Social Icons

Jumaat, 10 Januari 2014

3 Orang Wakil Dari Persatuan Bible Disiasat JAIS Hari Ini

   
1:52PM Jan 10, 2014
Tiga wakil daripada Persatuan Bible Malaysia (BSM) hari ini hadir ke pejabat Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk memberi keterangan berhubung rampasan Bible dengan kalimah Allah dari pejabat mereka pada 2 Januari lalu.

Pengerusi Bible Society Malaysia, Lee Min Choon, pengurus pejabat, Sinclair Wong, dan setiausaha agung BSM, Simon Wong memberi keterangan selama lebih dua jam selepas diminta berbuat demikian oleh JAIS pada 2 Januari lalu.

 
Menurut Lee, keterangan mereka direkod oleh seorang pegawai yang hanya dikenali sebagai 'Malik' dengan dibantu dua orang pembantunya dan soalan yang ditanya adalah berkaitan operasi BSM.

Lee kelihatan berpuas hati dengan soal siasat itu dan menyifatkan pegawai yang menyiasatnya sebagai "lelaki yang baik-baik".

"Kami jelaskan kepada mereka dan kami harap mereka boleh menjalankan tugas mereka dengan baik," katanya.

Mereka turut ditemani Vincent Wong Wai Sang yang merupakan setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup.

 
Menurut Lee, mereka juga masih belum pasti sama ada akan didakwa atau tidak tetapi berharap agar perkara itu dapat diselesaikan dengan baik oleh pelbagai agensi Selangor.

"Dengan kerjasama pelbagai jabatan negeri, kami percaya hal ini akan diselesaikan secara baik. "Pihak berkuasa yang pelbagai ini merungkai permasalahan ini," katanya.

JAIS pada 2 Januari lalu merampas 321 naskhah Bible berbahasa Melayu dan 10 naskhah Bible dalam bahasa Iban dalam serbuan ke pejabat BSM. Lee dan Sinclair Wong turut ditahan selama 90 minit di balai polis Damansara sewaktu rampasan dibuat.

Kehadiran Lee dan Sinclair ke pejabat JAIS hari ini adalah kerana mereka disiasat di bawah Enakmen Bukan Islam Selangor (Pengawalan perkembangan terhadap Orang Islam) 1988, yang melarang bukan Islam menggunakan kalimah Allah.

Sementara itu, kira-kira 150 orang yang dikenali sebagai Sekretariat NGO Selangor berarak dari masjid negeri ke pejabat JAIS selepas solat Jumaat bagi menyampaikan nota sokongan terhadap rampasan Bible sebelum ini.

Pengerusi sekretariat, Datuk Jamal Md Yunos menggesa menteri besar agar tegas dalam isu itu walaupun kerajaan Persekutuan membenarkan Bible berbahasa Melayu diedarkan.

Menurutnya, kebenaran itu adalah untuk negeri "yang tiada peraturan agama sahaja".

"Kita faham KDN ada meluluskan Bible dalam beberapa bahasa tetapi kelulusan ini adalah untuk negeri yang tiada peraturan agama," katanya. SUMBER MALAYSIAKINI

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text