Social Icons

Isnin, 13 Januari 2014

GISB HOLDINGS Sdn Bhd Wujud Di Merata Dunia - Apa Rahsianya?


Tuan Nawawi (blogger matahati.blogspot) masih berada di Turki. Tentu banyak pengalaman yang sudah dialami. Tentu pula banyak maklumat berkenaan negara Turki terutama tentang sejarahnya yang dapat diselongkar sepanjang 3 bulan di sana. Kebetulan sehari dua yang lalu Perdana Menteri Turki sedang berada di Malaysia. Hubungan diplomatik dan kerjasama yang terjalin semakin mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia di negara Turki dan begitu juga sebaliknya.

Tahun ini adalah Tahun Melawat Malaysia. Kementerian Pelancongan Malaysia sudah menyasarkan kedatangan pelancong dari Turki melebih 13,000 orang berbanding 9,000 orang pada tahun 2013. SILA BACA DI SINI

Menariknya Tahun Melawat Malaysia ini berlaku pada tahun ini. Dan apabila pelancong Turki menjadi kelompok sasaran, ianya bermakna keuntungan bagi kedua-dua negara. GISB Holdings sudah mempunyai rangkaian di Turki. Sekurang-kurangnya di Istanbul, sudah ada restoran, pejabat perhubungan, agen pelancongan, kenderaan dan tempat penginapan. 

Apa yang penting jalinan perhubungan dan perkenalan dengan semua pihak sedang berjalan tanpa henti. Usaha ini dilakukan secara komprehensif sebaik Tuan Nasiruddin Ali selaku wakil GISB di Eropah / Turki berada di sana sejak 3 tahun yang lalu. Pembukaan restoran masakan Malaysia di sana sudah semestinya membuka ruang kerjasama GISB dengan syarikat-syarikat pelancongan Turki yang berpotensi.

Setahu Pak Lang, semua kedutaan Malaysia di negara-negara yang terdapat projek GISB sangat memberi sokongan dan kerjasama yang membanggakan. Sememangnya wakil-wakil GISB diminta untuk sentiasa merujuk dengan kedutaan Malaysia di mana jua mereka berada untuk memastikan imej negara Malaysia tetap terpelihara. Bahkan kalau boleh membantu untuk dapat ditingkatkan dari masa ke semasa. 

Pelik juga kerana GISB dilihat begitu berani merentasi sempadan geografi untuk membuka cawangan perniagaannya di merata negara. Hanya konglomerat antarabangsa sahaja yang mampu melakukan hal sebegini. Eropah dan Australia misalnya mempunyai taraf hidup yang berganda dari Malaysia. Bagaimana GISB menghadapi semua situasi yang memerlukan perbelanjaan yang tidak sedikit? Ianya persoalan yang memerlukan jawapan yang panjang.  

Begitu juga di negara arab yang kaya raya. Bukan mudah beroperasi di negara-negara Arab termasuk di Arab Saudi dan negara-negara Teluk. Pengalaman pahit sentiasa dialami sekalipun oleh syarikat-syarikat gergasi dari Malaysia yang beroperasi di sana. Kerugian ratusan juta adalah perkara biasa.

Bagaimana pula Uzbek dan China yang berbeza bahasa? Bukan mudah berkomunikasi apatah lagi untuk berupaya mempercayai!! Tetapi sekali sudah bertapak, biasanya GISB akan dapat meneruskan operasi bisnesnya. Ramai yang bertanya bagaimana GISB melepasi karenah birokrasi yang berbagai ragam di negara yang baru diterokai?
 
Pada GISB, Tuhan itu maha kuasa, maha kaya dan maha pembela? GISB yakin 100% dengan kuasa Tuhan yang memberi rezeki, melepaskan kesulitan dan mengungkai kekusutan. Tidak ada yang mustahil jika Tuhan 'campur tangan'. Apa yang GISB lakukan hanya berusaha melepasi syarat iaitu bertaqwa untuk mendapatkan bantuan Tuhan. Pergilah ke mana sahaja, jika kita bertaqwa, Tuhan akan sentiasa mengiringi kita dengan bantuan dan pertolonganNya yang tidak disangka-sangka. 

Ada tempat yang awalnya sukar dan sulit tetapi para pemimpin dan staf GISB di tempat berkenaan menghadapinya dengan kesungguhan membaiki diri dan tingkatkan hubungan hati dengan Allah yang maha berkuasa. Jika usaha bertaubat dan istighfar dilakukan sesungguh hati, biasanya secara luar biasa berlaku bantuan dan pertolongan Tuhan. 

Sekarang, GISB sedang menempuh era menghayati Selawat Ibrahimi. Ada hajat-hajat kami yang perlu kami tagih dari Tuhan. Jalan yang kami tempuh ialah dengan cara yang sama cuma ditambah dengan Selawat Ibrahimi. Kami membacanya beriringan selepas alunan Selawat Badawi sejam sebelum solat. GISB mengutamakan menunggu waktu solat berbanding berlama-lama selepasnya. Selepas solat, kami akan segera bingkas untuk tuntutan tugas masing-masing. 

Jadi sekarang GISB di seluruh dunia sedang 'riuh' dengan aktiviti ini. Kami ingin jadikan ianya budaya hidup dalam syarikat ini iaitu usaha berterusan mendekatkan hati dengan Allah swt dan para kekasihnya terutama Baginda Nabi saw dan Nabi Ibrahim as. 

Rupa-rupanya ini semuanya menjadikan hati-hati kami terikat antara satu dengan yang lain. Biar pun terjarak ribuan kilometer di serata dunia, kami masih berinteraksi secara hati. Kami terus saling ingat-mengingatkan serta doa mendoakan bahkan saling bantu membantu. Operasi GISB di mana sahaja, sentiasa terbela kerana ikatan hati ini sudah berlaku dan akan terus dikuat-eratkan.

Aliran kewangan GISB berupaya mengalir seiring dengan aliran hubungan hati dengan Tuhan dan kasih sayang yang semakin padu. Inilah rahsia GISB diizinkan Allah untuk melebar sayap ke marata dunia! Jika rahsia ini dapat dikuasai dan dihayati, adakah semua syarikat korporat Melayu - Islam di Malaysia boleh melakukannya??

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text