Kepada semua anak cucu dan remaja sekelian!
Sekolah baru dibuka. Maka kali ini Pak Lang ingin berkongsi bahan renungan bagi para pelajar menengah. Ianya merupakan bahan umum untuk memotivasikan pelajar di usia begini. Apa yang Pak Lang paparkan di sini hanya panduan semata-mata. Perlaksanaan atau keberkesanan panduan ini bergantung kepada kesungguhan dalam bertindak. Cita-cita akan kekal sebagai angan-angan jika tidak diiringi dengan berusaha sedaya upaya.
CIRI-CIRI PELAJAR BERMASALAH VS BERPOTENSI
Setap individu yang dilahirkan ke
dunia adalah pilihan di antara yang terpilih. Bermula sejak di dalam kandungan
ibu, manusia sudah bersaing, terlatih dengan perlumbaan menuju kecemerlangan.
Manusia adalah himpunan watak yang baik dan buruk, berpotensi dan bermasalah.
Manusia terdedah dengan
persekitaran,pengaruh pendidikan dan kesan pengalaman yang dialami. Secara
semula jadi manusia mempunyai keinginan yang positif untuk dirinya tetapi di
dalam diri manusia juga ada unsur yang sengaja diwujudkan untuk menguji
manusia. Itulah peranan nafsu. Ianya adalah keinginan yang lebih cenderung ke arah
kejahatan
Manusia perlu dipimpin, dididik
dan dibimbing untuk berjaya menguasai dirinya, membawa dirinya ke destinasi
yang diimpikan semua manusia. Di dalam ajaran agama, manusia mengharapkan kejayaan
dan keselamatan di alam kehidupan semula selepas mati.
ITU HASRAT AKU
‘Itu Hasrat Aku’ adalah laungan
hati semua manusia. Secara nalurinya semua manusia mengimpikan kejayaan,
kecemerlangan, kekayaan, kebahagiaan dan sebagainya yang muluk-muluk. Semua manusia
menyanyikan lagu dan senandung serta harapan yang sama. Akan tetapi soalnya
kenapa tidak semua manusia mencapai apa yang diidam-idamkan itu?
APAKAH YANG MENJADIKAN MANUSIA TIDAK MENCAPAI HASRAT YANG SAMA?
Tuhan jadikan kehidupan dunia ini
sebagai ujian mengukur kesungguhan hati seseorang manusia. Tuhan mahu lihat
siapakah yang bersungguh-sungguh berusaha mendapatkan apa yang dihajatkan.
Kehidupan dunia yang mempunyai segala macam halangan, cabaran dan rintangan menjadikan
tidak semua manusia mampu melepasi ranjau ujian ini. Umum manusia terjebak
dalam kemelut yang tidak sudah. Jika diri tidak mampu melepasi rintangan yang mudah apatah
lagi jika berdepan dengan lebih payah dan sukar.
CIRI-CIRI PELAJAR CEMERLANG
Ianya diukur pada kekuatan
dalaman hatinya dalam menempuh ujian. Pelajar cemerlang sudah terserlah wataknya
pada penampilan, percakapan dan tindakannya.
Di antara ciri utama pelajar
berpotensi mencapai kejayaan cemerlang di dalam hidupnya ialah
1) Kuat pegangan agamanya dan mampu mengimamkan solat berjemaah.
2) Kuat menghubungkan hatinya dengan
Tuhan. Taat dalam beribadah.
3) Kuat dan kental jiwanya
4) Pandai mengurus diri, kewangan
dan masa.
5) Ada wibawa, mahir dalam komunikasi
dan serba boleh
6) Bersifat pengasih, prihatin dan
berkasih sayang
7) Ada ilmu, maklumat dan
pengetahuan melebihi orang lain
8) Menjadi tempat rujuk orang lain
9) Ringan tulang, suka menolong dan
membantu
10) Berjiwa tenang, berlapang dada
dan berwajah ceria
11) Bersikap positif dalam menghadapi
semua situasi.
12) Pemaaf, penyabar dan bertolak
ansur.
13) Boleh diharap dan sangup memikul
serta melaksanakan tanggung jawab dengan berkesan
14) Cara bekerja dan berkeupayaan melakukan
sesuatu tugasan dengan hasil yang terbaik
15) Banyak bersedekah / memberi hadiah
dan menghormat orang yang lebih tua.
16) Dan lain-lain!
CIRI-CIRI PELAJAR BERMASALAH
Pelajar bermasalah akan cepat
dikesan pada wataknya, penampilan, percakapan dan tindakannya.
Di antara ciri pelajar bermasalah
ialah
1) Tiada pengangan agama yang kuat
2) Hati yang lalai, leka dan sukakan
hiburan semata-mata
3) Jiwa lemah walaupun kelihatan
keras atau 'macho'
4) Gagal dalam mengurus diri,
kewangan dan masa.
5) Tiada wibawa, gagal dalam
komunikasi dan kaku berdepan dengan suasana yang lebih dewasa
6) Bersikap tidak peduli orang lain.
Sombong.
7) Suka meniru atau menumpang hasil
kerja orang lain. Tidak mampu berdikari
8) Menjadi bahan bualan / umpatan orang
lain
9) Berat tulang, lebih suka tidur
atau main ‘game’
10) Berjiwa keluh kesah, fikiran
berserabut, gopoh gapah, wajah bermasalah
11) Bersikap negatf dalam menghadapi
semua situasi.
12) Pendendam, kasar, suka bergaduh
13) Tidak boleh diharap, gagal
memikul serta melaksanakan tanggung jawab yang diamanahkan
14) Suka curi tulang. Lebih suka
berangan-angan. Berbuat sesuatu pekerjaan sambil lewa
15) Tidak berusaha menginsafi diri walaupun setelah mendapat kesan buruk dari tingkah laku yang negatif.
16) Mudah terpengaruh dengan kawan rakan, persekitaran yang merosakkan. Tiada jati diri.
17) Dan lain-lain!
Teknik belajar / Panduan Menguasai Pelajaran / Panduan Kecemerlangan;
1) Memelihara sembahyang - sedapat-dapatnya berjemaah
2) Latihlah 'bercakap dan mengadu segala masalah dengan Tuhan'. Dia maha mendengar dan maha menolong.
3) Memohon doa restu Ibubapa dan
guru-guru - dapatkan keberkatan serta 'perhatian Tuhan'
4) Mengusahakan
tidur awal supaya dapat bangun di awal pagi untuk solat tahajjud dan
lain-lain ibadah sunat serta mengulangkaji pelajaran.
5) Mendapatkan teknik dan gaya belajar yang tersendiri. Jangan ikut orang lain kerana situasi mungkin berlainan.
6) Faham apa yang dipelajari dan cekap membuat lakaran / ringkasan peta minda
7) Jadilah orang yang di depan. Latih diri dengan sifat berani
8) Jangan buat maksiat. Carilah
keberkatan dalam pengajian bukan mencari kemarahan Tuhan
9) Fikirkan diri sendiri dari sudut
positif
10) Bersungguh-sungguh mengurus masa
11) Cekal dan tabah menempuh ujian.
12) Cabar diri dengan hal-hal yang
sulit dan payah
13) Bersunguh-sungguh menghargai dan
menghormai guru – berkat
14) Bantu orang lain dalam semua
perkara… Kebaikannya akan kembali kepada kita
15) Letakkan target di depan mata
setiap hari
16) Latih sentiasa ada buku kecil
untuk mencatat apa yang akan dilakukan setiap hari. Ianya satu motivasi!
17) Jika kita anak orang berada,
lupakan status keluarga kita. Usahakan merendah diri dan belajar memahami
kesusahan orang lain. Binalah diri sendiri
18) Jika kita anak orang susah,
positifkan jiwa kita dengan kekuatan jiwa serta cita-cita. Diri kita dimasa
depan adalah apa yang kita lakukan sekarang
19) Buatlah perkara yang sepatutnya
kita buat tanpa di suruh. Latih kepekaan diri. Kesannya sangat luar biasa!!
20) Dan lain-lain!
0 ulasan:
Catat Ulasan