Social Icons

Isnin, 3 Julai 2017

Sedutan Khutbah Raya Aidil Fitri GISBH

Marilah kita bersyukur kepada Allah SWT kerana telah mengurniakan nikmat dapat berpuasa dan beribadah di bulan Ramadhan tahun ini. Marilah juga kita bersyukur kerana pagi ini kita dapat bertakbir bertahmid serta menunai solat sunat Aidil Fitri. Ini semua adalah belas kasihan Allah kepada kita dengan keberkatan para kekasih Allah.

Sebagai bukti syukur kita kepada Allah SWT, di pagi raya yang mulia ini, marilah kita kuatkan azam dengan keyakinan yang lebih untuk terus berjuang bagi pihak Allah dan RasulNya, untuk menegakkan sistem hidup Islam sekali gus menumpaskan apa juga cara hidup selainnya.

Sistem hidup Islam yang kita lagangkan ini mesti berlaku pada bila-bila masa sahaja dan dimana-mana pun jua. Sistem ini adalah sistem yang ada mata rantainya. Ia tidak putus bahkan saling terhubung, saling kait mengait. Apa yang penting setiap orang daripada kita mestilah memahami bahawa kita termasuk dalam sistem ini secara otomatik. Justeru itu apabila kita berhari raya, ziarah menziarahi, kita tetap tidak terpisah dari sistem ini. 

Islam menyruh kita masuk dalam sistem ini secara kaffah atau keseluruhan. Firman Allah di dalam Al-Quran: "Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu di dalam agama Islam secara keseluruhan. Dan janganlah kamu mengikuti jejak langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu untuk kamu adalah musuh yang jelas.!!" -  Al-Baqarah ayat 208.

Hakikatnya kita mahu berhari raya dalam keadaan hati kita terus dipandu dan di pimpin untuk kekal rasa tidak layak berhari raya, untuk kekal rasa bersalah, rasa sedih dengan pemergian Ramadhan, rasa gagal menghayati Ramadhan, rasa berdosa kerana masih ada rasa berbuat amal kebaikan dan rasa cemas dengan nikmat berhari raya pada hari ini sedangkan kita merasakan memang kita tidak layak berhari raya. Jadi dalam kita menziarahi, bermaaf-maafan, bertemu rakan taulan serta sanak saudara, kita mesti menjadi contoh dan model kepada masyarakat.

Apa yang lebih penting semasa hari raya ini, ialah kita hendak pastikan semua anak-anak kita kekal terkepung dalam sistem hidup berTuhan yang di amanahkan kepada kita untuk memperjuangkannya.

Hendaklah diingat bahawa tidak ada kompromi dalam soal ini. Mana boleh kita biarkan anak isteri hanyut dalam suasana lalai, lagha dan merosakkan jiwa mereka. Kita kena bertanggung jawab tentang pendidikan anak-anak dan berhati-hati ketika berhari raya bersama keluarga.

Sebab itu, kita sendiri kena kuat keyakinan terhadap sistem hidup Islam. Sistem ini tidak ada galang gantinya. Ketegasan kita itulah nilai kita di sisi Tuhan. Jika kita lemah keyakinan, pastilah ini semua tak akan boleh dipertahankan. Hasilnya anak kita yang sudah lama terdidik terasuh dengan sistem hidup Islam di asrama, boleh dirosakkan walau hanya sehari dua di rumah keluarga di kampung. Rancangan TV yang merosakkan, pergaulan bebas antara sesama sepupu dan sebagainya boleh mencarikkan sistem hidup Islami yang sekian lama kita asuh pada anak-anak kita diasrama.

Inilah yang membimbangkan kita bila kita pulang berhari raya membawa anak isteri bertemu keluarga. Sebab itu harus diingat jika kita tidak serius dalam soal ini ertinya kitalah yang menggagalkan cita-cita perjuangan. Ingatlah, perjuangan menegakkan sistem hidup berTuhan ini adalah perjuangan hidup mati kita. Mana boleh ianya dirosakkan oleh tangan-tangan kita sendiri!

Sebagai pejuang, kita memikul amanah sebagai duta Allah dan rasul di mana sahaja kita berada. Hakikatnya apa saja yang kita lakukan, semuanya dikaitkan dengan kedudukan kita sebagai golongan yang ada cita-cita Islam. Jadi apabila kita pulang berhari raya bertemu dengan  kaum kerabat serta keluarga di kampung, perkara-perkara berikut perlu di beri perhatian serius iaitu;

1)    Mesti pertahankan bersiap awal sebelum solat dengan selawat
2)    Mesti pertahankan solat berjemaah
3)    Mesti pertahankan bangun awal menghidupkan malam
4)    Mesti tegas dalam soal syariat. Pertahankan syariat secara berhikmah.
5)    Mesti berpada-pada dalam soal makan minum – jangan membazir, jangan gelojoh, jangan tamak haloba.
6)    Mesti berakhlak mulia, menjaga tutur kata – jangan ikut mengumpat yang menjadi kebiasaan dalam masyarakat umum.
7)    Mesti berkasih sayang – perhatikan ahli keluarga yang tersisih, miskin dan perlukan perhatian. Berusahalah membantu – paling tidak, kita  beri nasihat atau panduan agar mereka dapat Tuhan sebagai pengubat kedukaan.
8)    Mesti hormat menghormati dan bertolong bantu. Kitalah yang perlu lebih banyak membantu dan rajin menolong.
9)    Mesti mengawal tingkah laku anak-anak kita agar kekal berdisiplin.

Akhir sekali marilah kita berdoa moga-moga kita dipanjangkan umur hingga direzekikan lagi dapat bertemu Ramadhan pada tahun hadapan.

Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim, dengan keberkatan Rasulullah SAW, para sahabat dan kaum keluarga Baginda, kita menadah tangan di pagi Syawal yang mulia ini - memohon kepadaMu agar  Kau kurniakanlah rahmat dan keampunanMu serta tinggikanlah makam kemuliaan di sisiMu untuk para pemimpin dan guru-guru kami.

Kami memohon padaMu Ya Allah, agar pimpinlah dan bantulah mereka dalam mendidik kami dan keluarga kami, dalam mengurus dan mentadbir soal-soal rohaniah dan lahiriah kami,  dalam mengatur strategi perjuangan, dalam mengendalikan sebarang permasalahan dan dalam melayani keperluan semua golongan masyarakat. 

Kami juga memohon ya Allah, ampunkanlah dosa-dosa kami, dosa kedua ibubapa kami, datuk nenek kami serta dosa orang-orang pernah berjasa kepada kami.

Ya Allah Ya Tuhan kami, kurniakanlah dalam hati kami ada rasa takut setakut-takutnya pada Mu dan rindu serindu-rindunya kepada Rasulullah SAW. Amin ya Rabbal Alamin!!

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text