Social Icons

Sabtu, 4 Januari 2014

Kenapa Isteri Yang Cantik Rupawan Pun Diceraikan Suami?

Ada yang bertanya Pak Lang, kenapa mudah sangat suami menceraikan isteri? Kadang-kadang fikir memang tidak patut sisuami sewenang-wenangnya bertindak menghukum isteri. Yang cantik manis pun diceraikan apatah lagi jika sebaliknya. Ini persoalan orang yang berpihak kepada isteri. Tentunya yang ramai kaum wanita. Tidak ramai kaum wanita membela para suami yang menceraikan isteri.

Sebenarnya ada wanita yang sanggup mengatakan sebaliknya. Wanita yang melihat rumah tangga dari kacamata Islam, akan menyatakan apa yang benar. Mereka bersetuju, ada waktunya wanita yang jahat perlu diceraikan. Atau jika masih ada ruang untuk dia berubah, berilah peluang tetapi dengan syarat dan proses didikan yang mampu mengubahnya. Wanita yang dibelenggu nafsu sahaja yang akan membela sesama wanita walaupun siisteri itu salah.

Soalan Pak Lang, kenapa ada suami yang sanggup ceraikan isteri yang cantik, dan kemudian memilih kahwin dengan perempuan yang kurang cantik.

Banyak perkara yang menjadi kayu ukur dalam menilai seseorang isteri. Menurut Nabi saw. pilihlah wanita yang ingin dikahwini itu berdasarkan 4 faktor:

i)   Agamanya   ii)  Hartanya     iii)  Kecantikannya      iv)  Nasab keturunannya

Maka Baginda menyuruh pilihlah wanita yang beragama. Kerana apa? Sebab jika memilih yang ada agama, Insya Allah semua baki yang tiga itu akan bermakna. Jika memilih yang lain dari agama, maka pastilah akan ada kepincangan di mana-mana. Memilih yang beragama itu membina kesempurnaan sedangkan memilih yang lain itu mendatangkan kecelaruan, penyesalan dan kegagalan.

Memilih yang cantik biasanya tertipu kerana Tuhan tidak himpunkan di dalam diri seseorang wanita itu serba sempurna. Keadilan Tuhan ialah memberi kelebihan di satu sudut disamping ada pula kekurangan di sudut yang lain. Sebab itu biasanya perempuan cantik itu, pasti ada 'kecacatannya' di sudut yang lain. Hal sebegini terbongkar setelah berkahwin. Kadang-kadang baru 3 hari majlis perkahwinan berlangsung, mereka sudah ke mahkamah syariah untuk memfailkan perceraian!!

Memilih yang berharta, biasanya akan mengecewakan. Jika suami itu jenis pak turut, melalui kekayaannya, siisteri boleh 'kontrol' suami semahu-mahunya. Jika suami sedar dan mahu mendidik isterinya pun akan hadapi masalah. Maklumlah isteri yang biasa mewah dan serba ada, tentulah payah dan sukar untuk mendengar kata nasihat suami. Apatah lagi untuk sanggup susah bersama suami. Alhasil, kekayaan isteri tidak bermakna apa-apa. 

Memilih yang punya keturunan baik-baik pun kenalah berhati-hati. Walaupun darah dagingnya orang alim atau keturunan baik-baik, tetapi gaya pergaulan bebas hari ini sudah mencemaskan. Eloklah berhati-hati walaupun anak tok kadi atau tok mufti. Pengaruh pergaulan dan budaya hidup remaja masa kini, menjadikan nilai keturunannya pun dipandang rendah.

Apa yang penting, suami mesti mampu mendidik isteri. Jadilah lelaki sebenar-benar lelaki. Jadilah suami sebenar-benar suami. Janganlah menjadi manusia dayus yang hanya mengikut kata-kata isteri. Isteri yang dibiarkan 'menunggang' suami semahu-mahunya adalah pertanda sisuami itu adalah bakal penghuni neraka walaupun dianya seorang penceramah agama yang hebat!! Banyak sangat kita dapati hal sebegini wujud di tengah masyarakat. 

Jadi faktor suami menceraikan isteri itu berlaku pada lelaki atau suami yang ada prinsip. Sebaliknya lelaki yang lemah jiwanya, dia akan terus membiarkan siisteri mengemudi perjalanan hidup dan rumah tangganya. Mereka tidak akan 'tergamak' menceraikan isteri yang jahat itu. Bahkan nak 'menjentik' isterinya yang sebegitu pun tidak berani. 

Jadi soal menceraikan isteri yang derhakakan suami itu berlaku pada lelaki yang berwibawa dan ada harga diri. Mungkin mereka tersilap memilih pada awalnya tetapi setelah sedar, mereka akan tahu membuat keputusan walaupun terpaksa menceraikan siisteri. Tentu malu dengan keluarga dan masyarakat tetapi itu lebih mulia dari hidup dikongkong dan dikontrol bini!!

Pak Lang tidak nafikan, ada wanita yang teraniaya dengan suami yang jahat. Memang suami pun lebih kurang juga perangainya. Kelemahan lelaki tetap juga ada seperti kelemahan pada wanita. Selagi bernama manusia, tetaplah ada lemah dan kurangnya. Lelaki hidung belang tentu ada di mana-mana. Jika isteri tersilap menerima seseorang sebagai suami - setelah berkahwin baru terbongkar 'belang' sebenar suami, maka rujuklah dengan keluarga dan kalau perlu dapatkan khidmat kaunseling jabatan agama. 

Apa yang penting nasihat Pak Lang pada isteri-isteri sebegini ialah banyakkan bertaubat dan baiki diri. Maksud baiki diri ini ialah; 
a)   Lakukanlah solat 5 waktu dengan sepenuh hati - di awal waktu (Eloknya berjemaah).
b)   Lakukan solat malam dengan solat taubat, solat hajat, tahajjud, witir dan sebagainya. 
c)   Bertaubat dan beristighfar, mengadu merintih dengan Tuhan.

d)   Banyakkan bersedekah kerana sedekah 'menajamkan' doa dan permintaan kita.   
e)   Berkasih sayanglah dengan sesama manusia. Lihatlah yang positif pada siapa sahaja.

Insya Allah nanti akan ada 'jawapan' dari Tuhan bagi penyelesaian masalah yang dihadapi. 

Untuk wanita solehah yang sangat berbakti kepada suami, tajamkanlah lagi tumpuan anda dalam berkhidmat melayani suami. Semakin lama usia perkahwinan anda, semakin wajarlah anda berusaha membina ikatan jiwa yang semakin erat dengan suami. Ingatlah pesanan orang soleh bahawa isteri yang romantik itu kekal sepanjang usianya apabila ia bertaqwa. 

Jika hatinya penuh dengan cinta dan takut Tuhan, asyik dengan kerinduannya pada Baginda Nabi saw, lihatlah isteri itu adalah isteri yang romantik pada sisi suaminya. Inilah apa yang terjadi pada Ummul Mukminin, Saiyidatina Khadijah rha. Dari beliau Rasulullah saw dikurniakan 6 orang anak walaupun usianya sudah menjangkau 40 tahun apabila berkahwin dengan Baginda Nabi saw. 

Pada Saiyidatina Khadijah rha. Baginda Nabi itulah segala-galanya bagi dirinya. Seluruh apa yang ada pada dirinya dikorbankan untuk Allah dan Rasul. Tidak ada kepentingan diri dan peribadi. Bacalah sejarah hebat ini, kita akan dapati, hatinya sangat tulus dengan Baginda Nabi yang juga suaminya. 

Jika para isteri menelusuri peribadi wanita agung ini, pastilah mereka tidak akan disia-siakan suami. Bahkan kewujudan mereka disamping suami akan amat dihargai dan disyukuri. 

1 ulasan:

  1. Terima kasih tuan diatas ilmu panduan yang dipaparkan, pimpinlah kami Tuhan

    BalasPadam

 

Sample text

Sample Text

Sample Text