Social Icons

Selasa, 14 Januari 2014

Sambutan Maulid Rasul Saw. GISB / YKPPM Di Bandar Country Homes, Rawang.

Seluruh umat Islam di seluruh dunia - pada hari ini - mengadakan majlis sambutan Maulid Rasul Saw. Berbagai acara dan aktiviti yang dijalankan. Semuanya bertitik tolak dari rasa mahu membesarkan Rasulullah saw sebagai sesempurna manusia. Insan yang Tuhan hantar ke muka bumi sebagai penyudah para Nabi yang jumlahnya 124,000 orang itu. 

Baginda adalah Nabi dan Rasul terakhir. Baginda wafat meninggalkan lebih 120,000 orang sahabat. Jumlah ini tidak termasuk para tabiin iaitu dari kalangan mereka yang sempat beriman ketika Baginda saw. masih hidup tetapi tidak berkesempatan bertemu dengan Rasul yang tercinta. Mereka tidak dinamakan sahabat tetapi tabiin iaitu generasi yang kemudian selepas generasi sahabat. Yang masyhur di kalangan mereka ialah Uwais Al-Qarni.

Umat Baginda terlalu ramai berbanding umat Nabi dan Rasul yang lain. Tetapi Baginda menangisi umatnya di hari kewafatan Baginda kerana mengenangkan umat yang akan ditinggalkan. Bagaimanakah mereka dapat terus mengamalkan ajaran yang diajar oleh Baginda? Bagaimana umat Baginda boleh melepasi ujian dunia, nafsu, syaitan, yahudi dan nasrani? Berkali-kali Baginda berpesan agar berpeganglah dengan Al-Quran dan As-Sunnah untuk mendapat keselamatan dan terus berada di landasan kebenaran.

Berbalik kepada sambutan Maulid Rasul, ianya mesti dimulakan dengan niat semata-mata membesarkan Baginda saw. Sepatutnya tidak ada agenda lain. Jika setiap yang terlibat dalam menjayakan majlis Maulid Rasul ini diajak untuk mempunyai rasa takutkan Allah dan rindukan Baginda Nabi saw, barulah sambutan yang dijalankan akan bernilai di sisi Tuhan. 

Justeru semua acara akan berlangsung dengan penuh tertib dan bersopan di sisi Tuhan. Tidak ada yang mengambil kesempatan untuk berbangga diri, sombong atau mengkagumi diri. Sebaliknya yang tertonjol adalah Rasulullah saw. Maka semua yang terlibat akan terasa sedang menghubungkan hati dengan Baginda melalui selawat di mulut dan di hati. Semua acara berjalan dalam keadaan terkawal. Tidak ada yang mencacatkan. Makan minum juga menyelerakan. Begitu juga tidak berlaku percampuran bebas lelaki perempuan walaupun keadaannya agak sesak.

Inilah yang Pak Lang rasakan sepanjang sambutan Maulid Rasul saw di Bandar Country Homes, pagi tadi. Suasana menghayati Rasulullah saw dapat dirasakan oleh hati yang celik. Hubungan kasih sayang yang harmoni terserlah pada semua wajah dan air muka. Inilah yang terkesan dan menyentuh hati siapa sahaja yang baru menjejak kaki ke Dataran GISB itu. Ramai tetamu mengakui hal ini. 

Sebenarnya acara kemuncak adalah pada malam ini di mana Kumpulan Generasi Harapan akan tampil mengadakan konsert khas MaulidurRasul!! Tentunya sangat menarik dan menginsafkan. Malam ini juga adalah majlis penyampaian hadiah bagi acara-acara yang dipertandingkan pada sebelah petang tadi.

Pak Lang menyaksikan lebih 1,500 orang hadir meraikan majlis sambutan anjuran GISB HOLDINGS Sdn Bhd dan Yayasan Kebajikan Dan Perkhidmatan Perubatan Malaysia (YKPPM) pada tahun ini. Kebanyakannya kanak-kanak dan remaja. Perarakan bermula pada pukul 7.30 pagi dengan sepanduk yang pelbagai memeriahkan suasana.

Apa yang menarik ialah ramainya remaja yang sudah berkahwin. Usia mereka rata-rata 17 tahun ke 25 tahun. Masing-masing membawa anak-anak kecil dengan pakaian cantik - seragam satu keluarga. Ibu-ibu yang masih muda remaja ini kelihatan tidak kekok menguruskan anak-anak yang bermacam kaletah. Ianya satu fenomena luar biasa kerana tidak ada di semua tempat. Suasana remaja berkahwin awal ini hanya ada di GISB dan YKPPM sahaja. 

Program hari ini hanya untuk warga GISB / YKPPM sekitar Lembah Klang sahaja. Itupun yang hadir tidaklah menyeluruh kerana masing-masing bebas mengikuti acara sambutan Maulid Rasul saw di mana-mana yang mereka suka. Ada yang ke Masjid Putra, Putrajaya untuk mengikuti majlis sambutan Maulid Rasul peringkat kebangsaan pada hari ini. Tetapi atas nama GISB / YKPPM, semua zon di seluruh dunia mengadakan acara sambutan ini di zon masing-masing. 

Pak Lang akan paparkan gambar-gambar menarik sekitar sambutan Maulidur Rasul GISB / YKPPM di Bandar Country Homes hari ini. Khususnya gambar remaja GISB yang berkahwin di usia muda. Kebanyakannya bekerjasama memberi gaya-gaya menarik bersama pasangan masing-masing serta anak-anak. Indah dan membahagiakan hati orang tua seperti Pak Lang ini!!

2 ulasan:

  1. Subhanallah. Perkahwinan di usia muda bersama jiwa yang dewasa ini amatlah luar dari biasa. Pastinya ia lahir daripada didikkan yang berkesan.

    BalasPadam

 

Sample text

Sample Text

Sample Text