Social Icons

Rabu, 26 Jun 2013

Kisah Bagaimana Dua Orang Remaja Membunuh Abu Jahal

Petikan dari buku Catatan Sejarah Rasulullah saw. susunan Syeikh Nasaruddin Awang ar. Bacalah kisah bagaimana dahsyatnya kecintaan 2 orang remaja kepada Rasulullah saw. Mereka bersaing dalam merebut peluang membunuh Abu Jahal - orang yang sangat menyakiti Baginda Nabi saw. Beginilah ceritanya;
 
Ada dua orang remaja dari Madinah iaitu Saidina Muaz bin Afra’ Al-Ansari dan Saidina Auf bin Afra’ Al-Ansari berumur 15 tahun dan 16 tahun. Mereka berdua ikut serta di dalam perang Badar. Ketika U'tbah dan dua orang lagi panglima kafir Quraish mencabar tentera Islam dalam perterungan satu lawan satu mereka berdualah yang tampil bersama Saidina Abdullah bin Rawahah. Begitulah tinggi sekali kecintaan mereka kepada Allah dan Rasululah Saw. 
 
Didalam barisan tentera Islam, mereka berdua berada disebelah kiri dan kanan Saidina Abdul Rahman bin Auf. Melihat mereka berdua yang masih berusia awal remaja, Saidina Abdul Rahman berkata didalam hatinya: "Alangkah baiknya kalau dikanan dan dikiriku orang yang lebih dewasa dan lebih berpengalaman dalam peperangan". Salah seorang dari mereka berbisik kepada Saidina Abdul Rahman: "Apakah pakcik kenal Abu Jahal, aku dengar dia adalah orang yang paling banyak menyakiti Rasulullah Saw. Tunjukkanlah orang itu kepada aku. Aku mahu membunuhnya". 
 
Begitulah kemarahan anak muda ini terhadap Abu Jahal. Dia cukup berani untuk membunuh ketua kafir Quraisy dalam peperangan itu. Kata Saidina Abdul Rahman: "Aku terperanjat dengan soalan itu tetapi aku berjanji akan menunjukkan Abu Jahal kepadanya. Selepas itu seorang lagi pula bertanya kepadaku soalan yang sama. Ketika itu baru aku merasa tenang berada di tengah-tengah dua orang remaja yang berani ini".

Dalam peperangan itu Abu Jahal dikawal ketat oleh orang-orangnya. Saidina Abdul Rahman telah menunjukkan kepada dua orang remaja ini yang mana satu Abu Jahal. Belum sempat lagi Saidina Abdul Rahman menghabiskan kata-katanya, kedua-dua mereka sudah melompat menuju ke tempat Abu Jahal. Mereka merempuh barisan tentera kafir sambil menebaskan pedang ke kiri dan ke kanan, menyerang orang-orang yang berada di sekeliling Abu Jahal. 
 
Akhirnya kedua-duanya berjaya sampai kepada Abu Jahal. Mereka berdua menyerang Abu Jahal dengan pedang mereka sehingga Abu Jahal rebah. Abu Jahal cedera parah dan rebah tetapi dia belum mati. Tiada siapa dapat menjangka serbuan tangkas dari dua orang remaja Ansar ini. Di dalam keadaan gawat di kelilingi musuh, Saidina Auf bin Afra’ tersepit ditengah-tengah tentera kafir. Ikrimah bin Abu Jahal berjaya membunuhnya. Manakala Saidina Muaz bin Afra' pula sempat berundur sambil memerangi tentera kafir yang menggasaknya. 
 
Akhirnya sebelah tanganya tertetak tetapi masih tergantung di badannya. Dalam keadaan itu, dia berjaya berundur sampai ke barisan tentera Islam. Setelah dibalut tangannya dia terus berperang lagi tetapi tangannya yang hampir putus itu telah mengganggu pergerakannya. Akhirnya dia memijak tangannya itu sehingga putus supaya ianya tidak mengganggu lagi pergerakannya. 
 
Saidina Muaz terus menentang tentera kafir sehinggalah dia gugur syahid. Apabila tentera kafir mengetahui bahawa Abu Jahal sudah tewas mereka mula berundur. Tentera Islam mengejar mereka dari belakang. Dalam peperangan Badar ini seramai 70 orang tentera kafir terbunuh dan seramai 70 orang dapat ditawan.

Demikianlah hebatnya dua remaja yang dididik mencintai Baginda Nabi saw. Matangnya mereka walaupun baru berusia setahun jagung. Renunglah keadaan remaja kita sekarang ini. Mahukah mereka menjadi seperti dua remaja di dalam kisah di atas atau ingin terus kekal menjadi remaja yang lemah dan pengecut!!

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text