Social Icons

Jumaat, 27 Mei 2016

Dahsyatnya Tiupan Sangkakala

Rasulullah SAW menyebut jarak antara satu tiupan dengan tiupan berikutnya mengambil masa selama 40, tanpa dijelaskan oleh sahabat sama ada ia 40 tahun, hari atau bulan. 

Tiupan kedua sangkakala oleh malaikat Israfil menyebabkan kematian seluruh makhluk di langit dan bumi, kecuali mereka yang dikehendaki Allah SWT. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan (ingatkanlah) hari ditiup sangkakala, lalu terkejutlah, gerun gementar, makhluk yang ada di langit dan yang ada di bumi, kecuali mereka yang dikehendaki Allah; dan semuanya akan datang kepada-Nya dengan keadaan tunduk patuh. Dan engkau melihat gunung-ganang, engkau menyangkanya tetap membeku, pada hal ia bergerak cepat seperti bergeraknya awan; (demikianlah) perbuatan Allah yang telah membuat tiap-tiap sesuatu dengan serapi-rapi dan sebaik-baiknya; sesungguhnya Ia amat mendalam pengetahuan-Nya akan apa yang kamu lakukan." (Surah al-Naml, ayat 87-88) 

Ibnu Rafiq menyebut, terbelahnya langit terjadi di antara dua tiupan dan pada waktu itu bintang berhamburan jatuh berguguran, matahari serta bulan tidak lagi bersinar, maka suasana bertukar. 

Begitulah digambarkan seperti firman Allah SWT yang bermaksud: "(Ingatlah) masa hari bumi ini diganti dengan yang lain, demikian juga langit; dan manusia semuanya keluar berhimpun menghadap Allah, Yang Maha Esa, lagi Maha Kuasa. Dan engkau akan melihat orang yang berdosa pada ketika itu diberkas dengan belenggu. Pakaian mereka dari belangkin (minyak tar), dan muka (serta seluruh badan) mereka diliputi oleh jilatan api neraka." (Surah Ibrahim, ayat 48-50) 

Tiupan ketiga seluruh penghuni dibangkit semula 

Menurut Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani, menerusi slot Mau'izati di IKIMfm, tiupan ketiga ialah tiupan yang membangkitkan semula seluruh penghuni untuk menghadap Allah SWT. Manusia mengalami ketakutan yang amat sangat disebabkan azab Allah SWT dan melihat suasana di Padang Mahsyar. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Wahai umat manusia, bertakwalah kepada Tuhan kamu! Sesungguhnya gempa kiamat itu suatu perkara yang amat besar. Pada hari kamu melihat (peristiwa mengerikan) itu, tiap-tiap ibu yang menyusukan akan melupakan anak yang disusukannya, dan tiap-tiap perempuan yang mengandung akan gugurkan anak yang dikandungnya; dan engkau melihat manusia mabuk, pada hal mereka sebenarnya tidak mabuk, tetapi azab Allah amatlah berat, mengerikan." (Surah Al-Haj, ayat 1-2) 

Apabila semua makhluk dimatikan, malaikat maut (Izrail) datang menghadap Allah SWT dan menyebut: "Wahai Allah, penghuni langit dan bumi semuanya telah mati kecuali mereka yang Kamu kehendaki sahaja. Lalu Allah bertanya: Siapakah yang masih hidup? Malaikat Izrail berkata: Wahai Tuhanku, yang hidup adalah Engkau, yang Maha Hidup dan tidak akan mati, dan malaikat yang menjaga Arasy-Mu, Jibril, Mikail dan diriku. Allah berfirman: Matilah Jibril dan Mikail. 

Allah menjadikan Arasy boleh berkata-kata: Ya Tuhanku, benarkan Jibril dan Mikail itu mati. Allah membentak kepada malaikat penjaga Arasy: Diam kamu! Sesungguhnya Aku telah menetapkan kematian siapa sahaja yang berada di bawah Arasy-Ku, oleh kerana itu kedua-duanya mesti mati. 

Lalu dicabut nyawa mereka dan datang semula malaikat Izrail menghadap Allah dan berkata: Ya Allah, Jibril dan Mikail sudah dimatikan, tinggal diriku dan malaikat yang menjaga Arasy. Allah memerintahkan pula malaikat menjaga Arasy dimatikan. Langit, bumi digulung Kemudian Arasy diperintahkan oleh Allah supaya mencabut sangkakala daripada tangan Israfil dan dia pula yang memegangnya. 

Malaikat Izrail datang bertemu Allah semula dan memberitahu bahawa malaikat penjaga Arasy juga telah mati. Akhirnya malaikat Izrail juga dicabut nyawanya disertai tempikannya yang amat mengerikan. Yang tinggal hanyalah Allah SWT yang kemudian menggulungkan langit dan bumi bagaikan menggulung lembaran-lembaran kertas dan melipatnya dengan tiga kali lipatan. 

Lalu Allah bertanya dengan tiga kali tempikan: Di manakah raja-raja dan pembesar-pembesar serta mereka yang berkuasa di atas dunia dahulu? Milik siapakah pada hari ini? Lalu Allah SWT menyebut: Hari ini hari Allah yang memiliki segala sesuatu." 

Penulis merupakan Penerbit Rancangan Kanan IKIMfm

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text