Social Icons

Rabu, 15 Januari 2014

Harapan Kepada Lembaga Zakat - Belalah Dengan Sepenuh hati, Menangislah Jika Belum Mampu Membantu

Semalam, Pak Lang menerima panggilan telipon dari seorang ibu tunggal. Dia tinggal sebatang kara di Kuala Lumpur setelah suaminya meninggal dunia akibat kemalangan jalanraya 2 tahun yang lalu. Keluarganya masih ada di Ipoh tetapi dia bertekad untuk terus mencari rezeki di Kuala Lumpur berikutan sudah ada rumah PPRT yang didudukinya sejak suaminya masih ada. 

Dia menceritakan masalahnya yang sedang sakit jantung. Dia perlu berulang alik ke hospital Selayang setiap minggu. Tambang teksi dari rumahnya di Kepong ke hospital sudah mencecah RM50.00 pergi balik. Ibu tunggal ini hanya bekerja membuat kueh dan meletakkannya di kedai-kedai makan yang terdapat di bahagian bawah bangunan flat PPRT itu. 

Dia tidak boleh bekerja di tempat lain kerana terpaksa menjaga anaknya berusia 8 tahun yang berpenyakit lelah. Walaupun dia juga mempunyai seorang lagi anak perempuan yang sudah berkahwin tetapi anaknya itu tidak mampu membantunya dari sudut wang ringgit. Mereka  suami isteri juga hidup susah.

Dia menghubungi Pak Lang untuk memohon bantuan kewangan segera. Emaknya di Ipoh diserang angin ahmar. Keadaannya serius dan telah dimasukkan ke ICU di Hospital Ipoh. Dia perlu segera balik ke Ipoh malam tadi juga  Pak Lang dan kawan-kawan di YKPPM berusaha mendapatkan wang minyak dan tol untuk bekalan dia menumpang kereta buruk anaknya pulang ke Ipoh.  . 

Sepanjang hari Pak Lang memikirkan masalah ibu tunggal ini. Ianya adalah situasi yang sama yang kerap kita baca di dada akhbar. Terbayang orang-orang susah dan menderita ini ada di mana-mana. Di sudut-sudut dan di penjuru-penjuru kampong atau pinggir bandar, orang-orang yang sebegini hidup terbiar tanpa pembelaan. Ada yang mati keseorangan berhari-hari atau berminggu-minggu - sudah berulat - baru diketahui. Yang terlantar sakit bertahun-tahun tiada yang membela juga ada di mana-mana dan wujud setiap masa.

Siang malam yang mereka lalui adalah air mata kesedihan dan kepiluan. Itu bagi yang ada maruah serta harga diri. Bagi yang lemah imannya, kemiskinan boleh membawa kepada kekufuran. Mereka boleh saja 'terlajak' bersangka buruk dengan Tuhan. Mereka mengkritik Tuhan kerana menyangka mereka dibiarkan Tuhan tanpa diberi kemewahan dan kesenangan hidup seperti orang lain. Sudahlah hidup papa kedana, jiwa pula rosak binasa dek hasutan iblis menyalahkan Tuhan. Kelemahan diri sendiri dilupakan. 

Peranan YKPPM sebenarnya bukan sekadar berusaha membantu dari sudut kewangan. Apa yang penting menyelamatkan iman mereka. Sebab itu pendekatan YKPPM ialah mendekati golongan ini dan menyampaikan kesedaran serta memulihkan keyakinan mereka kepada Tuhan. Hakikat hubungan dengan Tuhan perlu diinsafkan terlebih dahulu kerana mereka mengkritik Tuhan sebab tidak faham kerja Tuhan. 

Jadi, seharian Pak Lang memikirkan hal ini sendirian. Pak Lang rasa beratus ribu manusia muslim di negara kita yang sedang menderita perlukan pembelaan. Masa yang sama Pak Lang terkenang betapa banyaknya kutipan zakat yang diusahakan oleh lembaga zakat negeri-negeri. Jumlahnya ratusan juta - setiap tahun!! Pak Lang  pernah mengikuti ceramah motivasi yang disampaikan seorang penceramah dari lembaga zakat - agar masyarakat sedar tentang perlunya mengeluarkan zakat dan menyerahkannya untuk di urus oleh lembaga-lembaga berkenaan. 

Kita rasa tidak ada signifikannya antara keghairahan mengutip zakat dengan kesungguhan mengagihkannya kepada semua golongan asnaf. Antara mengutip dan mengagih itu mempunyai pendekatan yang tidak sama. Jika semua usaha dilakukan secara komprehensif bagi meningkatkan kutipan zakat, usaha yang komprehensif jugalah yang mesti dilakukan bagi mengagihkan bantuan zakat di serata ceruk dan tempat golongan sasaran ini bergelendangan. 

Mungkin hal ini terlepas pandang, maka tidaklah salah Pak Lang memberikan pandangan. Ianya rungutan umum rakyat Malaysia. Dengan kekayaan negara yang sebegini rupa dan dengan jumlah kutipan ratusan juta ringgit setiap tahun, sepatutnya tidak ada lagi golongan yang menderita menangis mengemis meminta pertolongan di sana sini. 

Mereka sepatutnya sudah tahu ke mana tempat yang perlu dituju. Bahkan yang sebaiknya ialah jika lembaga zakat sanggup meredah apa saja demi melakukan kutipan zakat, kenapa tidak dilakukan usaha yang sama dalam memberi agihannya. Janganlah mengutip wangnya sahaja yang dilihat ghairah, manakala dalam mengagihkannya, terserlah dipersulitkan dengan pelbagai karenah birokrasi. 

Ianya menjadikan lembaga zakat ini dilihat menjauh dari sasaran penubuhannya. Orang yang mengeluarkan zakat merasakan wang tersebut tidak diagihkan secara bersungguh-sungguh. Betulkan Pak Lang jika Pak Lang tersilap menanggapi hal ini. Tetapi inilah yang umum rasakan. Apa yang Pak Lang nyatakan ini adalah kenyataan. Sekurang-kurangnya lihatlah setiap hari, kita membaca dan melihat di dalam media, golongan miskin, sakit dan menderita ini terus menjerit meraung memohon simpati manusia lewat media. 

Yang terjebak dengan 'along' tidak usah dikira. Yang bingkas bangun mencuri dan meragut pun tidaklah sedikit kerana kemiskinan memaksa mereka berbuat jahat. Orang yang lapar dan susah, jika tidak dipimpin jiwanya, itulah jalan penyelesaian yang direbutnya.

Sedangkan alangkah besarnya ganjaran Tuhan jika seseorang petugas lembaga zakat berkejar ke sana sini mencari siapa lagi yang memerlukan bantuan. Agihkanlah ianya seperti apa yang Rasulullah Saw. lakukan. Bukankah pemurahnya Baginda Saw bak angin kencang. Ya!! lembaga zakat, jadilah lembaga yang bersifat pemurah. Nantinya kita akan saksikan betapa Tuhan itu maha pemurah untuk mengganjari kebaikan berganda-ganda atas keperihatinan kita membela orang susah. Jadi kalau boleh - permudah, permudahkanlah, hulur-hulurkanlah, panjang-panjangkanlah, tabur-taburkanlah seluas-luasnya agihan zakat yang diamanahkan Tuhan kepada anda.

Sememangnya kita sedia maklum, wang zakat adalah amanah. Ianya memerlukan ketelitian dan kesahihan dalam memberi agihan. Apa-pun, kita terima hujjah ini tetapi kita mohon pastikanlah diwujudkan satu mekanisma yang mudah tapi tepat kepada sasaran asnaf. Ini semua amat mudah dilakukan jika wujud keperihatinan sejati di hati semua pihak yang sedang memikul amanah ini.

Ingatlah amanah ini juga akan ditanya jika ada di kalangan kaum yang dhaif ini tidak dibela walaupun hanya semalaman. Ingatlah pesan Nabi bahawa "tidak beriman seorang daripada kamu, yang tidurnya kekenyangan sedangkan jirannya dalam kelaparan". Bayangkan simiskin, siyatim, sijanda dan lain-lain yang bertahun-tahun berendam air mata tanpa pembelaan. Siapakah yang menanggung dosa membiarkan hamba-hamba Allah yang hak-hak mereka diabaikan atau diuruskan dengan sambil lewa?? Semoga Allah ampunkan kita!

Bagi mereka yang jujur dan telah berusaha sebolah-bolehnya untuk menjadi pembela masyarakat, teruslah memohon keampunan dari Tuhan kerana setiap sen wang yang ada pada kita, akan ada pertanyaan dan siasatan oleh Tuhan yang maha adil di Padang Mahsyar.  Janganlah bersenang hati dan bergembira sentiasa - seolah-olah kita sudah berjaya sampai ke syurga!!

Selagi kita belum mati, belum melepasi barzakh, belum bertemu mahsyar dan belum melintasi sirat, kita sepatutnya cemas dengan nasib diri. Terlalu banyak amanah yang belum kita tunaikan sedangkan tidak ada simiskin yang menderita di dunia melainkan kita sebagai saudaranya pasti akan ditanya!! Bayangkan jika kita ditanya atas kelemahan kita membela nasib beratus ribu atau berjuta manusia!!  Ya Allah! beratnya dan sulitnya untuk kita melepasi ini semua!!

Maka apa yang sebaiknya, marilah kita insaf akan hakikat ini dan marilah kita jadi pembela kepada hamba-hamba yang diuji Tuhan dengan kesempitan dan kekurangan. Contohilah apa yang dilakukan Saiyidina Omar AlFaruq yang sanggup memikul karung berisi gandum membawanya ke khemah rakyatnya. Bayangkan kejadian ini di tengah malam di musim sejuk yang menggigit di Madinah!!

Sejarah menceritakan, anak-anak bagi ibu tunggal itu sedang menangis kelaparan sedangkan siibu hanya mampu memasukkan ketulan batu  ke dalam bekas yang sedang 'dimasaknya' dengan harapan anak-anak yang menangis kelaparan itu letih menunggu dan terus tertidur. Sebagai khalifah, Saiyidina Omar gementar ketakutan mengetahui rakyatnya tidak redha dengannya yang membiarkan mereka kelaparan tanpa pembelaan. 

Takutkan kemurkaan Tuhan itulah yang mendorong Saiyidina Omar menguli tepung itu dibuatkan roti. Dan khalifah sendiri membakar roti untuk diberikan kepada keluarga yang sedang kelaparan terutama anak-anak kecil yang sedang menangis itu. Ingatlah kata-kata Saiyidina Omar di sebalik bongkah batu, ketika mahu pulang meninggalkan siibu dan anak-anak itu - memerhati mereka yang sedang makan dengan gembira. Sesekali kedengaran anak-anak itu ketawa. Kata Saiyidina Omar, "Aku mahu menikmati detik mereka ketawa riang kekenyangan setelah awalnya tadi aku datang dalam keadaan mereka menangis kelaparan".

Maka jadilah kita pembela orang lain! Semoga dengan itu Allah menjadi pembela kita di saat tidak ada siapa yang boleh membela kita melainkan Dia!!!

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text