Social Icons

Ahad, 25 Disember 2016

Minda Taqwa Dan Ilmu Hikmah Dalam Mendidik Manusia

Oleh: Yang Berbahagia Ayahanda Syeikh Haji Abdul Rahim Pfordten

Minda Islam adalah tafsiran kepada al Quran dan Sunnah. Ianya perlu untuk membimbing manusia menjadi hamba Allah yang bertaqwa dan menjadi panduan menyelesaikan permasalahan hidup manusia. Ianya merupakan ilmu dalam ilmu atau apa yang dikatakan ilmu hikmah. 

Ilmu Hikmah inilah yang mampu meresap ke dalam jiwa dan mendorong untuk bertindak setelah menghayatinya. Ilmu Hikmah adalah ilmu yang membina rasa-rasa hamba dan rasa berTuhan. Rasa-rasa ini adalah himpunan perasaan yang takut dengan Allah dengan sebenar-benar takut dan rindu serindu-rindunya dengan Nabi Saw. Tindakan yang didorong oleh rasa takutkan Allah itu lah yang dikatakan rasa taqwa yang akan diterima Allah sebagai ibadah dan diberi keberkatan. 

Firman Allah: "Hanya sanya Allah menerima amalan hamba-hambaNya yang bertaqwa".

Pendakwah mesti menguasai minda tentang pendidikan yang menjadi nadi kepada pembentukan jiwa manusia. Pendakwah juga mesti memahami semua skop kehidupan insan meliputi bidang ekonomi, pentadbiran, muamalah, kesihatan, kekeluargaan, perhubungan, kemasyarakatan, kebudayaan dan sebagainya.

Dengan kata lain, minda Islami mesti menjadi pendorong untuk menghayati dan mengamalkan ilmu. Mempelajari atau menghafal Al-Quran misalnya mesti disertai dengan mentafsir, mengamalkan dan memperjuangkan apa yang terkandung di dalam Al-Quran. 

Sememangnya dalam mentafsir Al Quran tidak cukup sekadar ada ilmu alat untuk memahami bahasa Arab klasik seperti Nahu, Soraf, Mantiq, Bayan, Balaghoh, Ma'ani, A'rud dan sebagainya sahaja tetapi mesti disertai oleh hati yang ada rasa taqwa. Itulah hati yang takut Allah dengan rasa yang setakut-takutnya. Firman Allah bermaksud "Barang siapa bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah akan beri dia ilmu". Inilah yang dimaksudkan ilmu laduni atau ilmu hikmah. Allah anugerahkan ilham atau ilmu laduni atau ilmu hikmah ini kepada orang bertaqwa untuk memahami kehendak Al-Quran dan Sunnah.

Untuk mengubah insan, proses pendidikan rohaniah yang mempunyai berbagai rasa hamba ini perlu berjalan 24 jam. Jika kita faham, Iqra' itu ertinya baca, faham, amalkan serta perjuangkan. Rasulullah saw mengingatkan kepada kita bahawa menuntut ilmu yakni pendidikan itu wajib ke atas orang beriman dan berterusan diusahakan dari buaian hingga ke liang lahat. Bahkan menuntut ilmu yang boleh menyelamatkan seseorang manusia itu di dunia dan di akhirat itu sangat dituntut walau sampai ke negeri Cina yakni ke mana pelosok dunia sekali pun. 

Ianya tidak lain tidak bukan kerana ilmu hikmah ini meliputi hubungan manusia dengan Allah yakni mengenai ibadah khusus kepada Allah dan ilmu yang merangkumi aspek perhubungan sesama manusia untuk mengatur kehidupan, membangun dan membina tamadun.

Hakikat manusia itu adalah rohnya. Mendidik roh adalah dengan diperkenalkan keagungan dan kehebatan Allah. Hingga Allah itu benar2 dikenali, dicintai, ditakuti dan dipatuhi.  Inilah maksud "Awwaluddin ma'rifatullah". Proses awal dan utama dalam pendidikan anak-anak ialah memperkenalkan Tuhan yang maha kuasa dan maha segala-galanya di dalam hati-hati mereka. 

Semakin diperkenalkan Tuhan, semakinlah mendalam rasa takutkan Tuhan di hati. Semakin terasa Tuhan maha memerhati, maha mengetahui, maha menghukum sehingga mereka takut untuk berbuat maksiat dan kejahatan. Ianya mendorong ketundukan dan kepatuhan kepada ajaran Al-Quran. 

Seterusnya mendidik roh juga bermakna memperkenalkan Rasulullah saw sehingga dapat dirasakan di hati mereka Rasulullah saw itu sangat dihargai lagi di rindui. Rasul itulah  yang sangat menjadi idola serta ikutan peribadi mereka. Kecintaan mereka kepada Rasulullah saw sepatutnya adalah kecintaan hakiki yang sepatutnya wujud di dalam hati-hati mereka. 

Inilah peranan pendidikan rohaniah. Ianya merangkumi ilmu, tarbiah, latih tubi, disiplin dan ta'zir untuk diri, keluarga dan masyarakat. Inilah yang diharapkan berlaku agar jadilah mereka muslim yang taat ketika ramai dan ketika sendirian. Jadilah mereka berperibadi mulia, berbudi luhur dan berhati yang bersih dari sifat-sifat mazmumah yang sangat memberi manfaat kepada masyarakat. 

Sesungguhnya mendidik manusia ini adalah tugas para Nabi, Mursyid dan Murabbi. Tidak sebarang manusia yang boleh berjaya mendidik manusia untuk melahirkan seseorang insan yang soleh lagi bertaqwa. Hal ini adalah kerana untuk mendidik manusia, seseorang itu mesti mempunyai firasat yakni rasa hati yang dapat mengenali dan mengetahui jiwa seseorang manusia yang mahu dididik itu dengan firasat yang tepat. Ianya tidak mampu dilakukan oleh orang biasa kerana ianya akan menjadi seperti tikus membaiki labu. 

Ertinya tidaklah sebarang insan yang akan dipilih Tuhan untuk mengubah insan yang lain untuk menjadi hamba yang bertaqwa. Hanya insan luar biasa sahaja yang dianugerahkan kemahiran jiwa dalam mendidik roh dan jiwa manusia. Mereka adalah orang-orang yang pakar dalam menilai dan meningkatkan diri mereka sendiri dan seterusnya dipimpin Allah dalam menangani setiap masalah rohaniah siapa sahaja.

Pendakwah perlu humble, merendah hati, merasa hamba, merasa tak pandai, harapkan pimpinan Allah dan keberkatan mursyid. Orang sombong tidak boleh jadi pendidik. 

Pendidikan ertinya menguasai kemahiran mengendalikan unsur-unsur dalaman utama yang ada di dalam diri manusia iaitu hati, akal, perasaan dan nafsu. Setiap satunya mempunyai ciri tertentu yang mesti difahami peranannya dan tahu bagaimana cara mendidiknya. Akal kena diperkayakan dengan ilmu. Jiwa kena dipertajamkan dengan minda. Nafsu kena ditakutkan dengan rasa takut setakut-takutnya dengan kebesaran Allah. Dan amalan lahir kena di bina dengan latihan, displin serta dikawal dengan hukuman atau ta'zir.

Pendakwah perlu bergantung kepada Allah. Hakikatnya Allah yang berbuat. Pendakwah atau pendidik hanya sebagai asbab. Jika pendidik itu bertaqwa kepada Allah, in sya allah semua kerja-kerjanya itu akan dibantu Allah. Menyerah diri kepada Allah adalah syarat untuk mendapat bantuan dan pertolongan dariNya. Itulah janji Allah!!

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text