Bahan tulisan di bawah adalah monolog ruh di dalam diri manusia. Ianya
Pak Lang tulis untuk mengkisahkan perjalanan ruh manusia bermula dari alam arwah ke alam rahim ibu
dan ke alam dunia. Membaca monolog ini akan membantu memahami tugas dan peranan manusia di atas muka bumi iaitu sebagai hamba dan khalifah.
______________________________________________________________________
MONOLOG
PERJALANANKU; DARI TUHAN, UNTUK TUHAN DAN KEPADA TUHAN
Wahai Tuhanku Yang Maha
Agung..... kuungkapkan rasa syukur dan terima kasihku atas segala kurniaMu
padaku. Engkaulah Zat Yang telah menciptakan Aku, Engkau menyayangiku, Engkau
memberikanku kehidupan, memberi oksijen untuk ku bernafas, memberi makan dan
minum, memberi ruangan di bumi untuk mataku melihat, telingaku mendengar, tubuhku
merasa, tanganku memegang, mencapai segala-galanya.
Engkau beri peluang untukku
mengembara ke seluruh pelusuk muka bumi untuk melihat kebesaran dan keagungan
penciptaan alamMu, Sungguh segalanya adalah nikmat dan rahmat dariMu Tuhan. Dan
yang paling penting dari itu semua ialah Engkau begitu mempamerkan kasih
cintaMu pada diriku yang hina ini dengan menghadiahkan padaku nikmat Iman dan
Islam....satu nikmat yang menjanjikan keselamatan dan kebahagiaan hidup yang
hakiki. .... dunia dan akhiratku....
Oh Tuhan, ketika aku di alam
ruh, bersama berbillion ruh para manusia yang akan di hantar ke alam dunia, aku
bersama para ruh yang lain, sudah sangat bahagia rasanya. Kami bahagia
bersamaMu Tuhan, Kami bertasbih, bertahmid, bertakbir memujiMu. Indahnya
suasana di waktu itu kerana kasih sayangMu pada kami sehingga kami tenggelam
dalam keasyikan melihat wajahMu.
Tapi satu waktu kami semua
dikejutkan oleh pertanyaanMu Tuhan.... satu pertanyaan yang kami tahu
jawapannya ada pada ilmuMu yang maha Tahu segala-galanya. Tapi Engkau Tuhan
bertanya untuk kami justeru menjawabnya. Engkau bertanya; “adakah tidak Aku ini
adalah Tuhan kamu?” lalu spontan kami semua para ruh menjawab dan memperakui
bahawa; “ bahkan! Kami telah menyaksikan!” (Engkau adalah Tuhan Kami).
Rupa-rupanya Engkau mahu
merakamkan pertanyaan dan jawapan kami itu di dalam kitab suciMu. Sehingga
setelah kami hidup di muka bumi dengan mendapat Iman dan Islam, membaca kitab
sucimu tentang maksud ayat itu; barulah kami tahu. Barulah kami tersedar bahawa
kami dahulu telah pernah hidup ‘bersama Tuhan’ di satu alam yang kami tidak tahu
di mana letaknya. Kami baru tahu dimana telah berlaku satu pengakuan dari kami
iaitu Engkaulah Tuhan kami yang sebenar-benarnya. Engkaulah segala-galanya bagi
kami. Hidup dan mati kami adalah untuk menyembahMu, membesarkanMu dan memuji-memujaMu
Ya Allah. Allahu Akbar.
Wahai Tuhan, Aku adalah ruh
yang Engkau pilih untuk berpindah ke alam rahim ibu pada zaman yang sangat jauh
dari zaman Rasulullah saw iaitu diakhir zaman. Sedangkan zaman Rasulullah saw.
adalah zaman di mana Engkau benar-benar dibesarkan oleh Baginda dan para sahabat. Zaman itu
adalah zaman dimana Engkau dipuji dipuja setiap solat mereka dengan solat yang
tidak jemu-jemu kerana di dalam solat itu mereka bercinta, bermesra, berbicara
denganMu Tuhan. Tapi aku tetap akur dengan ketentuanMu menentukan kelahiranku
di negara Malaysia di waktu ini iaitu di akhir zaman.
Wahai Tuhan, Engkaulah yang
telah menghantar malaikat untuk membawaku dan meniupkanku ke dalam janin yang baru
terbentuk di dalam rahim Ibuku. Tuhan‼!
Rupanya baru ku tahu,E ngkau ingin mengujiku.
Engkau ingin melihat aku lulus atau tidak dalam melalui ujian kelayakan agar
dapat ‘bersamaMu di syurga’.... Berada di dalam rahim Ibuku, Aku bersyukur
kerana Ibuku adalah seorang wanita yang taat beragama. Lalu ibuku menjadi
seorang yang rajin mengerjakan ibadah. Hatinya dibawa untuk merasa rindu dengan
Baginda Rasulullah saw.
Melalui alunan selawat yang
sangat mendayu, hati ibuku terdidik sehingga begitu merindui solat, ingin
sentiasa membesarkanMU, bertahmid memujiMu, zikir dan wirid yang diamalkannya
adalah hiburanku di dalam rahimnya. Aku membesar sama seperti tumbesaran jasad
janinku yang dapat dikesan oleh teropong teknologi zaman ini; Aku merasai apa
yang dirasai ibuku, melalui proses minggu ke minggu, bulan ke bulan.
Alhamdulillah Ibuku rupanya berjaya membawa aku dan jasad lahirku dalam alunan
zikrullah, dalam mujahadah yang seringkali Ibuku menang dlm pertarungannya
melawan nafsu.
Ya Allah, aku melalui kehidupan
di alam rahim dengan keadaan yang cukup cemas. Aku tahu aku hanya sementara
sahaja di dalam perut ibuku. Tidak lama lagi aku pasti Engkau akan hantarkanku
ke dunia. Akan tetapi aku sudah dapat merasakan; rupanya sejak dalam kandungan
ibuku, sudah ada cabaran untukku. Aku sudah mula menempuh suasana yang tidak
pernah ada sebelum ini iaitu aku sudah mula datang rasa sayangkan Ibuku
sedangkan selama ini cintaku padaMu tidak pernah ada terhadap yang lain.
Cintaku padaMu di alam Ruh dahulu adalah tulus semata-mata untuk MU Tuhan. tetapi
sejak di alam rahim, aku mula merasa ada nya perasaan sayang dan cinta pada
Ibuku yang menyelimuti tubuhku dan jasad lahirku di dalam kandungannya.
WAHAI Tuhan, engkau rupanya
membenarkan aku mencintai yang selainMu sekadarnya sahaja kerana cinta Agung
itu adalah milikMu. Maka sembilan bulan
10 hari di dalam kandungan ibuku adalah hari-hari pengikat kasih sayang ibu dan
bapa terhadap anaknya. Aku rupanya Engkau taqdirkan untuk lahir kepada sebuah
keluarga rumah tangga yang kuat beragama.
Di malam-malam hari, di pertiga malam; kedua ibubapaku , abang-abang dan
kakak-kakakku akan bersama bangun beribadah mensyukuriMu, Mereka memeriahkan
malam mereka dengan tangisan dan air mata. Mereka menangisi dosa mereka, mereka
mendekatkan hati kepada Mu dan berselawat mendoakan keselamatan kepada RasulMu.
Aku bahagia menyaksikannya.
Mereka rupanya sangat
menantikan kehadiranku. Mereka doakan agar aku lahir sebagai anak yang soleh, mentaati
Allah dan Rasul, berbakti kepada ibubapa, menghormati orang tua, istiqamah
dalam beribadah, rajin belajar serta menjadi insan yang memberi manfaat kepada
orang lain.
Aku tahu ibubapaku sudah
merencanakan jika kelahiranku adalah seorang puteri, maka mereka telah sangat
mendoakanku agar dapat berakhlak seperti akhlak Saiyidatina Fatimah AzZahra’, puteri kesayangan Rasulullah
SAW dan jika kelahiranku adalah seorang
putera, maka mereka berdua berdoa untuk melihatku menjadi seperti Saidina Ali;
pejuang yang hebat di zaman Baginda Rasulullah saw.
Wahai Tuhan, kebimbanganku akhirnya sampai pada kemuncaknya di hari aku akan dilahirkan; Aku tidak bimbangkan kesakitan kelahiran walaupun aku menyaksikan sepanjang aku dikandung ibu, ibu melalui pelbagai keadaan. Ibu sentiasa pening, loya, mual dan muntah-muntah. Kadang-kadang Ibu berhari-hari tidak mampu untuk bangun kerana kelelahan melayani situasi sebegitu. Aku merasai apa yang Ibu rasa. Aku sangat bersimpati.
Namun apa yang aku bimbangkan
adalah bagaimana rupanya alam dunia yang menjadi tempat ujian untukku. Tidak
lama lagi aku tahu aku akan Engkau pindahkan ke alam dunia yang Engkau telah
sebutkan sebagai tempat untuk mengujiku dan seluruh umat manusia. Ya Tuhan,
jika diberi pilihan, aku hanya ingin terus bersamaMu di alam ruh. Aku tidak
mahu ke dunia. Aku tidak ingin berpisah denganMu Tuhan. Aku tidak sanggup
melalui cabaran yang dihujungnya hanya ada 2 kemungkinan iaitu ke syurga dan ke
neraka. Aku tidak sanggup mengenangkan situasi yang sangat mencemaskan jika aku
tidak lulus. NerakaMu amat dahsyat‼
tolong aku Tuhan‼
Wahai Tuhan, ketika aku sudah
mula digerakkan oleh Malaikat untuk melalui proses kelahiran, mendekati
detik-detik sukar untuk melihat cahaya alam dunia, Ibuku menderita sekali. Jika
aku sedang menuju kelahiran dan kehidupan, ibuku pula sedang menempuh kesengsaraan
dan melihat bayangan kematian. Berjam-jam lamanya Ibuku Engkau perlakukan
sebegitu rupa hanya untuk dirasakan pada umat manusia betapa agungnya anugerah
sebuah kelahiran ruh dan jasad yang disatukan menjadi seorang manusia. Ayah serta
adikberadikku sedang sangat mendoakn ibu dan aku; Ada yang menangis melihat
kesengsaraan ibu.
Doktor dan para jururawat
muslimah dari Pusat Rawatan Islam yang sedang menguruskan ibu dan bersiap
menyambutku, sedang sangat menghubungkan hati mereka dengan Mu, dengan RasulMu
dan dengan para kekasihMu. Lidah mereka tidak putus memohon bantuanMu. Doa dan
rintihan mereka menolong menyempurnakan proses kelahiranku ini beriringan
dengan hati mereka yang sedang sangat mengharapkan dipermudahkan proses yang
sedang ku lalui ini.
Manakala Ibuku di saat itu sangat
cekal menempuhi detik cemas itu. Dalam kesakitannya, mulut Ibuku hanya menyebut
“Ya Allah. Ya Allah, Ya Allah” yang tidak henti-henti. Nadanya seiring dengan proses meneranku keluar sedikit demi sedikit. Jejari kanannya
mencengkam erat tasbih yang ada seolah-olah itulah satu-satunya cara menahan
kesakitan yang sudah sampai di ubun-ubun kepalanya itu.
Wahai Tuhan, di saat itu aku
menyaksikan suatu yang sangat indah dan Ibuku sangat berbahagia melihatnya.
Rupanya di sebelah kiri Ibuku, dalam jelingan sakitnya itu anak mata ibu dapat
melihat mata ayahku sedang menangis meminta pertolongan Mu. Sangat ikhlas dan
murninya hati ayah mendoakan ibuku bahkan ayah membisikkan di telinga ibu
bahawa ayah telah redha dengan ibuku. Ertinya tidak ada sebarang dosa ibu terhadap
ayah.
Betapa bahagianya ibuku
mendengar ungkapan redha sebegitu rupa. Ketika itu aku hampir menuju ruangan
yang sudah terbuka luas. Ayah membisikkan kata-kata semangat dan meyakinkan
ibuku bahawa pertolongan dan kasih sayang Tuhan sedang terjadi. Aku hampir
sangat untuk keluar menempuh udara segar. Bayangan kehadiranku yang dikhabarkan
itu sangat membahagiakan Ibu.
Semangat ibu makin dikuatkan.
Proses meneran sudah sampai ke kemuncaknya. Lalu dalam situasi itulah kepalaku akhirnya
muncul mulus dengan disambut suara si doktor muslimah yang menyebut ; “Alhamdulillah,
Terima kasih Ya Allah!!”..... seiring dengan terluncurnya tubuhku keluar ke
alam dunia.
Aku terpana dengan apa yang aku
rasa, tubuhku terasa berbisa seluruhnya. Ada yang kurasakan menggigitku. Ada keganjilan yang mengocakku secara
mengejut. Aku ketakutan.
Peliknya alam dunia ini.....hanya
dalam detik-detik yang awal sebegini kelahiranku ini, aku sudah diuji Tuhan. Aku
jadi sangat gementar mahu meneruskan langkah ku di dunia ini. Aku menangis,
Seboleh-bolehnya aku tidak mahu berada dalam situasi ini. Ini bukan tempat
sebahagia di alam ruh atau sekurang-kurangnya semasa di dalam rahim Ibu.
Aku menangis semahu-mahuku. Aku sebenarnya menjerit-jerit. Dalam
tangisanku itu, aku sempat lihat wajah ibuku. Wajah yang pucat kerana
kehilangan banyak darah seiring kelahiranku itu, kulihat sedang menancapkan
aroma kepuasan hati dan puji syukur ke hadhratMu yang luar biasa. Aku tahu,
ibuku sedang puas menatapku yang sedang menangis ketakutan.
Aku lihat semua yang ada di
ruangan itu, melihatku menangis dengan
senyum gembira. Mereka seolah-olah tidak memperdulikanku yang sedang
meronta-ronta minta dikembalikan ke alam ruh. Aku tidak sanggup sebenarnya
untuk berada di dunia yang sebegini. Tetapi tiba-tiba aku terdengar di hujung
telingaku yang kanan satu suara yang mengalunkan lafaz Allah yang Maha Besar.
Aku tersedar sambil mendongak-dongak mencari dari
mana datangnya suara itu. Tangisanku terhenti. Rasanya aku pernah mendengar
lafaz-lafaz agung ini berirama sebelum ini. Ya Tuhan! baru ku sedar! Itulah
laungan lafaz azan yang pernah ku dengar di alam ruh dahulu. Itulah basahan
bibir kami ketika ‘bersama Tuhan’ dahulu. Suara yang melafazkan azan itu adalah
suara ayahku didunia ini tapi ianya
membawa ingatanku kembali kepada Tuhan di alam ruh.
Ianya mengingatkanku tentang janji
dan pengakuanku di hadapan Tuhan. Aku telah mengaku; Allahlah Tuhan ku; Engkaulah
Tuhan ku ya Allah. Maha Suci Engkau ya Allah.
Azan yang bapaku laungkan
secara perlahan di telingaku itu rupanya sangat bermakna kepadaku. Aku
mentadabbur setiap kalimah yang dilafazkan; Aku jadi ingat semula. Aku kembali
menjadi sangat sedar tentang tugasku di dunia. Engkau mengamanahkanku untuk
menjadi manusia yang membesar dan mengagungkanMu Tuhan. Engkaulah Tuhan yang
telah mensyariatkan azan dan iqamah untuk bayi yang baru lahir bagi
mengingatkan semula tentang janji kami di alam ruh.
Azan mengingatkan aku untuk
menghambakan diri kepada Mu ya Allah, menyembahMu dan mengingatiMu. Azan
menyedarkanku tentang Nabiku iaitu Rasulullah saw yang membawa Islam dariMu
untuk aku mencatur hidup mengikut sistemMu Tuhan. Ya, azan juga menetapkan
suatu asas yang mesti kutancapkan ke lubuk hati iaitu pentingnya sembahyang.
Panggilan untuk sembahyang
adalah panggilan untuk kejayaan. Panggilan untuk sembahyang adalah panggilan
agung dan utama di awal kelahiranku. Selepas syahadah, sembahyanglah tugasanku
di muka bumi ini. Tugasanku yang lain hanya dikira berjaya jika aku berupaya
menghayati sembahyang. Sememangnya ibadah membesarkan Engkau ya Allah adalah
amalanku di alam ruh. Tetapi apa yang cemasnya; sembahyangku di dunia dalam
keadaan aku ada musuh yang sangat menggangguku supaya lalai dari mengingatiMu.
Lalu malanglah nasibku ya Tuhan....
Ketakutan yang amat sangat
mengingatkan aku tidak mungkin lepas dari hasutan nafsu dan syaitan. Manakan
mampu aku melepasi gangguan mereka sedangkan syaitan dan iblis sangat
berpengalaman. Mereka telah lama berada di dunia berbanding diriku yang baru
lahir. Mereka sudah cekap dan pakar dalam menarik manusia kepada kejahatan. Oh
Tuhan cemasnya aku...... lalu dalam keadaan itulah aku diletakkan ke riba Ibu.
Dan ketika Ibu memegangku
dengan penuh kelembutan, aku menerima satu bisikan dari ibuku; “ Jangan bimbang
dan jangan menangis anakku sayang; Ibu, bapa dan keluarga kita kan ada
bersamamu, malah keluarga kita mencintai Allah dan Rasul yang pasti akan
menyelamatkan kita dari hasutan nafsu dan syaitan.” Ibu mencium pipiku dengan
satu ciuman yang kurasa teramat bahagia. Aku terasa mempunyai tempat menumpang
harap, mempunyai keluarga melindungi diri. Malah keluargaku ramai sekali.
Mereka semua serupa denganku. Datang dari alam ruh tempat kami sama dikumpulkan
Tuhan sebelum mereka mendahuluiku ke dunia.
Dan rupanya inilah ahli
keluargaku. Aku bersyukur kepada Mu Ya Allah kerana Engkau pilih aku lahir
dalam keluarga besar ini yang semenjak di dalam kandungan lagi, aku tahu
keluarga ini adalah keluarga pilihan, keluarga yang sangat mencintai Allah dan
Rasul. Moga-moga keluarga ini engkau terus pimpin menjadi keluarga yang
mawaddah dan rahmah.
Aku akhirnya tenggelam dalam dakapan
Ibu. Hangat dan erat sekali dakapannya. Sungguh luar biasa perasaanku ketika
itu dimana setelah beberapa detik yang lalu aku gementar dan meraung ketakutan,
tiba-tiba sebaik di azan, aku jadi terpana mengingati janjiku denganMu Tuhan.
Belum pun habis aku menghayati azan dan iqamat yang begitu membahagiakan itu,
aku tiba-tiba dipeluk dan dicium penuh kasih oleh ibuku. Ciuman kasihnya sangat
tulus, sangat ikhlas kurasakan sehingga tiada lagi kerisauan atau kebimbangan
dihatiku.
Aku malah merasa sangat nyaman
dan tenteram. Dalam kehangatan pelukannya itu aku belajar menghisap susu ibuku.
Tidak sesukar mana sehingga beberapa detik kemudian aku lancar menikmati
enaknya rezeki anugerahMu berupa susu ibuku itu. Demikianlah kuasa ajaibMu
Tuhan. Engkau perlihatkan dan rasakan pada wajah dan watak dunia untuk ku
pelajari seawal usiaku sebegitu... Ohhhh! Rupanya dunia itu pergiliran antara
tangis dan suka, dunia itu sifatnya mengejutkan rasa, memeranjatkan dan
menakutkan, dunia juga membahagiakan dan memberi ketenteraman. Dunia membedakan
antara ujian kesakitan dengan nikmat kesyukuran. Dunia rupanya mengumpulkan manusia
jadi berkeluarga
Kelahiranku menjadikan ibuku
kuat bertenaga. Semangatnya sanggup berbuat apa saja demi membahagiakanku. Aku
dilayaninya sebaik mungkin. Walaupun tidak dapat mengerjakan solat tapi
malam-malam yang aku dan ibu berjaga bersama-sama adalah malam yang penuh
dengan doa dan syukur. Enaknya kerana di waktu malam aku lebih banyak berjaga.
Terutama di penghujung malam aku akan menangis; meminta susuan atau mengadu
kelembapan buangan.
Engkau rupanya mendidikku untuk
terbiasa berjaga malam. Mensedikitkan tidur di waktu malam rupanya perlu
kujadikan tradisi. Tangisanku di dinihari menjadikan seluruh ahli keluarga yang bangun bersamaku memeriahkan ibadah malam
bersama-sama.
Wahai Tuhan, akulah hamba yang
hina yang sedang Engkau uji di dunia yang fana’ ini. Sebagai anak kerdil, aku
sedang merakam dan mengumpul segala perkara yang ada di sekelilingku. Hanya
dengan kasih sayangMu lah Tuhan aku dipimpin mendapatkan yang terbaik dari isi
dunia ini. Sejak kecilku ketika diletak di dalam buaian, ibu akan selalu
menyebutkan lafaz-lafaz doa yang semuanya memuji serta memujaMu di atas apa jua
yang ingin kulakukan.
Tuhan, Engkaulah yang
membesarkanku dengan bimbingan kedua ibubapaku, aku berupaya cepat menghafal
doa, membaca Quran dan mengamalkan wirid serta zikir. Aku menyaksikan kekaguman
ibu melihatkanku dapat menghafal surah-surah pendek dalam AlQuran malah cekap mengerjakan
sembahyang bersama abang-abang dan kakak yang lain. Keletahku pula sangat
menghiburkan semua ahli keluargaku.
Wahai Tuhan, keluarga yang
engkau pilih supaya menjadi keluargaku ini, rupanya adalah sebuah keluarga yang
penuh kasih sayang dan kebahagiaan. Aku dididik dan diasuh dengan sistem
kehidupan membesarkanMu. Jiwaku dibina untuk merasakan Engkaulah Cinta Agungku.
Ibubapaku pandai menjadikan kasih sayang mereka sekadar menarikku untuk dekat
padaMu. Sekalipun mereka amat menyayangiku tetapi mereka tidak memanjakanku.
Aku dibiarkan menghadapi banyak
hal sendirian. Aku tidak dilayan dengan kemewahan tetapi aku diberi ‘cabaran-cabaran’
yang sesuai dan sepadan dengan usiaku. Justeru sebaik habis waktu ibu
berpantang, Ibu sudah melatihku dengan kehidupan di asrama. Maksudku Ibu telah
menitipkanku di pusat jagaan bayi. Aku mempunyai beberapa orang rakan sebayaku
di situ. Seorang ibu angkat yang solehah begitu menghargai kehadiran kami
bersamanya. Dia amat menyayangi kami. Kami benar-benar dijadikan sebagai
anak-anaknya dengan maksud semuanya yang dia ingin lakukan pada anak-anaknya
itulah yang diberikannya pada kami. Tidak dibezakan antara kami dengan
anak-anaknya. Maha suci Engkau wahai Tuhan kerana mengurniakan keajaiban hati
pada ibu angkatku ini.
Wahai Zat yang Maha Agung!
Kehidupanku di pusat jagaan ini mengingatkanku kepada apa yang Engkau telah
perlakukan terhadap kekasihMu Nabi Muhammad saw. Engkau pisahkan Baginda
daripada ibunya Siti Aminah se awal usia seminggu sahaja. Engkaulah yang
menitipkan Muhammad yang baru lahir kemerah-merahan itu ke tangan Halimatus
Sa’diah. Rupanya Baginda Nabi Engkau ‘asramakan’ begitu awal sekali. Hebat
sekali rupanya kerinduan yang terpaksa ditanggung oleh seorang ibu berpisah
dengan anak yang baru lahir.
Berada di perkampungan kabilah
Bani Saad selama empat tahun adalah satu jangka masa yang sangat berat bagi
seorang ibu muda menanggung rindu. Itupun Engkau kembalikan Baginda kepada
Bonda tercinta setelah Baginda didatangi Malaikat Jibrail untuk membelah dada
Baginda yang mulia. Tetapi tetaplah hebat didikan Engkau terhadap Baginda. Didikan
pemisahan dengan orang tersayang rupanya menjadi proses yang sangat luar biasa
membentuk peribadi mulia, berjiwa besar, berhati jujur seperti Muhammad
Al-Amin.
Wahai Tuhanku yang sentiasa memerhati perjalanan hidupku
Aku sedar harapan Ibubapaku
terhadapku sangat banyak. Mereka inginkanku menjadi anak yang menyiapkan
dirinya untuk menjadi hamba yang sebenar-benar hamba kepada Mu. Agungnya impian
mereka terhadapku. Mulianya hati mereka terhadapMu Tuhan sehingga aku ikut sama
merasakan perlunya aku mengawal diri.
Lalu aku membesar, boleh
berdiri dan berjalan sendiri. Lidahku petah dan fasih membaca kitab suciMu. Aku
cekap bergerak lincah, berlari dan bermain dengan rakan seusiaku di asrama. Aku
menjadi lebih matang berbanding usiaku. Engkaulah yang membentukku sebegitu.
Demikian juga disiplin asrama begitu mengasah bakatku, membentuk peribadiku.
Aku dibiasakan untuk menghayatiMu. Aku dilatih untuk bercakap-cakap denganMu.
Aku disuruh untuk sentiasa menjadikanMU tempat ku mengadu, meminta dan memohon
segala yang ku perlu.
Wahai Tuhan sumber kehidupan
dan kematian
Mahasuci Engkau kerana
menganugerahkan kami umat manusia dengan satu ibadah yang sangat luar biasa.
Rupanya Sembahyang Adalah Pendidikan. Ya Sembahyang adalah pendidikan‼!
Hebatnya kata-kata ini. Besarnya ungkapan ini. Aku jadi seorang yang tunduk syukur
ke hadhratMu Tuhan kerana anugerah sembahyang ini untukku. Rupa-rupanya
kebimbanganku untuk datang ke dunia yang aku tempuhi dengan doa serta munajat
memohon keselamatan dariMu, rupanya Engkau jawabnya melalui sembahyang yang
Engkau maksudkan sebagai pendidikan.
Ya‼ Pendidikan sebenarnya untuk
menghidupkan hati untuk dapat cintaMu Tuhan tanpa melihat Engkau dgn mata yang
zahir. Aku yang berupa ruh inilah yang dapat melihat keindahanMu Tuhan.
Tetapi sembahyang sangat
membantuku kembali merasai kebesaranMu Tuhan kerana seluruh bacaan, perbuatan
serta ingatan hati menjadi satu dalam segalanya.
Tolonglah aku ya Allah!!!
5 PERINGKAT
ALAM YANG TELAH, SEDANG DAN AKAN DITEMPUH MANUSIA
1)
ALAM ARWAH
(RUH) – Ribuan tahun sejak diciptakan oleh Allah
2)
ALAM RAHIM (KANDUNGAN
IBU) – 9 bulan 10 hari
3)
ALAM DUNIA
- Mempunyai 2 peranan di
atas muka bumi;
a) Sebagai HAMBA:
“Tidaklah Aku
Jadikan jin dan manusia melainkan untuk
beribadah kepadaKu”
b)
Sebagai KHALIFAH
“Dan ingatlah
ketika Tuhanmu berfirman kepada para
malaikat bahawa sesungguhnya Aku akan
menciptakan
manusia sebagai khalifah di atas muka bumi”
4)
ALAM BARZAKH
(KUBUR) – Mendapat nikmat atau siksaan mengikut keadaan
amalan di dunia
5)
ALAM AKHIRAT - Dibangkitkan semula
- Menuju padang Mahsyar
- Perbicaraan di Mahkamah Tuhan
- Melalui titian Siratal Mustaqim
- Masuk ke Syurga atau jatuh ke Neraka.
RSA dan BW ar terima kasih kerana mengajar kami segalanya tentang akhir zaman!!
0 ulasan:
Catat Ulasan