّ الْقَمَرُ) (yakni surah al-Qamar; pada rakaat kedua)”. (Riwayat Imam Muslim)

Dan diriwayatkan dari an-Nu’man bin Basyir r.a. menceritakan;

كَانَ رَسُولُ اللهِ -صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ- يَقْرَأُ فِي الْعِيدَيْنِ وَفِي الْجُمُعَةِ بِـ: {سَبِّحِ اسْمَ رَبِّكَ الأَعْلَى} وَ{هَلْ أَتَاكَ حَدِيثُ الْغَاشِيَةِ}
“Adalah Rasulullah s.a.w. membaca di dalam solat dua hari raya dan di dalam solat jumaat (سَبِّحِ اسْمَ رَبِّكَ الأَعْلَى) (yakni surah al-A’la; dalam rakaat pertama) dan (هَلْ أَتَاكَ حَدِيثُ الْغَاشِيَةِ) (yakni surah al-Ghasyiyah; dalam rakaat kedua)” (Riwayat Imam Muslim).

7. Setelah memberi salam, Imam hendaklah menyampaikan khutbah kepada makmum dan makmum sunat mendengarnya. (Hukum-hakam tentang khutbah akan diterangkan nanti).

Apa hukum meninggalkan takbir-takbir tambahan tadi?

1. Takbir-takbir tersebut adalah sunat hai-ah (bukan sunat ab’adh). Maka jika ditinggalkan –keseluruhan atau sebahagiannya- tidaklah membatalkan solat dan tidak perlu sujud sahwi. Namun makruh meninggalkannya dengan sengaja. 

2. Jika seseorang terlupa membaca takbir-takbir itu dan ia hanya mengingatinya setelah mula membaca al-Fatihah, tidak disunatkan dia berpatah-balik untuk membacanya. Dalam pengertian lain; sunat takbir itu tamat apabila telah mula membaca surah al-fatihah sekalipun belum sempurna. Namun jika ia mengingatinya selepas membaca ta’awwudz (yakni sebelum ia membaca al-fatihah), sunat ia berpatah balik untuk membaca takbir-takbir itu.

3. Jika seseorang mula mengikut imam ketika imam sedang membaca surah fatihah atau imam telah selesai melakukan takbir-takbir tadi atau sebahagiannya, ia tidak perlu melakukan/mengganti takbir yang luput/tertinggal itu kerana kedudukannya hanyalah umpama zikir yang disunatkan sebagaimana doa iftitah yang tidak perlu diganti atau diqadha apabila terluput/tertinggal. Dan jika ia mula mengikuti imam pada rakaat kedua, maka ia hendaklah mengikuti bilangan takbir imam (iaitu lima kali), kemudian setelah bangun berdiri di rakaat kedua (setelah imam memberi salam), hendaklah ia bertakbir lima kali juga (bukan tujuh kali).

Khutbah hari raya

Apa dalil disyariatkan khutbah untuk solat hari raya?

Diriwayatkan dari Abi Sa’id al-Khudri r.a. yang menceritakan; 

كَانَ النَّبِيُّ صَلّى الله عَلَيْهِ وَسَلّم يَخْرُجُ يَوْمَ الْفِطْرِ وَالأَضْحَى إلَى الْمُصَلَّى، وَأَوَّلُ شَيْء يَبْدَأُ بِهِ الصَّلاةَ، ثُمّ يَنْصَرِفُ فَيَقُومُ مُقَابِلَ النَّاسِ ـ وَالنَّاسُ عَلَى صُفُوفِهِمْ ـ فَيَعِظُهُمْ وَيَأْمُرُهُمْ
“Adalah Nabi s.a.w. keluar pada hari raya fitrah dan hari raya korban menuju ke tempat solat. Perkara pertama yang dilakukan oleh baginda ialah menunaikan solat. Kemudian baginda akan berdiri mengadap orang ramai yang masih berada dalam saf-saf mereka lalu ia memberi peringatan dan arahan kepada mereka” (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim).

Adakah khutbah dilakukan sebelum solat atau selepasnya?

Khutbah hari raya hendaklah dilakukan selepas solat hari raya. Ia berbeza dengan khutbah jumaat yang dilakukan sebelum solat jumaat. Jika khutbah hari raya itu dilakukan terdahulu dari solat sunat hari raya, maka khutbah itu tidak dikira dan sunat diulang semula selepas solat. 

Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan dari Abdullah bin Umar r.a. yang menceritakan;

كان رسول الله صلى الله عليه وسلم وأبو بكر وعمر رضي الله عنهما، يصلون العيدين قبل الخطبة.
“Adalah Rasulullah s.a.w., Abu Bakar dan Umar r.a. menunaikan solat sunat dua hari raya sebelum khutbah”. 

Ibnu ‘Abbas r.a. juga menceritakan;

شَهِدْتُ صَلاَةَ الْفِطْرِ مَعَ نَبِيِّ اللهِ -صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ- وَأَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ، فَكُلُّهُمْ يُصَلِّيهَا قَبْلَ الْخُطْبَةِ، ثُمَّ يَخْطُبُ
“Aku menghadiri solat hari raya Fitrah bersama Nabi s.a.w., Abu Bakar, Umar dan Usman di mana semua mereka menunaikan solat terlebih dahulu, kemudian baru berkhutbah”. (Riwayat Imam Muslim).

Adakah khutbah hari raya disunatkan dua khutbah sebagaimana khutbah jumaat?

Menurut mazhab Syafi’ie; disunatkan dua khutbah sebagaimana khutbah jumaat (yakini dipisahkan antara keduanya dengan duduk seketika). Dalilnya ialah; kias kepada khutbah jumaat. Berkata Syeikh Taqiyyuddin Abu Bakr al-Husni; khutbah sebanyak dua kali pada hari raya adalah dikiaskan kepada khutbah jumaat. Tidak ada hadis yang sabit mengenainya menurut beliau. (Rujuk: Kifayatul-Akhyar, hlm. 150). 

Apakah rukun-rukun khutbah bagi khutbah hari raya?

Menurut mazhab Syafi’ie; rukun-rukun khutbah hari raya sama sepertimana khutbah Jumaat, iaitu;

a) Memuji Allah (yakni mengucapkan al-Hamdulillah) dengan sebarang bentuk pujian.
b) Berselawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. dengan sebarang bentuk selawat.
c) Memberi pesanan dengan takwa
d) Membaca sepotong ayat dari al-Quran pada salah satu dari dua khutbah.
e) Membaca doa untuk sekelian kaum muslimin dalam khutbah kedua.

Apakah perkara lain yang disunatkan dalam khutbah hari raya?

Menurut mazhab Syafi’ie;

1. Disunatkan imam memulakan khutbah pertama dengan bertakbir (yakni melaungkan Allahu-Akbar) sembilan kali dan memulakan khutbah kedua dengan bertakbir tujuh kali. Dari ‘Ubaidillah bin ‘Abdillah bin ‘Utbah r.a. yang menceritakan;

السنة أن تفتتح الخطبة بتسع تكبيرات تترى والثانية بسبع تكبيرات تترى (*تترى : متتالية)
“Menjadi sunnah memulakan khutbah pertama dengan sembilan kali takbir yang berturut-turut dan memulakan khutbah kedua dengan tujuh kali takbir yang berturut-turut” (Riwayat Imam al-Baihaqi).

2. Dalam khutbah hari raya fitrah, imam disunatkan memperingatkan hadirin tentang kewajipan zakat fitrah dan di dalam khutbah hari raya korban, disunatkan ia memperingatkan mereka tentang ibadah korban.

Apa hukum mendengar khutbah hari raya?

Mendengar khutbah adalah sunat. Khutbah dan begitu juga mendengar khutbah bukanlah syarat bagi sahnya solat hari raya. Namun begitu, jika seseorang (yang menghadiri solat hari raya) tidak mendengar khutbah hari raya atau bercakap-cakap ketika khutbah disampaikan atau meninggalkan majlis tanpa menunggu khutbah, maka hukumnya adalah makruh. 

Wallahu a’lam.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text