Social Icons

Saturday, 4 April 2015

Perkembangan Terkini Nahas Helikopter Di Semenyih

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan keenam-enam jenazah yang terlibat dalam nahas helikopter petang ini akan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) kira-kira 9.30 malam ini. 

Menteri dalam negeri itu berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang sudah tiba di kawasan nahas dan akan diberikan taklimat situasi semasa di tempat kejadian. "Pasukan forensik sudah berada di sini dan akan melihat jenazah berkenaan. Selepas pengesahan keenam-enam jenazah yang ditemukan itu akan di bawa ke bilik mayat Hospital KL. 

"Di Hospital KL, pakar forensik sudah bersedia menunggu di sana untuk sekali lagi melakukan pengecaman, DNA dan prosedur pengenalpastian jenazah berkenaan," katanya ketika ditemui media di lokasi nahas malam ini. 

Ditanya mengenai identiti mangsa yang terlibat, Zahid berkata: "Biar polis mendedahkan identiti selepas forensik mengesahkan."Beliau berkata ketua polis Selangor akan mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai perkara yang perlu dimaklumkan kemudian. 

________________________
Pasukan khas ditubuh siasat nahas 4 April 2015 KUALA LUMPUR - Satu pasukan khas ditubuhkan bagi menyiasat punca helikopter AS3655N2 Dauphin (9M-1GB) terhempas di Semenyih dekat sini, petang tadi, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai. 

Beliau berkata, pasukan itu akan menyiasat dengan menyeluruh termasuk mengambil semua bukti di lokasi nahas itu di Jalan Sungai Lalang, Kampung Pasir Baru. "Pasukan khas ini akan membuat tinjauan di lokasi kejadian termasuk mengambil rakaman kokpit dalam helikopter untuk siasatan lanjut," katanya ketika ditemu bual oleh stesen televisyen swasta, Astro Awani, secara langsung malam ini. 

Tiong Lai berkata, kesemua enam mayat mangsa nahas itu akan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat dan pengecaman identiti, yang prosesnya dijangka selesai malam ini. 

Helikopter itu, yang membawa enam orang termasuk Pengerusi Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis dan Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri Datuk Azlin Alias, terhempas di kawasan kebun getah itu pada 4.55 petang. 

Saksi yang melihat kejadian itu memberitahu pemberita bahawa helikopter itu meletup di udara sebelum terhempas, dan meletup sekali lagi di kawasan kebun getah. Kesemua enam mayat mangsa nahas itu sudah ditemui pasukan mencari dan menyelamat melibatkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Pertahanan Awam beberapa jam selepas insiden itu. - Bernama 

0 comments:

Post a Comment

 

Sample text

Sample Text

Sample Text