Social Icons

Jumaat, 10 Januari 2014

Kemuliaan Hanyalah Pada Taqwa!! - Pilihlah Penilaian Tuhan Berbanding Penilaian Manusia


Nilai dan harga diri seseorang insan itu berada pada hatinya. Itulah penilaian Tuhan. Manusia ramai menilai mulia atau hina berdasarkan penampilan lahir. Walaupun ianya tidak betul, tetapi secara tidak sedar, ramai yang menerima ini semua seolah-olah itulah hakikat sebenar. Justeru - walaupun ulama besar - sebagai contoh, tetaplah tidak berupaya memilih simiskin yang bertaqwa untuk dijadikan menantu!! 

Alasan mereka berbagai - sesuai dengan nas Quran/Hadis yang mereka hafal. Sedangkan semulia-mulia insan di sisi Tuhan adalah mereka yang bertaqwa. Tetapi berapa orang ulama yang mampu memilih simiskin yang bertaqwa sebagai menantu? Kenyataannya mereka cenderung melihat kekayaan, pangkat-jawatan, keselesaan hidup bahkan kemasyhuran sebagai asas memilih pasangan hidup anak mereka. 

Demikianlah sukarnya menilai manusia apatah lagi diakhir zaman, umat Islam rata-rata sudah rosak cara berfikir dan berperasaan. 

Taqwa adalah suatu yang sangat jelas disebut di dalam Al-Quran dan Hadis sebagai kayu ukur yang membezakan antara umat manusia. Beriman dan bertaqwa adalah ciri mukmin yang sepatutnya dikejar dan diburu oleh setiap muslim. Kekayaan, kemegahan dan glamour hanyalah pemusnah kemanusiaan jika rasa takutkan Tuhan tidak ada dalam hati. 

Rasa membesarkan Allah, mengagungkan dan mengesakanNya serta rasa takutkan Allah adalah sifat taqwa. Taqwa adalah aktiviti hati bukan di mulut.  Jika sedetik rasa takutkan Allah itu melintas di hati, moga-moga itulah sahaja yang dikira di sisi Tuhan. Selebihnya nafas turun naik kita adalah dalam dosa kerana melupakan Tuhan. 

Allah!!! Sulitnya untuk merasakan Tuhan hadir menyaksikan kita dalam bercakap, bekerja, tidur baring, makan minum dan semuanya sepanjang 24 jam sehari semalam. Lebih-lebih lagi sulit untuk bercakap-cakap dengan Tuhan, merintih dan mengadu dengan Tuhan. Susahnya untuk mengekalkan rasa hamba yang sentiasa bersalah dan berdosa dengan Tuhan.

Bacalah sejarah! Kita akan dapati sejarah hidup Rasulullah saw, para sahabat dan salafussoleh penuh dengan sikap memilih dan mengutamakan Allah dan Rasul dari segala-galanya. Tidak ada pilihan lain, tidak ada gantian dan tidak ada tolak ansur dalam memperjuangkan kehendak Allah dan Rasul.

Diriwayatkan dari ‘Irbadh bin Sariyah RA “Suatu hari Rasulullah saw. mengerjakan solat bersama kami. Selesai solat, Baginda menghadap kami lalu memberikan peringatan yang sangat mendalam. Ianya sangat membuatkan kami semua berlinangan air mata. Nasihat dan peringatan dari Baginda begitu menggetarkan hati. Hingga ada di kalangan kami yang bertanya: ‘Wahai Rasulullah, seakan-akan ini nasihat dari orang yang akan pergi. Lalu apakah yang engkau wasiatkan kepada kami?’. Maka Baginda pun bersabda: ‘Aku berwasiat kepada kamu semua agar bertaqwalah kepada Allah, serta mendengar dan berlaku taatlah kepada pemimpin - walaupun dia, hanyalah seorang hamba Habsyi…’” (Hadis riwayat Abu Daud).

Seseorang pernah bertanya kepada Saiyidina Hasan r.a: "Aku mempunyai seorang anak gadis. Menurutmu kepada siapakah yang sebaik-baiknya untuk aku menikahkannya? Saiyidina Hasan r.a. pun menjawab: “Nikahkanlah ia dengan laki-laki yang bertaqwa kepada Allah. Jika laki-laki itu mencintainya, maka anakmu itu akan menghormatinya dan jika lelaki bertaqwa itu marah kepadanya maka ia tidak akan menzalimi puterimu itu.”

Ampunkan kami Tuhan!!!!

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text