Menurut ajaran islam, tidak salah berhibur asalkan halal. Lebih-lebih lagi ingin berhibur itu adalah fitrah manusia. Islam tidak menghalang tuntutan fitrah. Di antara hiburan manusia ialah pertemuan lelaki dan perempuan atau dengan kata-kata yang lain ialah melakukan perhubungan perkahwinan di antara lelaki dan perempuan. Dapat bersuka-suka, bergurau senda, melakukan hubungan jenis bahkan Islam menyuruh berbuat demikian demi membaikkan hati kedua-duanya.
Tapi perlu diingat, ia bukan matlamat hidup di dalam pernikahan. Ia adalah sampingan dari pernikahan. Ia akan berlaku dan terjadi dengan sendiri sama ada kta fikirkan atau tidak. Ia termasuk di dalam menegakkan cita-cita pernikahan. Seperti juga kita diperintahkan belajar dengan tujuan menuntut ilmu sebanyak-banyaknya. Berilmu itu diwajibkan kerana untuk mendapatkan kejayaan di dunia maupun diakhirat, mestilah dengan ilmu. Tidak ada ilmu, kejayaan di dua negara itu tidak akan dicapai. Apabila kita belajar, sudah tentu kita terhibur dengan ilmu itu. Kita rasa senang dengan maklumat-maklumat yang kita dapati, tetapi bukanlah kita belajar itu dengan tujuan hiburan dan bersenang-senang. Kita belajar dengan tujuan kita hendak memperoleh ilmu agar mendapat kejayaan dunia akhirat dengan ilmu itu. Jadi hiburan itu hanya sampingan. Ia termasuk di dalam mengejar matlamat itu. Tapi ia bukan menjadi matlamat di dalam belajar. Begitulah juga pernikahan itu.
Tujuan perkahwinan mengikut Islam yang sebenarnya adalah seperti berikut:
1. Allah Taala telah mentakdirkan bahawa lelaki ada nafsu kepada perempuan. Perempuan juga ada nafsu dengan lelaki. Hakikat ini tidak boleh ditolak. Kita tidak boleh lari daripada tuntutan fitrah itu. Oleh itu untuk menyelamatkan keadaan maka tujuan kita menikah agar jangan sampai kita melakukan zina yang terkutuk. Mestilah kita berkahwin agar ia tersalur secara yang halal yang memang dibenarkan oleh Allah Taala yang Maha Pengasih.
2. Daripada perhubungan antara suami isteri itu, ia sebagai sebab pertemuan benih kedua jenis manusia yang akan melahirkan keturunan, anak-anak, cucu-cucu yang ingin sangat kita jaga, asuh, didik, diberi iman dan ilmu, agar menjadi hamba-hamba Allah yang berakhlak dan bertaqwa. Yang akan menyambung perjuangan Islam kita agar perjuangan Islam kita bersambung selepas kita mati. Memang setiap umat Islam yang belum rosak jiwanya sangat menginginkan generasi penerusnya.
3. Kalau begitu tujuan kita berkahwin, kita inginkan anak yang akan kita didik menjadi seorang Islam yang sejati dan anak itu adalah merupakan aset kita. Anak itu sendiri dapat menjadi harta dan tenaga kepada Islam.
4. Dengan pernikahan itu, jika tujuan kita mendapat anak berjaya, dan berjaya pula dididik dengan Islam dan menjadi seorang muslim yang berguna, kemudian dia akan melahirkan cucu yang juga berjaya dididik secara Islam dengan sebaik-baiknya, berapa banyak pahala yang kita dapat sambung-menyambung. Itu adalah merupakan aset simpanan kita di Akhirat kelak
Sabda Rasulullah SAW: Maksudnya: “Apabila meninggalnya anak Adam maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara iaitu doa anak yang soleh, sedekah jariah dan ilmu yang bermanfaat.” (Riwayat Muslim)
5. Alangkah indahnya kalau Islam yang maha indah itu dapat menjadi budaya hidup sebagaimana yang pernah mengisi ruangan dunia ini di masa yang silam, selama tiga kurun dari sejak Rasulullah SAW. Sekarang keadaan itu tinggal nostalgia saja. Yang tinggal pada hari ini hanya akidah dan ibadah. Itu pun tidak semua umat Islam berbuat. Kita inginkan keindahan Islam itu dapat diwujudkan. Di dalam suasana keluarga pun jadilah, kerana hari ini, hendak buat lebih dari itu memang amat sulit sekali. Lantaran itulah pernikahan itu amat perlu sekali kerana hendak melahirkan masyarakat Islam kecil. Moga-moga dari situ akan tercetus masyarakat Islam yang lebih besar.
6. Seorang muslim bukan saja diperintah untuk mencari keredhaan Allah Taala tetapi diperintah juga untuk menghiburkan hati kekasih Allah Taala iaitu Rasulullah SAW, yang mana Rasulullah SAW sangat berbangga dengan banyaknya pengikut atau umatnya di Akhirat kelak. Maka sebab itulah Rasulullah SAW menyuruh umatnya berkahwin.
Maksudnya: “Berkahwinlah kamu supaya kamu berketurunan dan supaya kamu menjadi ramai, kerana sesungguhnya aku akan berbangga dengan umatku yang ramai di hari Kiamat.” (Riwayat Al Baihaqi) Setiap umat Islam hendaknya apa yang menjadi kesukaan Rasul-Nya itulah juga kesukaan mereka.
7. Kalaulah Rasulullah SAW berbangga dan bergembira dengan ramainya umat, maka kita sepatutnya juga berbangga dengan ramainya umat Islam di dunia ini. Maka untuk memperbanyakkannya, karena itulah kita menikah. Jadi kita menikah itu ada bermotifkan untuk meramaikan umat Islam. Ada cita-cita Islam sejagat. Kita berkahwin itu ada cita-cita besar, bukan sekadar hendak melepaskan nafsu seks seperti cita-cita kebanyakan manusia.
8. Berkahwin itu digalakkan agar jangan sampai terputus zuriat kerana kita berbangga dapat menyambung keturunan yang menerima Islam sebagai agamanya dan dengan keturunan itulah orang kenal siapa asal-usul kita atau mereka.
9. Tujuan-tujuan lain sebagai maksud tambahan daripada pernikahan bahawa setiap lelaki dan perempuan yang menjadi pasangan suami isteri hendaklah meniatkan satu sama lain hendak memberi hiburan kepada seorang hamba Allah Taala yang inginkan hiburan, kerana niat menghiburkan orang mukmin itu mendapat pahala.
Begitulah sebahagian daripada tujuan dan maksud dari pernikahan di dalam Islam. Ia mempunyai cita-cita yang murni. Melahirkan cita-cita Islam, ingin mewujudkan satu rangkaian dan elemen-elemen amalan serta suasana Islam. Kalau ia dapat digabungkan dengan rangkaian-rangkaian dan elemen-elemen golongan yang mempunyai cita-cita dan tujuan yang sama seperti yang Islam kehendaki, lama-kelamaan ia akan menjadi satu masyarakat Islam yang lebih besar lagi, yang syiarnya akan dapat dilihat di mana saja di muka bumi Tuhan ini. Dunia ini akan menjadi amat meriah, ceria, gembira dan bahagia. Barulah dapat kita meyakinkan orang lain kerana keindahan Islam itu sangat nampak.
0 ulasan:
Catat Ulasan