Social Icons

Jumaat, 5 Julai 2013

Kenapa Morsi Jatuh - Professor Mohammad Agus Yusoff .




PADA 11 Februari 2011, Hosni Mubarak meletakkan jawatannya sebagai Presiden Mesir selepas 18 hari rakyat menunjuk perasaan menentang 30 tahun pemerintahannya. Semasa kejatuhan beliau, rakyat dan tentera berpimpinan tangan melaungkan slogan ‘rakyat dan tentera seiring bersama’.

Pada 25 Jun 2012, Morsi dipilih sebagai Presiden Mesir untuk menjaga kehidupan 84 juta rakyatnya. Rakyat dan tentera juga bergembira kerana mengharapkan satu perubahan baru berlaku di negara itu. Morsi dibanggakan sebagai seorang Hafiz dan mempunyai daya intelektual yang tinggi. Wataknya dan ilmunya digambarkan cukup sesuai untuk menggantikan kezaliman rejim Hosni Mobarak. Maka, rakyat Mesir gembira dengan pemimpin barunya ini, namun kegembiraan itu tidak lama.

Pada 3 Jun 2013, 7 petang waktu Mesir, pemimpin tentera, Andel Fattah al-Sisi telah mengisytiharkan penyingkiran Morsi, menggantungkan perlembangaan dan melantik Ketua Mahkamah Perlembagaan Agung, Adly Mansour, sebagai ketua kerajaan sementara. Saya sedih dengan kejatuhan kerajaan Morsi dan Ihwanul Muslimim ini. Kesedihan ini bertambah lagi apabila mengenangkan nasib pemimpin utamanya sebelum ini yang dihukum gantung seperti Hassan Albanna, Syed Khutub dan lainnya.

Kembali kepada rampasan kuasa di Mesir, Abdel Fattah semasa mengarahkan tentera mengambil alih kerajaan Morsi berkata beliau terpaksa mengambil tindakan sedemikian kerana Morsi semasa pemerintahannya hanya menjaga kebajikan orang Islam dan Ikhwanul Muslimin sahaja, tanpa mempedulikan kebajikan rakyat sekular dan lainnya. Fatteh menafikan tindakan beliau adalah rampasan kuasa, sebaliknya menyatakan tindakan tentera adalah untuk menegakkan kembali demokrasi. Dakwaan Fatteh itu salah kerana dalam apa keadaan sekalipun, campur tangan tentera adalah rampasan kuasa.

Di pihak rakyat pula, mereka terlibat dalam demonstrasi itu kerana hidup dalam keadan yang cukup resah. Mereka mengharapkan ‘revolusi’ membawa kesejahteraan hidup, tetapi apa yang mereka perolehi dari kerajaan Morsi adalah impian revolusi yang kosong: kos hidup, kadar pengangguran dan kadar inflasi yang tinggi, bekalan letrik yang selalu terputus dan harga minyak yang meningkat. Itulah kegagalan Morsi yang diambil kesempatan oleh pihak sekular untuk menjatuhkannya dengan mendapatkan bantuan dari luar. Bantuan itu adalah dari Israel, AS dan juga kaum Yahudi yang merata di bumi ini. Mereka ini mahu melihat kejatuhan kerajaan Islam pimpinan Morsi yang cukup menakutkan mereka.

Mereka takut kepada Morsi kerana semasa berlaku kebangkitan Palestin dua tahun yang lalu, Morsilah yang membuka semula sempadan Gaza yang ditutup semasa pemerintahan Hosni Mubarak. Tujuan Morsi adalah untuk memberi laluan kepada rakyat Palestin berhubung dengan dunia luar supaya mereka tidak terkurung di bumi sendiri. Morsi juga bertindak menutup hubungan diplomatik dengan Syria dan merapatkan hubungan dengan Turki yang juga Islamis. Hubungan Morsi yang baik dengan Racip Tayep Erdogan, Perdana Menteri Turki yang juga Islamis ini cukup membimbangkan Barat dan Yahudi.

Oleh sebab itulah, apabila Morsi jatuh, Asad di Syria gembira, raja Arab Saudi gembira dan beberapa negara Islam lainnya yang autokratik juga turut gembira. Mereka gembira sepertimana Israel, AS dan Yahudi. Hanya negara Turki secara jelas mengutuk tindakan tentera ini. Negara-negara demokratik Eropah lainnya sekadar menyatakan tidak setuju dengan campur tangan tentera, tetapi tidak pun menggunakan istilah rampasan kuasa tentera. Begitulah!

Apa pengajaran dari kisah di atas? Satu yang pasti ialah jangan percaya demokrasi cara Amerika dan negara Barat lainnya. AS, Yahudi dan musuh-musuh Islam hanya bercakap tentang demokrasi, tetapi mereka sendiri tidak mahu menerima keputusan rakyat melalui demokrasi, malah mereka mengkhianatinya. Oleh sebab itulah, kita tidak boleh biarkan dalam apa keadaan sekalipun, unsur luar memasuki kancah politik negara kita kerana demokrasi dari luar selalu menghancurkan, bukan sahaja dalam kes di Mesir, tetapi juga di negara-negara yang dijanjikan oleh Barat seperti Afghanistan dan Iraq—demokrasi di dua negara itu mati sehingga sekarang dengan puluhan rakyat terbunuh setiap bulan. Sejarah juga menunjukkan negara Barat hanya menutup mata apabila demokrasi dicabul setelah FIS menang di Algeria, Hamas menang di Palestin dan terkini Ikhwan di Mesir.

Apa yang merisaukan saya dengan tragedi di Mesir ini? Banyak kerisauannya. Antaranya, saya bimbang rakyat Mesir juga akan menerima nasib yang sama seperti rakyat Palestin atas pilihan dan kerakusan mereka sendiri menggulingkan kerajaan Ikhwanul Muslimin. Saya risau tentang keselamatan rakyat Palestin setelah Gaza ditutup. Saya bimbang jika berlaku perang saudara di Mesir dan yang berperang ialah Islam vs Islam. Saya bimbang jika rampasan kuasa ini memberi semangat kepada tentera di negara lain untuk melakukan kudeta ke atas kerajaan sah yang dipilih rakyat secara demokratik.

Dengan kerisauan di atas, marilah kita belajar dari tragedi ini. Banyak iktibar yang boleh kita ambil. Pertama, kerajaan jangan mendiskriminasikan rakyat dari segi kehidupan kerana ini boleh menimbulkan kekecewaan dan kemarahan. Kedua, kerajaan perlu bijak mengurus perbezaan pandangan dan jangan terlalu beremosi dalam berpolitik. Ketiga, kerajaan perlu cekap dan adil dalam mengurus pengagihan ekonomi negara supaya tidak ada segmen masyarakat yang berasa terpinggir. Keempat, kerajaan tidak boleh membiarkan perut rakyat kosong kerana ini akan mengundang demonstrasi. Dan kelima, paling penting, apapun pendirian kita dalam politik, jangan mengundang campur tangan luar.

Semoga Malaysia sentiasa dalam keadaan aman dan damai. Belajar dari pengalaman negara ini dan jangan bergaduh hanya kerana bertuhankan parti. Fikir dulu sebelum bertindak, bukan untuk lima tahun tetapi untuk selamanya.

KLIK UNTUK SUMBER

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text