Datuk Husam Musa memberi amaran kepada kerajaan negeri Kelantan supaya tidak meneruskan rancangannya membenarkan sebuah syarikat perladangan membersihkan 4,500 hektar hutan simpan menjelang musim hujan yang dijangka tiba akhir tahun ini. - Gambar fail The Malaysian Insider, 15 Oktober, 2015.
Datuk Husam Musa hari ini memberi amaran kepada kerajaan negeri Kelantan supaya tidak meneruskan rancangannya membenarkan sebuah syarikat perladangan membersihkan 4,500 hektar hutan simpan menjelang musim hujan yang dijangka tiba akhir tahun ini.
Bekas naib presiden PAS itu berkata, aktiviti itu yang dijalankan secara besar-besaran menjadi penyumbang kepada banjir yang berlaku semasa musim hujan yang sangat lebat di Kelantan pada Disember tahun lepas, sehingga 200,000 orang terpaksa dipindahkan susulan banjir paling buruk melanda negeri itu.
"Saya pernah menegur kerajaan negeri Kelantan mengenai isu ini beberapa kali. Sama ada secara dalaman mahu pun terbuka," kata ahli Dewan Undang Negeri (Adun) Salor itu dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, beliau ada menulis surat kepada kerajaan negeri Kelantan pada 3 Oktober membangkitkan mengenai penebangan hutan secara besar-besaran tersebut.
Husam berkata, suratnya itu tidak mendapat sebarang respons, maka beliau membuat keputusan menyalurkan isu itu kepada media hari ini.
Beliau berkata, rancangan terkini pihak berkenaan ialah untuk meluluskan kawasan hutan tebang habis dijalankan sebuah syarikat perladangan.
"Syarikat ini dimilik individu yang selalu mendapat kelulusan seperti ini, sudah berkali-kali.
"Kelulusan seluas 4,500 hektar ini menambahkan lagi jumlah keluasan hutan simpan kekal yang akan dibersihkan buat selama-lamanya, bersama semua flora dan faunanya," katanya. Beliau merayu kepada kerajaan negeri untuk menghentikan kelulusan tersebut pada masa hadapan.
"Fikirkan tugas dan amanah di bahu anda sebagai khalifah di bumi yang wajib menjaga semua makhluk termasuk haiwan di hutan, kelangsungan khazanah bumi untuk generasi akan datang, keadilan dalam pengagihan kekayaan," katanya sambil menggariskan beberapa kesan lain akibat kegiatan tebang habis hutan secara besar- besaran.
Selain daripada kesan ekologi pembalakan seperti itu, kelulusan tersebut juga dakwanya diberi secara rundingan terus dan bukan tender terbuka.
"Ia merugikan hasil negeri, menguntungkan segelintir kroni dan membolehkan amalan rasuah berlaku dalam pelbagai cara," katanya.
Sebaliknya, katanya, tanah itu sewajarnya diagihkan untuk dimiliki oleh lebih ramai rakyat Kelantan dengan pelbagai skim komersial dan bukan komersial secara terhad dan seimbang sekiranya perlu.
Tahun lalu, Kelantan mengalami banjir yang amat dahsyat, dengan banyak pihak menyalahkan kegiatan penebangan hutan secara terbuka dan besar-besaran di negeri itu sebagai antara puncanya. - 15 Oktober, 2015. (TMI)
KREDIT SUMBER: IBNU HASYIM
0 ulasan:
Catat Ulasan