Social Icons

Isnin, 12 Oktober 2015

Pesanan Penting Untuk Anak-Anak, Anak-Anak Saudara Dan Cucu-Cucu Saudara

Gambar tanah perkuburan Batu Muda, Jalan KL-Karak - tempat persemadian aruah anakanda Syamil Shamshul


Sebenarnya bila Pak Lang tulis tentang tajuk di atas, bukanlah khusus untuk keluarga Pak Lang. Pak Lang juga ingin semua remaja tahu apa yang ada di hati kami - orang yang telah berusia.

Jika masa boleh diputar, setiap manusia mahu kembali ke zaman kanak-kanak masing-masing. Semua mahu melakar jalan hidup yang sebaik-baiknya. Jika sepanjang hidup menempuh kesukaran dan kesulitan, maka jalan yang ingin dipilih tentunya yang senang-lenang dan mudah. 

Jika ada yang selama hidupnya melanggar hukum Allah, membuat maksiat dan dosa, tentunya sedang menyesal dan mahu kembali menjadi seorang anak yang taatkan Allah sedari kecil. 

Jika hidupnya sibuk dengan dunia, pekerjaan dan kehidupan, bila sudah berusia pencen baru sedar untuk belajar sembahyang dan mengaji Al-Quran. Tentu mereka mahu kembali mengaji agama, mengaji Al-Quran dan sebagainya. 

Hakikatnya masa tidak akan kembali. Masa yang berlalu itu - walaupun baru seminit - adalah hal yang paling jauh dari diri manusia seperti kata ulamak. 

Allah jadikan masa tidak akan berputar semula untuk seseorang membuat pembetulan perjalanan hidupnya. Pembetulan hidup mesti bermula dengan insaf dan taubat. Mulakan hidup baru dan 'buka buku baru' dengan memohon ampun padaNya dan meminta pertunjuk dariNya. 

Hari ini sudah hampir seminggu kembalinya anakanda Ahmad Syamil ke rahmatullah. Banyak pertanda bahawa matinya dalam kebaikan dan semoga aruah mendapat limpahan rahmat, kasih sayang dan keredhaan Allah di alam sana. 

Semua anak cucu Pak Lang dan para remaja sekelian boleh belajar dengan aruah Syamil. Bila dia meninggal dunia, ramai tersedar bahawa aruah ni tak ada musuh. Tiada yang sakit hati dengannya. Dengan kata lain - harap-harapnya aruah tidak ada dosa dengan sesama insan. Siapa sahaja suka dengannya. 

Watak suka melayan orang itu terserlah pada tingkah lakunya yang sangat menghormati orang yang lebih dewasa. Dia matang dalam mengenali saudara mara malah sangat sopan santunnya walaupun aruah seorang lelaki. Tambah pula kasih sayangnya dengan kuching dan semua binantang atau haiwan menjadikan kehilangannya amat dirasakan. 

Sebenarnya semua remaja akan terus lalai jika di dalam diri tidak ada rasa takut Tuhan. Buatlah apa saja, pergilah ke mana pun asalkan di hati ada perasaan takut dengan siksaan Allah, maka seseorang itu mudah untuk kembali kepadaNya. 

Aruah Syamil bukanlah seorang remaja yang 'baik sangat pun' tetapi hidupnya dimudahkan Allah. Jika ada kawan rakan yang cuba memesongkan jalan hidupnya, akan ada cara Allah buatkan untuk aruah kembali 'on track'. Pastinya ada sesuatu di dalam dirinya yang menjadikan dia terpimpin ke arah kebaikan. Kecenderungannya sangat ketara pada hal-hal yang positif. 

Sekarang bagaimana sepupu-sepupunya dan rakan-rakannya mahu mengambil iktibar dengan kematian aruah. Mereka yang mahukan kejayaan dalam hidup sepatutnya mengambil tahu tentang apa yang telah terjadi. Iktibar dan teladan kena di cari. 

Antara yang Pak Lang, Mak Su Ani di Dubai (dan kami semua orang-orang berusia) mahu pesankan ialah perkara-perkara berikut: 

1) Jaga solat lima waktu di awal waktu. Dekatkan diri dengan Allah dan aktiviti agama. 

2) Berbuat baik dengan ibubapa dengan semulia-mulia akhlak. Jagalah hati ibu dan ayah - taatlah semua kehendak kebaikan daripada mereka. Di situ ada keberkatan.

3) Baikilah ibadah utk benar2 menjadi hamba Allah yang Allah itu lah sepatut nya dbesarkan, diutamakan dan di agungkan

4) Berakhlaklah seperti akhlak Rasulullah dan sahabat-sahabat Baginda..Kalau tak mampu nak meniru sepenuhnya kenalah ada cita-cita nak bersikap sopan santun berakhlak mulia 

5) Hormatilah orang yang lebih tua, guru-guru dan seluruh makhluk Allah di muka bumi ini..Bersikaplah seperti Syamil yang semua keluarga senang dengannya sebab tak sombong, mesra, mudah ditegur dan mendengar cakap. Jadilah orang yang tawadhuk, merendah diri, ringan tulang, mudah membantu, mudah dtegur, mudah menerima teguran dan sedia mahu membaiki diri..

6) Jadikan diri sebagai seorang yang berdisiplin dan berprinsip dalam hidup

7) Latih diri menjaga masa - manfaatkan masa dengan sebaik-baik perancangan

8) Buat jadual kerja harian mengenai apa yang mahu dibuat esok, lusa, minggu depan.

9) Jaga pergaulan dengan kawan rakan. Berkawan hanya dengan yang baik sahaja.

10) Berubahlah kepada diri yang lebih baik,

Ingatlah!! Negara dan agama kita perlukan remaja-remaja yang menjadi pelapis kepada keperluan Agama dan Negara..Cukuplah kita sudah saksikan macam-macam masalah dunia hari ini hasil dari kesombongan manusia, tidak membesarkan Allah. 

Semoga kita semua dipimpin Allah menjadi umat terbaik di zaman ini!! 

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text