Social Icons

Khamis, 30 Januari 2014

Pengurusan Solat Berjemaah - Membina Warga Kerja Yang Dicari-cari!

Apa yang akan dipaparkan dalam blog ini pada hari ini - mengenai pengurusan solat berjemaah - adalah amalan seharian yang dilakukan oleh seluruh staf dan pelajar di bawah GISB dan YKPPM di seluruh dunia. Paparan ini akan membantu menghalusi semua tindakan berkaitan solat berjemaah di semua tempat yang terdapat warga GISB dan YKPPM. 

Mungkin ianya kelihatan agak keterlaluan kerana kami mesti berada di saf sembahyang sejam sebelum masuk waktu solat. Tentulah ada yang berfikir kalau masa sudah begitu banyak dihabiskan untuk berada di tikar sembahyang, bilakah masa untuk bekerja dan membangun?

Pada kami, keperluan setiap orang mukmin itu ialah sejauh mana Tuhan menilai dirinya. Bukankah manusia itu tidak akan boleh terlepas dari Tuhannya? Seseorang mukmin itu mesti berusaha ke arah melayakkan dirinya menjadi hamba Allah yang diredhaiNya yang sudah pasti tidak akan ada jawapannya. Kita sekadar berusaha semaksima mungkin melakukan semua suruhan Tuhan dan meninggalkan segala larangannya.

Orang mukmin itu sentiasa dibantu Tuhan. Keyakinan orang mukmin sepenuhnya kepada Tuhan. Tidak ada yang berlaku dan terjadi melainkan dengan izinNya jua. Apa saja hajat simukmin, Tuhanlah yang akan memberi tindak balas. Justeru berlama-lama dengan selawat sebelum solat fardhu adalah suatu usaha yang sangat perlu dalam menagih bantuan Tuhan. Jika Tuhan membantu, sekelip mata, apa sahaja boleh berlaku. 

Suatu yang sukar dan sulit pada orang lain tetapi bagi orang mukmin yang dibantu Tuhan adalah perkara biasa dan lumrah. Jika orang lain terkial-kial berusaha berhempas pulas inginkan sesuatu, bagi orang mukmin Tuhan perlakukan sebaliknya. Biasanya bantuan Tuhan terjadi tanpa disangka-sangka. Rezeki datang mencurah-curah bagaikan air banjir sedangkan orang lain mengalami kegawatan ekonomi yang tidak sudah-sudah.

Kehidupan Rasulullah saw dan para sahabat adalah sebaik-baik suri tauladan menempuh kehidupan. Hidup dan mati mereka untuk Allah dan Rasul. Semua sahabat 'full time' sebagai pejuang yang berjihad pada jalan Allah. Rezeki mereka dijamin Tuhan. Di tangan merekalah Islam berkembang diterima di seperempat dunia.

Orang yang mengejar dunia tanpa memperdulikan masa untuk solat adalah manusia yang malang. Dunia yang dikejar seperti fatamorgana, dikejar tidak akan dapat-dapat. Sedangkan akhirat yang pasti, dilupakan. Niat di hati mengejar untung, apa yang dapat, rugi berganda. Siapakah yang mampu mendidik mereka untuk curiga dengan dunia dan serius dengan akhirat?

Hebatnya didikan Rasulullah yang berjaya membawa hati para sahabat terasa dekat dengan kematian dan akhirat. Rasa takutkan Allah dan nerakaNya menjadikan mereka umat yang banyak menangis. Mereka berpagi-pagi selepas subuh dalam keadaan mata yang merah menangisi untung nasib diri - sepanjang malam. Itulah berkat dan berkesannya didikan Rasulullah saw.

Sebab itu untuk orang mukmin berjaya di akhir zaman, mereka mesti kembali berada awal di tikar sembahyang - sebelum masuk waktu solat. Itulah masa terbaik untuk kita bermuhasabah diri, merenung untung nasib diri kita di akhirat. Ianya akan membentuk peribadi yang takut Allah dan rindu Nabi. Jika peribadi sebegini dapat dilahirkan seramai mungkin, akan berlakulah bantuan Tuhan yang berbagai-bagi. Bila Tuhan membantu, tiadalah ada upaya siapa pun juga untuk menghalang. 

Untuk pengetahuan, warga GISB / YKPPM tidak berlama-lama selepas waktu solat. Sebaik selesai doa imam, Zikir Ilahi Lastu Lil Firdaus akan dikumandangkan beramai-ramai sebagai merintih mengadu hal kelemahan diri kepada Tuhan. Semuanya akan kembali ke tempat tugas masing-masing dalam masa tidak lebih dari lima minit. Kami tetap bekerja keras, melakukan semuanya dengan kadar yang terbaik, berurusan dengan pelanggan dan masyarakat dengan pendekatan kasih sayang. Bukankah Al-Quran menyuruh kita - sebaik habis solat - supaya bersegera bangun untuk bertebaran mencari kurnia Allah di mana sahaja?

Apa yang penting masing-masing membawa hati yang telah dirobek-robek dengan rasa berdosa, rasa bersalah dan rasa tidak mampu. Perasaan hamba sebegini akan menjadikan wujudnya rasa cemas takutkan kemurkaan Tuhan. Mereka akan berhati-hati dalam berbuat atau bertindak. Mereka tidak berbuat secara sambil lewa sebaliknya melakukan semuanya secara serius dan bersungguh-sungguh - kerana Allah!! Dan mereka akan bertanggung jawab dengan amanah yang diberikan. 

Percayalah! Dalam dunia korporat dan dalam skop pembinaan sumber daya manusia, warga kerja yang sebegini adalah warga kerja yang dicari-cari. Insya Allah mereka tidak akan menipu, mencuri tulang dan yang penting tidak perlu diawasi atau diperhati dengan CCTV. Cukuplah Allah bagi mereka sebagai pemerhati!! Inilah kualiti yang hebat yang dunia tidak mampu menemuinya ketika ini!! 



Bersambung ke Bahagian Akhir - Perincian Teknik Pengurusan Solat Berjemaah

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text