Social Icons

Thursday, 9 April 2015

Wanita Solehah Akan Simpan Rahsia Istimewa Ini


WAHAI isteri yang dirahmati ALLAH, Rasulullah pernah bersabda, “Dunia ini adalah perhiasan/kesenangan dan sebaik- baik perhiasan/kesenangan dunia adalah wanita yang solehah.”- Riwayat Muslim, Nasa’i, Ibnu Majah dan Ahmad.

Mudahkah menjadi wanita solehah? Wanita solehah itu bagaimana? Wanita solehah ialah yang akan menjadi bidadari syurga dengan izin-NYA. Inginkah dirimu juga menjadi wanita syurga? Bagaimanakah caranya?

Begini... sebenarnya dirimu sudah pun mempunyai satu ciri wanita syurga, iaitu menjadi isteri kepada seorang suami. Anas bin Malik menyatakan Nabi Muhammad bersabda:

“Seorang wanita yang apabila mengerjakan solat lima waktu, berpuasa wajib sebulan, memelihara kemaluannya serta taat kepada suaminya, maka pasti akan masuk syurga dari pintu mana sahaja yang dia kehendaki.”-Riwayat Abu Na’im
Ini sabda Nabi, manusia pilihan ALLAH. Insan maksum, yang dijanjikan syurga dan dapat memberikan syafaat di Padang Mahsyar kelak. Ini bukan manusia biasa yang mana kata-katanya boleh dipertikaikan. Dirimu boleh memasuki syurga yang penuh keindahan itu melalui mana-mana pintu yang dikehendaki. Tiada halangan oleh sesiapa pun.

Bukankah ini khabar yang sungguh istimewa? Dengan mengerjakan solat lima waktu, berpuasa sebulan kecuali keuzuran, memelihara kemaluan dan taat kepada suami yang dicintai sepenuh hati itu, dirimu diberi peluang oleh ALLAH untuk satu nikmat terbesar dalam sejarah hidup manusia. Masya-ALLAH...

Dirimu bersolat lima waktu? Insya-ALLAH, tentu dirimu juga menjaga solat yang dilaksanakan. Tentu juga berusaha untuk khusyuk. Jika terleka seketika, sudah pasti cuba untuk kembali menghayati makna bacaan solat yang merupakan ‘perbualan’ seorang hamba dengan ALLAH. Solat menghubungkan hamba denganMaha Pencipta. Dan solat juga merupakan ibadat yang akan diperiksa terlebih dahulu sebelum yang lainnya. Baik solat, baiklah kita. Buruk solat, buruklah kita. Namun, sempurnakah solatmu selama ini?
Apabila berpuasa pula, memang dirimu telah dilatih sejak kecil. Setelah berkahwin akan berpuasa bersama suami dan setelah mempunyai zuriat, dirimu melatih mereka untuk berpuasa pula. Sebulan berpuasa sudah biasa bagimu. Namun, adakah puasa itu sudah sempurna? Berpuasakah jiwamu itu? Terpeliharakah nafsu semasa berpuasa? Dapatkah dirimu mendidik dan membentuk nafsu sepenuhnya dan dapatkah mengekalkan kecemerlangan itu selepas sebulan berpuasa?

Memelihara kemaluan? Cukuplah suami yang ada itu. Namun, terkejut juga ketika mendapat tahu kali pertama kewujudan isteri curang dalam kalanganmu juga. Mengapakah terjadi kisah sedemikian rupa? Tidak tergambar dek kata-kata bagaimana mereka merelakan ‘taman’ itu dijajah oleh lelaki asing. Dalam kebingungan, bermohonlah kepada ALLAH agar dirimu tidak terjerumus di lembah hina itu. Sekali lagi ditekankan, cukuplah dengan suami yang ada itu usah dicari yang lain lagi.

Taat kepada suami biarlah dengan kata-kata, tindakan dan ajakannya menuju ALLAH. Ada segelintir suami yang bersekongkol dengan syaitan dalam nafas dan darahnya. Inilah ujian paling getir buat wanita bernama isteri. Suami penagih dadah, kaki judi, tahi nombor ekor, kaki botol, kaki pelacur dan semua yang ada kaitan dengan syaitan adalah ujian paling getir untuk dihadapi.

Musnah semua impian saat diijabkabulkan. Suami yang disangka dapat membawa ke syurga rupanya menempah tiket ke neraka. Mengapa perlu taat kepada lelaki seperti ini setelah jenuh berusaha untuk membantunya kembali ke pangkal jalan? Lalu mengapa perlu setia menanti? Islam menyediakan jalan keluar. Maka, bersedialah untuk satu kehidupan baru; kembali bersendiri dan ditemani ALLAH yang sebenarnya sangat dekat dengan hamba-NYA.

Dan sesiapa bertakwa kepada ALLAH, nescaya DIA akan mengadakan baginya jalan keluar dan memberi rezeki dari arah yang tiada disangka-sangka. Sesiapa bertawakal kepada ALLAH, nescaya ALLAH akan mencukupkan keperluannya. - At-Talaq: 2

Buat isteri yang diuji, ingatlah janji ALLAH atau kenangkanlah kata-kata hikmah ini. Umar bin Abdul Aziz pernah berkata:

“Sekali-kali ALLAH tidak menganugerahkan nikmat kepada seorang hamba, kemudian DIA tarik nikmat itu dan DIA gantikan dengan kesabaran, kecuali bahawa ALLAH akan menggantinya dengan yang lebih baik daripada apa yang sudah DIA cabut daripadanya.”

Allahurabbi...
Namun, bagi yang bertuah mendapat suami soleh, haruslah terus taat selagi tidak melanggar hukum ALLAH. Cukupkanlah hati dengan suami yang ada, ketepikanlah rasa kurang senang terhadap beberapa sikapnya yang tidak digemari.

Tutuplah mata kepada kekurangan dan kelemahannya kerana dirimu juga tidak sehebat Asiah atau setabah Siti Hajar. Selagi suami itu tidak melakukan apa yang ditegah ALLAH dan berusaha melakukan sunah Rasulullah, maka berdiri teguhlahdi sisinya. Bersama-samalah membantunya mendatangkan kasih sayang dan rahmat ILAHI di dalam rumah tangga.

Wahai suri bidadari milik suami, Walau berat ujian hidup bersuami, walau lelah menahan tabah hati, kenanglah pengakhiran hidup sebagai seorang wanita, seorang isteri. Ingatlah pesan Nabi s.a.w, “Jika suami itu boleh disembah maka akan kuperintahkan isteri sujud kepada suami.” Tentulah suami yang dimaksudkan oleh Rasullullah itu ialah seorang yang sentiasa berusaha membaiki diri dan agamanya. Juga berusaha membimbing isteri dan zuriatnya menuju rumah tangga di syurga. Maka, berdoalah agar ALLAH sentiasa meredhai suami sebegini.

Doa pasti dimakbulkan. Cepat atau lambat bukanlah urusanmu, berserah saja hanya kepada-NYA. Yakinlah...

Siti Farrah Shahwir & Noraini Ismail
17 September 2012 | Sinar Harian

0 comments:

Post a Comment

 

Sample text

Sample Text

Sample Text