Social Icons

Sabtu, 11 Mac 2017

Indahnya Rumah Tangga Islam!!!

Di antara kelemahan umat Islam di akhir zaman ialah mereka berkahwin sebelum ilmu-ilmu mengenai rumah tangga menurut Islam itu ada. Bahkan pada sebahagian orang, ilmunya untuk sekadar mengesahkan akidah. Ilmu untuk ibadah-ibadah yang asas pun belum ada lagi, apatah lagi lebih daripada itu. Lantaran itulah di akhir zaman tidak usah hendak menegakkan Islam di dalam masyarakat dan negara, untuk menegakkan Islam dalam peribadi dan keluarga pun amat sulit sekali.

Hal-hal seumpama ini hendaklah diambil perhatian, diperjuangkan lebih dahulu sebelum pergi lebih jauh. Kalau tidak, cita-cita Islam yang lebih besar dan global akan gagal. Tinggal harapan-harapan dan kenangan nostalgia yang silam saja.

Setiap orang yang ingin mendirikan rumah tangga, mengharapkan rumah tangga menjadi syurga. Jika ianya terjadi di dalam realita hidupnya, lahir di dalam kenyataan yang selama ini hanya di dalam angan-angan atau di dalam harapan semata-mata, sudah tentulah indahnya hidup dan kehidupan itu dirasakannya.

Rasa senang, tenang, bahagia dan harmoni, meskipun di dalam keadaan miskin. Kalau bukan kerana ada kewajiban lain di luar rumah, rasa tidak mau hendak keluar rumah kerana apa yang diangan-angankan selama ini ada di dalam rumah. Di dalam rumah ada segala-galanya. Iman dapat di rumah, akhlak mulia menceria dan mencahayakan rumah tangga bak bunga-bunga yang kembang memeriahkan taman di waktu pagi.

Syiar Islam sangat nampak. Melihat isteri, tenang hati, kerana setianya. Melihat suami senang hati, kerana tanggungjawabnya. Melihat ibu ayah terasa kenyang. Jiwa yang kosong terasa terisi. Tiadanya mereka kedua, terasa kekosongan. Rindu-merindui satu sama lain. Adanya mereka di tengah keluarga, selesai segala masalah.

Melihat anak-anak, sejuk hati kerana mereka mendengar kata dan hormat ibu bapa. Tidak pernah didengar di dalam rumah tangga kata nista, cakap-cakap yang menyakitkan hati, bertegang urat, kata-mengata, tuduh-menuduh, caci maki, cerca-mencerca, berkata kotor dan tidak sopan, apatah lagi pukul-memukul, tumbuk-menumbuk, tendang-menendang, lengan-melengan dan terajang-menerajang.

Sangat nampak kebesaran Allah itu di dalam rumah tangga kerana anggota keluarga itu membesarkan Allah Taala melalui sembahyang berjemaah, qiamullail, membaca Al Quran, tasbih,tahlil dan tahmid. Juga dari kuliah-kuliah Islam untuk keluarga, makan bersama, bekerjasama, maaf-bermaafan, nasihat-menasihati, ingat-mengingati dan masing-masing ada tugas mengikut kedudukan masing-masing.

Itulah dia rumah tangga Islam. Rumah tangga yang menjadi syurga. Itulah hasil perjuangan dua suami isteri Islam yang menikah kerana cita-cita Islam, untuk kemegahan Islam bukan untuk kemegahan diri. Itulah dia syurga sementara waktu sebelum Syurga yang menunggu di Akhirat nanti. Itulah dia syurga yang disegerakan sebelum Syurga yang kekal abadi.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text