I Pendahuluan
Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) digubal berdasarkan Falsafah Pendidikan Negara. Matlamat KBSM adalah selaras dengan matlamat pendidikan negara ke arah menghasilkan insan yang seimbang berdasarkan kepada kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.
Dalam rancangan KBSM, pendidikan bersepadu merupakan satu strategi penting bagi menjalin dan mengadunkan unsur-unsur ilmu dan kemahiran; bahasa; dan nilai-nilai dalam semua mata pelajaran.
II Latar Belakang
Dari segi konsep, pendidikan bersepadu ditakrifkan *sebagai proses pembentukan pelajar dari segi penguasaan ilmu pengetahuan, pemupukan nilai-nilai murni dan perkembangan jasmani yang dilakukan secara menyeluruh ke arah mewujudkan insan yang baik.Proses ini berlaku serentak, selaras dan sentiasa terikat kepada kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.
III Pendekatan
Dari segi pendekatan, untuk menjayakan matlamat pendidikan serta kurikulum bersepadu, perkara-perkara yang ditegaskan ialah:
(a) Aspek Ilmu dan Kemahiran
... mengekalkan disiplin pendidikan yang ada. Walau bagaimanapun setiap disiplin dirujuk dan diselaraskan dengan falsafah dan matlamat Pendidikan Negara. Falsafah dan matlamat ini diterjemahkan ke dalam objektif mata-mata pelajaran;
... kandungan kurikulum hendaklah mempunyai perkaitan di antara diri dengan manusia, alam dan Tuhan;
... kemahiran-kemahiran asas 3M yang telah dikuasai pada peringkat KBSR diperkukuhkan dan diperkembangkan lagi. Usaha-usaha ini juga meliputi aspek kemahiran belajar, kemahiran sosial dan kemahiran psikomotor yang telah dimulakan di peringkat KBSR.
(b) Aspek Nilai
... unsur nilai merupakan komponen bersepadu yang penting dan dilaksanakan merentasi kurikulum selain daripada yang diajar di dalam Pendidikan Islam / Pendidikan Moral;
... penerapan nilai-nilai murni dilakukan secara sedar dan sengaja. Nilai-nilai murni yang ditegaskan meliputi kerohanian, kemanusiaan dan kewarganegaraan (Lampiran 1).
(c) Aspek Bahasa
... dalam rancangan KBSM, unsur bahasa bersepadu dengan unsur nilai. Bahasa Malaysia dipertingkatkan penggunaan dan penguasaan untuk menghayati hasratnya sebagai bahasa ilmu, bahasa perhubungan dan bahasa pencerminan akal budi rakyat;
... sebagai bahasa ilmu, Bahasa Malaysia dikukuhkan kedudukannya kerana peranannya merentasi bidang ilmu/kurikulum. Keperluan untuk pelajar-pelajar meningkatkan penguasaan dalam Bahasa Malaysia bertambah, dari segi bahasa ilmu pelajar-pelajar KBSM seharusnya mempunyai penguasaan berbahasa dan ketepatan berkomunikasi, di samping fasih dan lancar dalam pertuturan, cekap, kritis dan analitis dalam pembacaan serta kreatif dan produktif dalam menghasilkan penulisan. Pelajar-pelajar KBSM akan dipupuk dengan kepekaan terhadap sistem Bahasa Malaysia dan gaya bahasa yang indah kesedaran terhadap Bahasa Malaysia dalam pelbagai situasi serta pemahaman unsur dan nilai kemanusiaan secara menyeluruh;
... penggunaan bahasa-bahasa lain sebagai sumber pembinaan tamadun ilmu digalakkan.
Di samping tiga aspek penting yang dinyatakan di atas, bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran khasnya buku teks mesti menggarap dan mencerminkan hasrat Falsafah dan memperlihatkan kesepaduan. Dengan cara itu guru-guru dan murid-murid dapat panduan dan contoh.
IV Operasi Pendidikan Bersepadu dalam KBSM
Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) diasaskan kepada konsep Pendidikan Bersepadu. Rancangan pendidikan ini bertujuan mempertingkatkan lagi perkembangan potensi individu secara menyeluruh dan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani ke arah melahirkan insan yang berilmu, berakhlak mulia dan berbudi serta sanggup berbakti kepada masyarakat dan negara. Kesepaduan ini mempunyai hubungkait dan pertalian yang rapat di antara falsafah dan matlamat pendidikan dengan matlamat KBSM dan objektif sukatan pelajaran. Pertalian ini juga mengambil kira bidang kognitif, afektif dan psikomotor melalui isi kandungan yang terdapat dalam mata-mata pelajaran teras dan pilihan / tambahan. Operasi Pendidikan Bersepadu dalam KBSM telah dijelaskan berpandukan model-model berikut:
V Kesimpulan
Penggubalan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah dilakukan di atas kesedaran bahawa kita mesti mempunyai hala tuju yang benar dan tepat di dalam pendidikan kita. Kita mesti memiliki falsafah yang mengandungi hasrat, harapan dan idealisma yang hendak kita perjuangkan. Perubahan yang dilakukan di dalam kurikulum menuntut perubahan di dalam sikap, semangat, pendekatan dan budaya kerja para pendidik. Semua pihak sebenarnya harus disedarkan serta dididik untuk memahami dan menghayati Falsafah Pendidikan Negara.
Pusat Perkembangan Kurikulum,
Kementerian Pendidikan Malaysia.
Januari 1988
0 ulasan:
Catat Ulasan