Apa yang masyarakat perlu tahu tentang isu doktor lelaki di wad bersalin:
1) Subjek Perbidanan dan Sakit Puan (O&G) merupakan subjek wajib dalam bidang Perubatan.
Bagi pelajar perubatan di seluruh dunia (bukan sahaja di Malaysia), bidang O&G adalah subjek besar yang wajib dipelajari. Ia memakan masa sebulan atau lebih, bergantung kepada universiti. Kenapa subjek ini wajib dipelajari?
Ini kerana bidang O&G adalah salah satu asas yang perlu dikuasai oleh seorang doktor. Mudah kata, jika doktor tidak menguasai bidang ini, dia tidak layak bergelar doktor. Bagi melengkapkan pelajar perubatan dengan ilmu ini, dia akan didedahkan dengan pelbagai rawatan dan pengurusan pesakit, antaranya termasuklah cara-cara memeriksa ibu mengandung, melihat atau mengendalikan wanita bersalin, melihat kaedah calitan Pap (Pap smear) pada serviks, melihat pembedahan “Caesarean section” dan lain-lain lagi. Jika dia tidak didedahkan dengan perkara-perkara ini, pengetahuannya akan terjejas kelak bila dia bergelar doktor.
2) Jabatan O&G adalah antara jabatan yang wajib untuk doktor baru lalui.
Doktor siswazah atau dikenali juga sebagai “house officer” adalah doktor perubatan yang baru menghabiskan pengajiannya.
Mereka diwajibkan oleh kementerian untuk bertugas dalam 6 bidang (posting) utama iaitu Perubatan (Internal Medicine), Kanak-kanak (Pediatrics), Pembedahan (Surgery), Ortopedik, Kecemasan/Anesthesiology dan termasuk antara yang enam ini adalah Perbidanan dan Sakit Puan (Obstetrics and Gynecology/O&G).
Ketika inilah “house officer” akan dilatih untuk menguruskan pesakit, termasuklah antaranya mengetahui keadaan pesakit, membuat siasatan dan pemeriksaan lanjutan, serta memberikan rawatan.
Jadi, antara latihan yang perlu dijalani dalam bidang O&G ialah mengendalikan wanita bersalin, pemeriksaan kandungan, pemeriksaan faraj dan lain-lain.
Jika ditimbulkan cadangan bahawa tidak patut ada doktor lelaki dalam jabatan O&G, maka ke manakah kita mahu pindahkan doktor-doktor lelaki ini? Baiklah.
Jika kita kecualikan latihan O&G bagi doktor lelaki, bermaksud doktor lelaki hanya ada lima “posting”, pada saya itu lebih meringankan doktor lelaki. Namun tidakkah itu akan memberatkan doktor perempuan?
Bayangkan contohnya satu jabatan terdapat 40 pesakit, “house officer” yang bertugas adalah seramai lima orang – tiga lelaki dan dua perempuan. Jika lelaki itu dikeluarkan dari wad tersebut, maka tinggallah dua “house officer” perempuan. Nisbah “house officer” kepada pesakit yang asalnya adalah 1:8, kini sudah menjadi 1:20. Tidakkah membebankan tugasan doktor perempuan dan juga mengurangkan efisyen tugas? Dalam 40 orang pesakit itu, tidak semuanya normal, pasti ada yang perlu diberikan perhatian lebih, contohnya yang mempunyai penyakit darah tinggi, atau kencing manis, atau pendarahan dan lain-lain.
Itu semuanya adalah nilaian nyawa dan keselamatan pesakit. Belum campur tugasan di dewan bersalin, bilik bedah dan klinik lagi. Apakah mampu keseluruhan jabatan itu dikendalikan oleh dua atau tiga “house officer” perempuan tersebut?
3) Doktor yang tamat latihan housemanship perlu bersedia untuk menjadi doktor di hospital daerah dan klinik kesihatan, serta bersedia mengendalikan situasi kecemasan.
Di hospital daerah, tidak ada kepakaran untuk setiap jabatan. Doktor yang dulu merupakan house officer kini sudah menjadi pegawai perubatan. Merekalah yang akan menjadi doktor bertugas untuk bermacam-macam penyakit merangkumi pelbagai bidang sama ada kanak-kanak, pembedahan, trauma, kemalangan dan juga O&G.
Jika ada ibu-ibu yang akan bersalin, merekalah yang akan mengendalikannya. Di klinik kesihatan pula, kes-kes penyakit harian dan juga penyakit yang perlukan pemeriksaan berkala dijalankan. Termasuklah pemeriksaan kandungan (antenatal care).
Di hospital daerah itu tadi, jikalau bilangan doktor perempuan mencukupi, maka anda bolehlah membuat permintaan. Namun, hakikatnya tidaklah semudah itu.
Doktor tidak seramai seperti di hospital besar. Maka jika doktor itu lelaki, dialah yang akan menguruskan masalah anda termasuklah bersalin. Bayangkan jika doktor lelaki ini tidak mempunyai pengetahuan dan pendedahan yang cukup sewaktu menjadi pelajar perubatan, juga tidak mendapat latihan yang cukup ketika “house officer”, mampukah dia menjadi doktor yang berkemampuan untuk mengendalikan masalah bersalin anda? Tidakkah ianya merisikokan nyawa anda dan anak anda?
Kita juga maklum tentang situasi banjir yang mencemaskan terutamanya di pantai timur pada penghujung 2014 yang lepas. Beberapa orang doktor telah berkorban masa dan tenaga dalam mengendalikan pesakit yang mahu bersalin. Dalam keadaan cemas sebegitu, dengan jumlah doktor yang tidak mencukupi, bagaimanakah mereka mampu menghadapinya jika mereka tidak mendapat latihan yang secukupnya ketika housemanship?
4) Nisbah doktor kepada penduduk di Malaysia masih belum mencukupi.
Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, Malaysia masih belum mencapai piawaian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi nisbah doktor kepada populasi masyarakat. Nisbah doktor kepada jumlah masyarakat Malaysia ialah 1: 791(statistik KKM 2013), sedangkan nisbah yang sepatutnya ialah 1:400. Jika dalam keadaan nisbah yang masih belum mencukupi ini kita mahu mengenakan had kepada doktor lelaki, nescaya pesakit tidak akan dapat dirawat dengan baik dan efisyen, malah mungkin boleh mengancam nyawa.
5) Jumlah doktor pakar O&G masih belum mencukupi.
Jumlah pakar O&G dalam sektor kerajaan juga masih belum mencukupi. Latihan yang perlu dilalui oleh seorang doktor untuk menjadi pakar juga bukanlah mudah, mereka perlu melalui latihan selama 4-5 tahun. Dalam usaha untuk membuat thesis dan mengulangkaji, mereka juga harus bertugas sebagai doktor untuk merawat dan bertugas “on-call”. Masa bersama keluarga tidaklah sebanyak orang yang berkerja waktu pejabat. Kerjaya sebagai pakar O&G juga berdepan dengan tindakan undang-undang.
Jika anda mempunyai isteri, adakah anda sanggup menjadi suami kepada seorang yang banyak masanya di hospital, kurang masanya dengan anak-anak berbanding ibu-ibu lain, di rumah pula mungkin dia sibuk untuk mengulangkaji?
6) Aurat pesakit lelaki dan wanita di jabatan lain turut tidak boleh diambil mudah.
Pesakit lelaki di hospital juga ada masanya perlu mendedahkan aurat kepada jururawat dan doktor wanita di hospital. Malahan, di jabatan lain seperti jabatan pembedahan juga, aurat pesakit wanita, malahan bahagian sulit mereka perlu didedahkan untuk tujuan rawatan. Jadi, jika kita ingin memberikan perhatian kepada wad bersalin sahaja dan mengerahkan seluruh tenaga kakitangan dan doktor wanita ke sana, bagaimana dengan pesakit wanita di jabatan lain? Tidakkah aurat mereka juga mempunyai nilai yang sama?
7) Dalam bilik bersalin, yang utama adalah nyawa pesakit.
Kematian ketika melahirkan anak pada zaman ini adalah sesuatu yang jarang berlaku berbanding pada zaman dahulu, dan jika berlaku, perhatian yang serius harus diberikan. Laporan di peringkat negeri perlu dibentang. Sebab itu, dalam bilik bersalin, dalam keadaan yang mencemaskan, tumpuan kakitangan kesihatan adalah untuk menyelamatkan nyawa pesakit. Sangat mustahil untuk doktor lelaki sengaja pula mengambil kesempatan ke atas aurat pesakit yang terdedah, dalam keadaan sebegitu.
8) Kakitangan wanita wajib menemani pesakit ketika rawatan.
Dalam etika perubatan dan undang-undang, pesakit yang dirawat oleh jantina berlainan wajib ditemani oleh staf yang berjantina sama dengan pesakit. Misalnya, pesakit wanita yang dirawat oleh doktor lelaki wajib ditemani oleh staf wanita. Istilah ini dipanggil chaperone.
9) Pesakit ada hak untuk membuat permintaan kakitangan perempuan.
Dalam etika perubatan, pesakit juga ada sebahagian hak dan autonomi yang diberikan untuk membuat permintaan. Mereka ada hak untuk membuat permintaan agar dirawat oleh doktor wanita. Kakitangan kesihatan akan cuba menunaikan permintaan mereka. Namun, permintaan ini tidak akan dipenuhi setiap masa, kerana ianya bergantung kepada keperluan dan kekosongan. Jika pesakit mengalami keadaan kesihatan yang serius, manakala doktor wanita yang berada di situ mempunyai pengalaman yang kurang berbanding doktor lelaki, pastilah pihak hospital tidak akan merisikokan nyawa pesakit kepada orang yang kurang berpengalaman.
10) Hospital swasta mempunyai hadnya tersendiri.
Walaupun sesetengah hospital swasta boleh menunaikan permintaan pesakit untuk dirawat oleh kakitangan wanita, satu perkara yang anda perlu tahu ialah hospital swasta mempunyai fasiliti dan kepakaran yang terhad berbanding hospital besar.
Selalunya hospital besar mempunyai pakar dan staff yang lebih terlatih dan mempunyai kelengkapan kecemasan yang lebih lengkap seperti bank darah.
Jadi, risikonya adalah jika berlaku apa-apa kecemasan yang membahayakan nyawa, hospital swasta yang tidak mampu mengendalikan masalah tersebut selalunya akan memindahkan pesakit ke hospital kerajaan.
Perjalanan ke hospital kerajaan tersebut juga memakan masa, menambahkan lagi risiko kepada keselamatan isteri dan anak anda.
Semoga beberapa perkara ini dapat memberikan kefahaman yang lebih kepada masyarakat dalam isu berkaitan.
Untuk lebih banyak artikel-artikel berkenaan kesihatan, bolehlah merujuk laman Rakanmedik.com ataupun LIKE laman Facebook RakanMedik di SINI.
LIKE dan FOLLOW Vocket di Facebook serta Instagram
Sumber artikel dari thevocket
Assalamualaikum, saya faham penulis cuba sampaikan cuma saya tidak dapat bersetuju 100% apabila dengan alasan ini para ibu2 muslimah harus terima sahaja apabila dirawat oleh doktor lelaki terutamanya dihospital-hosp besar.Isu darurat tu pun sama jika benarlah sudah tiada doktor perempuan lagi, jadi ianya boleh lagi diterima, nak buat macamana tetapi menurut aduan ibu-ibu, daruratkah apabila yg memeriksa kebukaan jalan itu doktor/pelatih lelaki? sedangkan nurse perempuan ada dekat tepi siap boleh mengajar lagi lepas tu nak buat apa dekat yang memeriksa itu sudahlah tak minta izin, main seluk aja, kata ibu itu. Itu baru satu aduan, kalau dibaca aduan2 yang lain boleh luluh hati. Sampai macam itu sekali maruah mereka diketepikan dengan alasan supaya doktor pelatih dapat belajar atau doktor lelaki dah tak mengheli dah. Yelah tu.. klau sebaliknya macamana? Ibu2 ni bukan dapat baca doktor mana yang dah lali atau yang tidak. Nurse pun tak tahu mereka hanya mengikut arahan dan prosidure2 dari buku. Jadi siapakah yang dapat lindungi ibu2 ni dari ..... Maaf teremosi sedikit, saya tidaklah nak menghukum doktor lelaki atau menyalahkan sesiapa tetapi kita tak boleh terima sahaja sesuatu keadaan yang tidak berapa patut itu dan biarkan ianya berkekalan dan hanya memberi justifikasi2 sedangkan saya rasa isu ini boleh diperbaiki tetapi perlu ada usaha dan campur tangan daripada semua pihak terutamanya daripada pihak kerajaan dan hospital. Permasalahan-permasalahan diatas pun ada penyelesaian kalau tidak cukup kita cukupkan sebab melalui pengalaman saya bukan pelajar kita ni tak ramai nak jadi doktor, ramai yang 9A,8A,3.8,3.9 dan 4 flat tapi tak dapat jadi doktor sebab kuota setiap universiti yg tawarkan kedoktoran ni tak banyak dan cepat penuh jadi ramailah yang tak dapat ni minta farmasis pula asalkan dok hospital. Kalau mereka ni semua diterima (kesian sedara saya menangis2 tak dapat jadi doktor padahal 3.9 tapi ada yang dapat pulak, rezeki orang ) in shaa allah 5 tahun kedepan hilanglah masalah tak cukup nisbah tu sebab pelajar2 itu nak saja jadi doktor dan bagus2 tetapi ditolak sebab kuota. Masalah doktor perempuan buat posting lebih, bagilah insentif lebih dan banyak kelebihan kepada mereka sebab depa buat lebih in sha allah akhirat pun dapat lebih. Tentang aurat pesakit lelaki pun berikanlah perhatian juga ibu2 tak suruh abaikan aurat pesakit lelaki dan lebihkan aurat pesakit perempuan. Cuma yang viralnya sekarang ialah isu dari ibu2. Untuk masalah rural areas buat kursus perbidanan untuk makcik2 kakak2 adik2 yang benar2 berminat so kes2 darurat dapat dikurangkan. Perbidanan dulu2kan power apa kata ilmu tu diturunkan kepada orang ramai(perempuan ye) so kurang sikit perkara darurat itu berlaku tapi betul kata orang kita hanya boleh merancang tuhan yang menentukan kalau jadi jugak perkara darurat macam kes di kelantan itu, siapalah kami nak membantah nak mengecam bagai malah itu adalah sesuatu yang baik tapi still Alahai pak.. Ada yang lahir di tengah jalan sebab tak sempat, ayahnye yang buta kayu buta huruf pun boleh sambut pokoknya itu namanya ketentuan kalau kes2 ibu2 itu macamana? ketentuankah dijadikan bahan tontonan waktu aku dah tak larat nak membantu diri aku sendiri.. ahh lantaklah... aku tak halalkan dunia akhirat (ibu yang di cheerskan oleh pelatih2 lelaki dan perempuan yang masuk menyerbu kedalam bilik labour room sewaktu dia nak meneran, ingat dia hairan dengan cheers korang, lagi menyumpah seranah dalam hati adalah). Inilah jadinya kalau pertimbangan dunia melebihi akhirat.
BalasPadamSAYA NAK TEKANKAN INI HANYA PANDANGAN,CADANGAN DAN ADUAN KERANA PERKARA INI BERLAKU DI KEBANYAKKAN TEMPAT KALAU IANYA TIDAK BERLAKU DI TEMPAT ANDA DAN SIFAT2 DI ATAS YANG DIADUKAN BUKAN SIFAT ANDA ALHAMDULILLAH KALAU BERKENAAN DENGAN ANDA AMBILLAH TAHU SEBAB PAHALA NURSE DAN DOKTOR NI BESAR DAN KAMU BOLEH MASUK SYURGA DENGANNYA BUKAN SEBAB KAMU MENYELAMATKAN ORANG, ITU KERJA TUHAN TETAPI SEBAB KAMU MEMUDAHKAN KEHIDUPAN ORANG YANG SAKIT DAN ORANG ITU REDHA DENGAN PERBUATAN MU TAPI KALAU TAK?