Malam tadi Pak Lang hadir ke Seksyen 7, Shah Alam bagi menghadiri majlis perasmian Fried Chicken House (FCH). FCH merupakan sebuah restoran ala-KFC yang berkonsepkan halal, lazat dan segar. Rekabentuknya dikekalkan seperti asal walaupun ianya diambil alih oleh pengurusan baru.
FCH mempunyai kelengkapan peralatan yang canggih bernilai lebih sejuta ringgit. Ianya siap dengan bilik sejuk khas untuk memastikan kesegaran dan kualiti barangan basah yang disimpan. Sebahagian peralatan berteknologi tinggi dengan sistem komputer yang berupaya menghasilkan masakan cepat tapi berkualiti. FCH mempunyai 24 orang petugas yang bekerja mengikut syif. Setiap syif melibatkan seramai 12 orang pekerja.
Secara umum, semua menu dan resepinya memang menarik dan tersendiri serta lazat pula. Ayam gorengnya lazat dan rangup dengan rasa sosnya yang 'sampai menjilat jari'!! Ada pula menu istimewa iaitu Nasi Mandy (kambing) - masakan popular di Mekah dan Madinah bagi mereka yang pernah mengerjakan haji atau umrah.
Khabarnya FCH akan terus beroperasi esok (hari ini) malah sepanjang Ramadhan ianya akan dibuka seawal 6 petang hingga waktu sahur. Ada tawaran pakej yang menarik bagi tempahan berbuka puasa kerana mereka juga menyediakan persembahan kebudayaan Islam sebagai hiburan seisi keluarga.
Tetamu yang hadir malam tadi sangat ramai. Jalan ke lokasi tersebut jadi sesak. Susah mendapatkan tempat letak kereta yang kosong. Semuanya teruja dengan khabar FCH akan beroperasi semula. Sudah 2 tahun operasinya dihentikan atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Majlis sebegini dilihat begitu berjaya mengumpulkan masyarakat sekitar Shah Alam, Klang, Subangjaya, Puchong dan Damansara.
Pak Lang bertemu dengan ramai tamu dan mengambil peluang bersembang dan mendengar luahan hati mereka. Kebanyakannya golongan pertengahan ke atas. Maklumlah Shah Alam merupakan bandaraya yang lebih dikenali sebagai kawasan elit melayu. Apatah lagi FCH yang terletak berhampiran kampus utama UITM itu menjadikan lokasi FCH sangat strategik.
Apa
pun, pengurusan baru FCH perlu memastikan layanan dan hidangan terbaik
untuk para pengunjung. Malam tadi, semua memuji hidangan dan jamuan yang
disediakan dan tidak sabar untuk turut mempromosi FCH kepada kawan
rakan serta keluarga.
Persembahan
mantap oleh Kumpulan Generasi Harapan pula dilihat sangat berjaya
menarik para hadirin menghayati alunan nasyid, silat tari, deklamasi
sajak dan lain-lain. Gabungan persembahan dari kumpulan adik beradik
sebapa dari 4 ibu itu jadi ruang untuk para hadirin melihat dari dekat
anggota-anggota kumpulan Generasi Harapan yang popular di TV NurMuhammad
dan Youtube itu.
Sebagai sebuah restoran bertaraf antarabangsa, FCH mempunyai pelbagai elemen lahiriah yang dikira sangat berpotensi untuk berjaya. Akan tetapi kejayaan sebenarnya adalah hubungan hati semua yang terlibat dengan Tuhan. Sembahyanglah tonggak kejayaan yang asas dan sumber kejayaan yang sebenarnya.
Inilah yang difokuskan oleh Saudara Ustaz Haji Nasarudin Awang bila bersembang dengan Pak Lang di akhir majlis. Beliau bersama kumpulan pengurusan FCH yang baru sedang memulakan sesuatu yang betul apabila meletakkan solat sebagai pemangkin utama kejayaan operasi FCH kali ini.
Ya! semuanya mesti dimulakan dengan sembahyang yang penuh penghayatan, barulah perniagaan akan dibantu Tuhan. Hubungan dengan Tuhan perlu sentiasa mantap bagi menjamin kesungguhan persembahan atau layanan untuk para pelanggan. Jadi apabila semuanya dibuat dengan niat untuk Allah dan Rasul tentulah akan memastikan segala-gala yang diberikan kepada pelanggan adalah yang terbaik.
Semoga FCH akan menjadi satu lagi wadah untuk umat Islam berdatangan melahirkan syukur kepada Tuhan dengan menjamu selera disamping mengeratkan persaudaraan sesama insan.
0 ulasan:
Catat Ulasan