Siapa sahaja yang kematian orang tersayang akan mengalami perasaan rindu yang teramat sangat dengan aruah.
Kadang-kadang tanpa sedar, akan terlafaz kata-kata - berbicara dengan aruah. Terasa macam dia ada bersama. Ini pengalaman Pak Lang sendiri bila kematian isteri.
Adik Pak Lang, Cikgu Saodah pun sama. Dia sekeluarga tentu rasa seakan nampak Syamil dalam rumah dan dimana-mana.
Rindu!! Perasaan rindu yang kuat ini beriringan dengan rasa dekat dengan Allah. Memang sangat menguasai hati ketika ini.
Ianya perasaan yang sukar hendak didapatkan dalam keadaan biasa. Hanya waktu ujian berat dan besar sahaja perasaan dekat dengan Allah ini masuk memenuhi hati, jiwa dan perasaan.
Ulamak berpesan, ketika teruji dengan kematian orang tersayang dan ketika rindu mencengkam jiwa, maka usahakan untuk lebihkan rindu kepada Allah.
Rindukan aruah tetaplah ada tapi alihkan perasaan yang lebih kuat rindunya itu kepada Allah. Dia sentiasa memanggil kita kembali padaNya. Allah rindukan hamba-hambaNya yang taat dan berbaik sangka bahkan redha dengan takdirNya.
Ubahlah dari berbisik dengan aruah yang telah pergi mengadap ilahi kepada berbisik dengan Allah. Allah bagi perasaan rindukan aruah untuk belajar pula rindukan Allah. Dialah sebaik-baik tempat melepaskan rindu. Dialah sebaik-baik tempat mengungkapkan bisikan hati.
Jika kita pandai melakukan ini di dalam hati kita, insya Allah perasaan lapang dan bahagia akan menguasai seluruh lahir batin kita. Hati akan rasa puas kerana kita dibawa kembali kepadaNya melalui perasaan rindukan aruah tersayang.
Ketika ujianlah, kita dapat rasakan khusyuknya ibadah solat kita. Sangat terasa kita sedang diperhatikan oleh Allah. Sangat terpimpin hati kita untuk bercakap-cakap dan berbisik-bisik denganNya.
Allah itu maha hebat dan luar biasa. Diberikan ujian yang perit dan pedih hanya untuk menunggu hamba-hamba pilihanNya berbisik jauh dari lubuk hatinya; "Aku redha ya Allah dengan takdirMU!!" Moga Odah dibantu Allah melepasi ujian ini.
0 ulasan:
Catat Ulasan