Social Icons

Jumaat, 27 Mei 2016

Perkahwinan Bukan Untuk Bercerai - BAHAGIAN 2

Sebenarnya rumah tangga orang-orang mukmin itu melandasi hubungan mereka dengan keserasian, menegakkan keadilan, menebar kasih sayang dan mendahulukan menunaikan kewajipan daripada menuntut hak.

Jadilah setiap orang daripada suami dan isteri itu orang yang sentiasa memberi. Apabila masing-masing tidak meminta malah memberi apa saja yang boleh membahagiakan pasangannya maka kehidupan rumah tangga akan jadi indah dan membahagiakan

Sepasang suami-istri yang dipersatukan oleh ikatan pernikahan adalah organisasi kecil yang perlu dikendalikan dalam keadaan hati bergantung harap dengan Allah. Kerana itu, pasangan suami-isteri haruslah memahami kewajipan mereka terhadap Allah terlebih dahulu sebelum memikirkan tentang hak dan kewajipan dirinya ke atas pasangannya dan anggota keluarga lainnya.

Rumah tangga mestilah penuh dengan usaha mendekatkan diri dengan Allah SWT dan Rasulullah SAW. Hati mahu dibina agar wujudnya perasaan seorang hamba dengan Tuhannya yang maha kuasa dan perasaan seorang fakir yang mengharapkan keredhaan Rasulnya yang mulia.
Kehidupan rumah tangga mesti didasari dengan perasaan hati yang kuat terhubung dan terikat dengan Allah, rasul, guru mursyid, pemimpin dan alam ghaib keseluruhannya. Jika ini dapat dibina dan dijiwai oleh setiap hati insan di dalam sesebuah keluarga barulah cahaya keindahan rumahtangga itu akan bersinar membahagiakan.

Hubungan lahiriah suami-isteri dalam rumah tangga mereka tidaklah bermakna apa-apa jika hati kosong dari mengingati Allah. Jika hati sudah disatukan dengan Allah dan Rasul, penyatuan lahiriah selepas itu akan jadi mudah dan bermakna.

Jika jiwa sudah diserasikan dengan jiwa mursyid yang sentiasa mengajak merindui kematian dan alam ghaib, maka keserasian lahiriah sesama ahli keluarga dalam rumah tangga itu akan terjadi dengan sendirinya. Ianya akan berlaku secara otomatis kerana keserasian dalamannya sudah wujud terlebih dahulu.

Inilah rahsia perpaduan dalam rumah tangga yang dapat dilihat terhasil apabila setiap individu bersungguh-sungguh berusaha mendapatkan Allah di hati mereka. Perpaduan sebeginilah yang akan melebar membesar di tahap masyarakat, negara dan alam sejagat.

Sebab itu memulakan hal sebegini di dalam rumah tangga adalah kewajipan setiap pihak terutama suami sebagai ketua keluarga dan isteri sebagai pembantu kepada suami. Dari rumah tanggalah perpaduan sejagat akan terbentuk. Dunia akan aman harmoni tanpa ada sengketa atau pertelingkahan.

Rumah tangga adalah tempat hati-hati dihimpunkan di ‘hadapan’ kebesaran dan keagungan Allah. Hati-hati yang sentiasa merintih mengingat dosa, memohon keampunanNya dan mengharapkan keredhaanNya adalah tempat jatuhnya pandangan Allah.

Kalau ini terjadi Allah pasti tidak akan memungkiri janjiNya yang akan membela orang-orang yang bertaqwa. Akan berlaku bantuan Allah dan kemenangan demi kemenangan di dalam melawan nafsu dan syaitan serta mendapat kelepasan daripada setiap kesulitan.

Di dalam rumah tangga yang sebegini dan di dalam masyarakat yang mempunyai ciri-ciri yang tersebut, amat sukar untuk ditemui pasangan yang bercerai-berai atau hidup sengsara menderita walaupun masih bergelar suami isteri.

Sebaliknya perkahwinan dirasakan semakin hari semakin indah dan membahagiakan. Inilah yang dimaksudkan “baiti jannati” – “rumahku syurgaku” bagi rumah tangga orang-orang beriman yang Allah anugerahkan syurga di dunia sebelum mendapat syurga yang kekal abadi di akhirat.

Semoga Allah SWT rezekikan untuk kita rumah tangga yang sebegini dengan berkat kemuliaan Rasulullah SAW, para sahabat dan para kekasihNya. Amin!!

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text