Social Icons

Sabtu, 4 Januari 2014

Mesti Baca! Nasihat Tun Dr Mahathir Kepada Kerajaan Dato' Seri Najib


Tun Dr. Mahathir menulis di dalam blognya (www.chedet.com) - satu nasihat dan pandangan tentang bagaimana sepatutnya kerajaan pimpinan Dato Seri Najib menguruskan masalah rakyat. Pandangan Tun ini tentulah berdasarkan pengalaman beliau sebagai Perdana Menteri lebih 20 tahun. Terlalu banyak ilmu politik, pengurusan, ekonomi, sosial dan sebagainya yang terhimpun dalam memori beliau. Sepatutnya kerajaan boleh mengambil manfaat dari pengalaman Tun yang amat berharga. 
 
Secara tidak resmi, Tun akan selalu memberi buah fikiran, pandangan dan teguran atas apa jua isu melibatkan rakyat dan negara tercinta. isu kenaikan harga yang sedang 'melemaskan' rakyat diulas oleh Tun dalam blognya. Pada Tun, kerajaan boleh meningkatkan pendapatan melalui pengurangan kos dan bukan melalui kenaikan harga barang keperluan.

Mantan perdana menteri itu berkata meskipun kerajaan memerlukan dana lebih besar setiap tahun bagi menanggung perbelanjaan yang semakin meningkat, kerajaan boleh menggunakan konsep ‘cost down’ untuk mengurangkan pembaziran.

“Kita faham kerajaan memerlukan lebih wang tetapi itu tidak bermakna peningkatan seperti yang diumumkan. “Adalah lebih baik mengurangkan kos, mengekalkan atau mengurangkan harga. Perkara sama boleh dilakukan kerajaan,” katanya dalam tulisan di blog Che Det hari ini.

Menurut Dr Mahathir, banyak dapat dijimatkan jika kerajaan serius bertindak berikutan Laporan Ketua Audit Negara mengenai ketirisan kerajaan. “Kerajaan biasanya melakukan pembaziran kerana tidak memikirkan pulangan dalam apa juga bentuk perbelanjaan. Jika kerajaan berhasrat mengurangkan kos urus tadbir, mereka boleh melakukannya,” tulis beliau.

Dr Mahathir berkata Putrajaya boleh melakukan penjimatan sebanyak 50% jika lampu jalan digantikan dengan mentol LED. “Penjimatan kepada bekalan elektrik dapat disalurkan kepada pengurangan subsidi bahan bakar bagi menjana tenaga namun ini tidak dilakukan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata meskipun rakyat memahami cukai lebih tinggi diperlukan bagi menanggung kos pembangunan tetapi peningkatan kos sara hidup harus selari dengan jumlah pendapatan. “Pembayar cukai tidak mampu menanggung kenaikan cukai mendadak,” katanya.

Dr Mahathir turut menyarankan kesan kenaikan cukai perlu dikaji terlebih dahulu. “Mesti diingat adalah kenaikan cukai meningkatkan kos sara hidup, kos menjalankan perniagaan, mengurangkan keuntungan serta pengurangan cukai korporat kerajaan,” katanya.

Mantan Perdana Menteri itu turut menyelar kerajaan kerana meningkatkan tarif elektrik pada kadar 15% yang disifatkannya satu lonjakan besar kepada pengguna elektrik domestik selain memberi kesan kepada kos pengeluaran industri. Katanya, kenaikan tarif elektrik itu sewajarnya dinaikkan secara berperingkat bagi mengelakkan industri yang telah memeterai perjanjian pengeluaran menanggung kerugian besar.

“Kenaikan tarif elektrik pada kadar 15% adalah satu perubahan besar. Kerugian pemain industri akibat kenaikan tarif elektrik itu akan menyebabkan mereka membayar cukai korporat yang lebih rendah akibat tidak mendapat keuntungan besar.

“Kenaikan tarif boleh dilakukan secara berperingkat seperti 6% setahun untuk tempoh tiga tahun atau lebih lama. Jika formula itu digunakan, peningkatan sebenarnya boleh meningkat kepada 18% berbanding 15% yang diperkenalkan kerajaan sekarang,” katanya.

Dr Mahathir berkata melalui kaedah itu, kerajaan boleh menikmati kadar kenaikan lebih dari 15% tanpa menanggung apa-apa kerugian sebaliknya melengahkan kadar kenaikan tersebut.

Beliau tidak menafikan kerajaan memerlukan wang bagi mentadbir negara tetapi perlu memikirkan kos rakyat dan perniagaan sebelum memperkenalkan cukai baru. “Ia tidak terlalu memberi kesan kepada kerajaan sebaliknya memberi faedah besar kepada rakyat. Malah hal itu akan dikenang dalam pilihan raya umum akan datang. 

“Baru-baru ini, Presiden Perancis Francois Hollande meningkatkan cukai kepada 50% tetapi ramai yang meninggalkan Perancis bagi membangunkan perniagaan di negara lain,” katanya.

Awal bulan ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata semakan semula tarif elektrik mengambil kira kepentingan rakyat dengan memastikan kebanyakan rakyat tidak terjejas. Beliau berkata kenaikan itu tidak akan menjejaskan kira-kira 71% daripada pengguna domestik di seluruh negara dengan tidak sampai 30% pengguna yang terlibat dengan kenaikan adalah pengguna industri dan komersial.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text