Social Icons

Isnin, 24 Jun 2013

Murid Yang Terbaik Mempunyai Hati Yang Eksklusif Dengan Mursyid


Kepada semua anak cucu dan remaja sekelian.

Banyak perkara yang kita semua kena faham apabila kita berjalan di atas jalan kesufian. Jalan kesufian adalah perjalanan hati. Hati diproses merasakan hebatnya Tuhan dan merindui Baginda Nabi saw. Hati merupakan wadah utama yang diberi perhatian. Adab dan peraturan sufi semuanya bersifat rohaniah. Namun faktor utama hati dapat dibawa berjalan menuju Tuhan ialah wujudnya penyerahan diri murid kepada guru mursyidnya. 

Dari sudut teori, seseorang murid memang wajar dan patut menyerah jiwa-raganya untuk dicatur dan dipimpin oleh guru mursyid. Apa saja arahan dan kehendak mursyid itulah yang dilakukan oleh simurid. Ketaatan itulah jaminan keselamatan dunia akhirat untuknya. Jika ditanya siapa sahaja, itulah konsep yang diterima dan diakui sangat perlu sebagai syarat murid itu 'lulus'. Walaupun penyerahan diri secara total ini dilihat sangat 'ekstrem' oleh golongan sekular, ia tetap menjadi penentu keberkesanan didikan guru mursyid di dalam disiplin sufi.

Sebenarnya konsep ketaatan inilah yang mengagalkan ramai orang yang awalnya bercita-cita mahu hidup mati untuk Islam bersama siguru mursyid. Apa yang diakui benar itu hanya dari sudut teori sedangkan jika sampai di peringkat praktisnya, ternyata tidak ramai yang mampu. Ramai yang gagal untuk taat setaat-taatnya!! Allah!! Sulit dan tersangat sulit menyelamatkan hati bila saat diuji. Ketaatan rupanya bukan sekadar untuk diungkap tetapi mesti dibuktikan secara realiti. 

Inilah yang mencemaskan kaum sufi. Mereka yang faham, akan sentiasa membimbangi diri takut tergelincir menjadi murid yang tidak taat. Paling ditakuti dan digeruni ialah jika termasuk menjadi murid yang derhaka. (Mohon dilindungi Allah!).

Sebenarnya ada perbezaan antara murid yang ikhlas atau lurus hati dengan guru mursyid berbanding murid yang berpotensi gagal. Marilah kita lihat perumpamaan berikut sebagai panduan untuk kita faham. Bacalah! Semoga anak cucu semua dapat memahaminya!

Marilah kita lihat perbandingan diantara dua orang murid yang diuji oleh guru mursyid. kedua-duanya dihukum dengan sesuatu hukuman diatas kesalahan masing-masing. Maka  seorang berkata, “Memang saya bersalah dan berdosa. Saya mengaku dan saya memang patut dihukum.“ Manakala seorang lagi pula berkata, "Apa salah saya hingga saya dihukum sebegini?” Itulah dua pendirian yang sangat berbeza. 

Kalau sekalipun murid pertama tadi bersalah tetapi sebenarnya hatinya lebih mulia dari murid yang kedua yang rasa tidak bersalah. Hatilah pengukur semua ini kerana hati yang merasa hamba itu nilaiannya sangatlah tinggi di sisi Allah SWT. Lebih-lebih lagi hati yang sentiasa lurus dengan Guru Mursyid. 

Sekalipun apa yang Mursyid lakukan padanya sesuatu yang amat pedih, sakit atau memalukan pada pandangan orang lain. Tapi itu semua tidak mencacatkan hatinya. Lintasan yang masuk ke hati kalau berlaku sekalipun, segera ia menepis dan mendoakan perlindungan dari Tuhannya. 

Murid yang kedua, ungkapan katanya sudah mencacatkan hatinya dengan Mursyid. Dia mempertikaikan urusan Mursyid dalam mendidik hatinya. Hatinya tidak mampu tunduk merasakan benarnya hukuman yang dijatuhkan ke atasnya oleh Mursyid. Mempertikaikan keputusan Mursyid sudah memutuskan talian 'radar' hatinya yang sepatutnya bersambung dengan hati Mursyid. 

Keberkatan sudah hilang melainkan dia memulakan semula prosesnya dengan taubat, meminta ampun dan sebagainya. Demikianlah sulitnya jalan sufi. Ianya terpusat pada adab murid dengan mursyidnya. Semakin berhalus adab yang dilakukannya, semakin 'powerlah' keberkatan yang diperolehinya.

Bagi murid yang pertama ini, lagi di uji, lagilah intim hatinya bersama Mursyid. Rindu mendalam sentiasa wujud di dalam hatinya - walaupun dihukum oleh Mursyid. Dia tidak buruk sangka dengan mursyid. Murid yang sebegini, jika berpeluang berada hampir dengan Mursyid, cintanya terasa membara, bila jauh terasa merindu. 

Berindu-rinduan dengan mursyidnya ini tidak pernah ditunjukkan secara fizikal. Bisikan-bisikan rindu dan kalimah-kalimah indah terhadap Guru Mursyidnya hanya sentiasa bermain-main dihatinya. Terasa amat bahagia yang amat sukar untuk diceritakan dengan lafaz kata-kata. Perasaannya terlalu halus dengan Mursyid. Terlalu dekat dan intim.

Orang yang begini, kepentingan diri tidak ada dalam perjuangan. Ada jawatan atau tidak ada jawatan baginya tidak penting. Hubungan hati terhadap Mursyid amat dijaga. Takut terguris dan dilukainya. Pengorbanan perasaannya sangat tinggi. Begitu juga segala yang dipunyainya - lahir dan batin - dikorbankannya sekalipun sudah  kehabisan tenaga, terlalu letih dan penat. 


Baginya semuanya adalah untuk mendapat keredhaan Mursyid. Yang lain sudah kecil dan tidak wujud . Malah keperluan dirinya pun dilupakannya. Dan ia sanggup buat apa sahaja sekalipun arahan nyawa untuk dikorbankannya .Sangat-sangat taat dengan Mursyid. Itulah apa yang berlaku di kalangan para sahabat terhadap Baginda Rasulullah saw. .

Murid yang lurus hati dengan mursyid ini akan menyukai apa yang Mursyid suka. Begitu jugalah apa yang Mursyid benci, itulah juga kebenciannya. Hatinya bagaikan radar pengesan hati Mursyidnya. Apa rasa hati Mursyid, itulah rasa hatinya. Hubungan hatinya dengan Mursyid tidak pernah putus. Sentiasa terhubung, segar dan terus meningkat kerinduannya dari masa ke semasa walaupun ujiannya semakin berat. 


Ujian bukan tidak ada padanya. Malah ujiannya sangat berat tapi setiap kali diuji dapat sahaja ia melepasinya. Seolah-olah diajar-ajar dan ditunjuk-tunjuk bagaimana perlu mengatasi dan melepasi ujian itu. Hatinya dipimpin. Sungguh cerdiknya ia, hingga percintaannya dengan Mursyidnya tidak dapat diganggu gugat oleh sesiapa dan oleh apa situasi sekalipun!!

Setiap kalimah yang keluar dalam bicaranya, semuanya terpancar dari lubuk hatinya. Bukan yang dikarang-karang atau difikir-fikirkan oleh akalnya. Sebab itu kadang-kadang kata-katanya sangat tegas dan keras. Keputusannya sangat berat untuk diterima oleh orang yang tidak bersedia mengosongkan dirinya. Baginya menjaga jemaah Mursyid itulah keutamaannya.

Percintaannya dengan Mursyid sangat eksklusif, sangat istimewa. Dia dapat merasa buah yang manis dan lazat hasil percintaannya itu. Rindunya berbalas. Mursyid juga sangat sayang padanya. Hasil dua hati yang terhubung antara mursyid dan muridnya , maka ia dihadiahkan anugerah yang istimewa. Iaitu hati yang bersih dan sejahtera. Hati yang sebeginilah yang dimaksudkan oleh Tuhan,



يوم لا ينفع مال ولا بنون

إلا من أتى الله بقلب سليم 


Di hari yang tiada guna harta dan anak-pinak,

Melainkan siapa yang mendatangi Allah dengan hati yang sejahtera?



[Para penyair (As-Syua'ara'): 88-89]

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text