Dalam sebuah keluarga, ada suami, ada isteri, suami sebagai ayah, isteri sebagai ibu, ada anak-anak, mereka adalah darah daging daripada hasil perkongsian hidup dua suami istri atau daripada ibu dan ayah, mengikut fitrah semula jadi, biasanya hati mereka dekat antara satu sama lain. Ada pautan, apalagi antara anak dengan ayah dan ibu, sampai bila-bila pun tak akan terputus hubungan mereka. Walau dalam bagaimana keadaan sekali pun tidak akan terputus hubungan rahim serta hubungan darah daging kerana mereka adalah sebahagian daripada ibunya dan sebahagian daripada ayahnya.
Jika dalam rumah tangga itu tidak dapat menegakkan syurga, tidak wujud kasih sayang, tidak ada perpaduan, tidak ada kerjasama, tidak ada hormat menghormati satu sama lain, suami atau ayah boring dirumah, isteri seronok hendak balik kampung, tanda hubungan dengan suami telah renggang.
Anak-anak pula lebih suka di luar rumah, jalan-jalan tidak ada tujuan, pulang malam kerana jemu melihat hubungan ibu dan ayahnya sudah tidak terjalin lagi. Walhasil masing-masing diam di rumah keluh kesah, tidak terhibur dan masing-masing membisu. Kalau berbicara pun ada yang sakit hati. Seolah-olah tidak ada hubungan antara satu sama lain.
Anak-anak pula lebih suka di luar rumah, jalan-jalan tidak ada tujuan, pulang malam kerana jemu melihat hubungan ibu dan ayahnya sudah tidak terjalin lagi. Walhasil masing-masing diam di rumah keluh kesah, tidak terhibur dan masing-masing membisu. Kalau berbicara pun ada yang sakit hati. Seolah-olah tidak ada hubungan antara satu sama lain.
Kalau begitu keadaannya dalam rumah tangga, apakah yang dapat membangunkan syurga di dalam masyarakat yang lebih luas lagi, yang mana anggota-anggotanya selain telah ramai dan luas daerahnya, tidak ada hubungan darah, sekadar kenalan saja, bahkan ramai yang kita tidak kenal? Jawabannya lebih lagi tidak mungkin bahkan hampir mustahil untuk mewujudkan 'masyarakat syurga'.
Itulah dia kesan dan risikonya apabila dua individu muslim itu berkahwin bukan atas landasan cita-cita islam. Cita-citanya sekadar untuk melepaskan tuntutan fitrah atau keinginan biologis. Tidak perlu memerlukan dan tidak ada ketertarikan satu sama lain. Akhirnya hiburan yang diharapkan dari satu sama lain pun tidak sampai kehujung. Setelah itu terasa rumah tangga adalah neraka.
Setiap orang yang ingin mendirikan rumah tangga, mengharapkan rumah tangga menjadi syurga. Jika ianya terjadi di dalam realita hidupnya, lahir di dalam kenyataan yang selama ini hanya di dalam angan-angan atau di dalam harapan semata-mata, sudah tentulah indahnya hidup dan kehidupan itu dirasakannya sangat membahagiakan.
Rasa senang, tenang, bahagia dan harmoni, meskipun di dalam keadaan miskin. Kalau bukan kerana ada kewajiban lain di luar rumah, rasa tidak mahu hendak keluar rumah kerana apa yang diangan-angankan selama ini ada di dalam rumah. Di dalam rumah ada segala-galanya. Iman dapat di rumah, akhlak mulia menceria dan mencahayakan rumah tangga bak bunga-bunga yang kembang memeriahkan taman di waktu pagi.
Syiar Islam sangat nampak. Melihat isteri, tenang hati, kerana kesungguhan melayani suami dan setianya. Melihat suami senang hati, kerana tanggungjawabnya. Melihat ibu ayah terasa kenyang. Jiwa yang kosong terasa terisi. Tiadanya mereka kedua, terasa kekosongan. Rindu-merindui satu sama lain. Adanya mereka di tengah keluarga, selesai segala masalah.
Melihat anak-anak, sejuk hati kerana mereka mendengar kata dan hormat ibu bapa. Tidak pernah didengar di dalam rumah tangga kata nista, cakap-cakap yang menyakitkan hati, bertegang urat, kata-mengata, tuduh-menuduh, caci maki, cerca-mencerca, berkata kotor dan tidak sopan, apatah lagi pukul-memukul, tumbuk-menumbuk, tendang-menendang, lengan-melengan dan terajang-menerajang.
Sangat nampak kebesaran Allah itu di dalam rumah tangga kerana anggota keluarga itu membesarkan Allah Taala melalui sembahyang berjemaah, qiamullail, membaca Al Quran, tasbih, tahlil dan tahmid. Juga dari kuliah-kuliah Islam untuk keluarga, makan bersama, bekerjasama, maaf-bermaafan, nasihat-menasihati, ingat-mengingati dan masing-masing ada tugas mengikut kedudukan masing-masing.
Itulah dia rumah tangga Islam. Rumah tangga yang menjadi syurga di dunia. Itulah hasil perjuangan dua suami isteri Islam yang berkahwin kerana cita-cita Islam, untuk kemegahan Islam bukan untuk kemegahan diri. Itulah dia syurga sementara waktu sebelum Syurga yang menunggu di Akhirat nanti. Itulah dia syurga yang disegerakan sebelum Syurga yang kekal abadi.
Menegakkan rumah tangga Islam bukan sekadar penghuni-penghuninya Islam. Rumah tangga Islam ertinya disiplin Islam itu berjalan dan berperanan di dalam rumah tangga. Wujudnya suasana ibadah, semua anggota berakhlak mulia.
Untuk membangunkan rumah tangga Islam tidak cukup sekadar suami isteri Islam. Juga tidak cukup sekadar suami isteri itu bercita-cita Islam
Ia memerlukan:
1. pemahaman ilmu pengetahuan Islam,
2. faham mendidik isteri dan anak-anak serta ada ilmu tentangnya.
3. Faham psikologi isteri dan anak-anak secara umum.
4. Suami atau ayah mampu jadi imam sembahyang.
5. Isteri sedikit sebanyak faham psikologi suami, juga anak-anak.
6. Suami isteri berusaha bersungguh-sungguh melaksanakannya dengan sikap, perilaku serta boleh memberi tunjuk ajar dan penjelasan mengenai ilmunya.
7. Sabar melaksanakannya serta sabar dalam mendidik isteri dan anak-anak.
8. Didik dengan lemah-lembut tetapi tidak salah sekali sekala memarahi serta menghukum mereka yang bersalah. Cuma tidak sampai melampaui batas.
Oleh itu sebelum seorang lelaki atau perempuan itu berkahwin, mestilah menyediakan, menyiapkan dan melengkapkan diri lebih dahulu dengan
1. Amalan dan ilmu Islam,
2. ilmu rumah tangga menurut Islam,
3. ilmu mendidik anak-anak,
4. ilmu kewajipan seorang suami dan kewajipan seorang isteri terhadap suaminya,
5. ilmu untuk ibadah,
6. ilmu akhlak,
7. ilmu bersuci dan
8. mengurus rumah tangga menurut Islam. Tidak cukup sekadar menyimpan duit dan menyediakan tempat tinggal untuk berhadapan dengan pernikahan.
Semoga kita semua berjaya membina keluarga sakinah, mawaddah dan rahmah yang penuh kasih sayang dan kebahagiaan lahir serta batinnya.
assalamualaikum tn.jo boleh x post,doa tolak bala yang pernah dibaca tn, swaktu solat subuh.
BalasPadam