Social Icons

Selasa, 7 April 2015

Surat Dari Guru Besar Yang Berjiwa Pembimbing

Surat berikut telah ditulis oleh Guru Besar Barrowford Primary School yang terletak di United Kingdom. Surat ini ditujukan kepada semua pelajar tahun 6 yang telah memperolehi keputusan peperiksaan sekolah tersebut. Cuba baca dan hayati seni mendidik yang tertulis pada surat yang diterima oleh salah seorang pelajar sekolah tersebut yang bernama Charlie Owen.


Sungguh menakjubkan!

Inilah surat dari seorang guru yang berjiwa pembimbing!

Bayangkan apa perasaan Charlie Owen tatkala membaca surat ini…

Saya tidak berharap sangat guru-guru kita berbuat sebegitu. Ia harapan yang terlalu besar. Namun, jika mereka berbuat sebegitu alangkah bagusnya! Alhamdulillah…

Sebagai bapa dan ibu kepada anak-anak, kitalah yang mesti mempunyai sikap tersebut. Iaitu sentiasa menghargai anak-anak walau apa pun keputusan peperiksaan mereka. Kerana nilai mereka bukan hanya pada sekeping kertas yang menyatakan keputusan peperiksaan sekian dan sekian. Tapi lebih dari itu!

Sebagai ibubapa, kita lebih kenal akan diri mereka. Kita nampak akhlaq baik mereka. Kita kenal kualiti yang mereka ada. Kita tahu kelemahan-kelemahan mereka. Kita maklum kebaikan-kebaikan yang telah mereka lakukan terhadap adik-beradik mereka dan terhadap kita. 

Kita sedar akan pengorbanan mereka serta sifat positif mereka. Dan kita tahu betapa cerahnya masa depan dan potensi mereka pada masa hadapan, di dunia dan di akhirat. Kita tahu ada permata bernilai yang tersimpan di dalam dada anak-anak kita yang semestinya perlu digilap dengan sabar dan tekun.

Adalah sangat tidak adil jika keputusan pada kertas peperiksaan menjadi penilaian muktamad kepada mereka. Sangat tidak patut jika pencapaian mereka yang tidak menepati kehendak sekolah, kehendak kita dan kehendak masyarakat menjadi ukuran baik atau buruk atas diri mereka.

Yang paling penting dan paling utama ditekankan ialah agar anak-anak kita menepati kehendak ALLAH. Gilaplah ke arah itu. Apa kehendak ALLAH?

Firman ALLAH `Azza wa Jalla:

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

“Dan (ingatlah) AKU (ALLAH) tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKU.”

(Surah adz-Dzariyaat, 51:56)

Yang menjadi penilaian muktamad samada mereka yakni anak-anak kita berjaya atau tidak ialah berdasarkan kepada objektif di atas. Itulah sebab kenapa kita dijadikan dan itulah apa yang wajar menjadi keutamaan kita dan seluruh manusia. Iaitu untuk menjadi hamba kepada ALLAH. Taat 100% kepadaNYA.

Berbalik kepada inti surat di atas, lihatlah betapa berhikmahnya si guru besar itu. Walaupun mendapat keputusan peperiksaan yang baik itu adalah suatu yang penting, namun beliau sedar bahawa keputusan peperiksaan bukanlah segala-galanya. Skop yang lebih luas dan berjangka panjang hingga ke alam akhirat mesti dimasukkan sekali dalam penilaian kita.

Berhikmahlah dengan anak-anak kita. Allahu A`lam.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text