Social Icons

Selasa, 13 Jun 2017

Kisah Othman Yang Asalnya Seorang Ateis Dalam Mencari Kebenaran

Othman asalnya adalah seorang ateis. Setelah memeluk Islam dia memilih nama Othman sebagai panggilan untuk dirinya. Ikuti kisahnya yang menarik.

Ayah Othman meninggal dunia ketika dia hanya berusia setahun dan dia dibesarkan sebagai seorang ateis (orang yang tidak percaya kepada Tuhan) di kalangan orang-orang yang tidak mempercayai Tuhan. Dia memiliki sebuah keluarga yang kecil yang terdiri daripada ibunya, seorang kakak dan dirinya sendiri. Dia juga mempunyai saudara mara yang datang sekali sekala untuk menjenguk keluarganya. 

Sememangnya fitrah berTuhan atau rasa Tuhan itu wujud memang ada di dalam diri setiap manusia. Sejak zaman kanak-kanak lagi, Othman sudah mempunyai keyakinan di dalam hati bahawa Tuhan itu wujud. Walaupun keluarganya ialah ateis, entah mengapa bayangan tentang tidak ada kehidupan sama sekali selepas mati benar-benar membuatkan Othman rasa takut. 

"Saya mula menangis dan menjerit-jerit dan keluarga saya tidak dapat menolong saya kerana mereka tidak mempercayai akan hidup selepas mati. Markah saya di sekolah lantas merosot pada waktu itu," katanya. 

Othman menghadiri kelas-kelas agama di gereja hanya untuk membolehkannya keluar lebih awal dari sekolah dan dalam salah satu kelas tersebut, dia telah bertanyakan satu soalan kepada guru yang mengajar, "Bilakah Jesus tahu yang dia seorang Tuhan?" Sudah tentu guru itu tidak dapat menjawab Othman, kerana sememangnya Jesus bukan Tuhan tetapi hanyalah manusia biasa. 

Peringkat kanak-kanak yang begitu mengelirukan dan memeningkan kepalanya akhirnya berlalu dan Othman terus meningkat dewasa bersama-sama soalan-soalan yang semakin bertambah dan adalah penting untuk Othman mencari jawapannya. 

Dia mula membaca pelbagai buku-buku agama yang berbeza tetapi mereka semuanya tidak membawanya kepada kebenaran. Dia menemui beberapa orang yang ada menyebut akan agama Islam, tetapi tidak pula menerangkan apa-apa mengenai ajaran agama itu sendiri. 

Satu hari, dia terbaca di dalam sebuah kitab Bible, "Sekiranya kamu mencari, kamu akan menemuinya". Dari situlah bermula perjalanannya yang panjang dalam mencari kebenaran. 

"Tuhan, saya akan mengembara. Tolonglah temukan saya kepada kebenaran," doanya sebelum dia memulakan kembaranya. 

Othman menjelajahi benua Amerika dengan menumpang-numpang kereta orang, dari satu bandar ke satu bandar dengan fikiran yang penuh kekusutan dan kekeliruan. Namun, dia tidak menemui apa yang diharapkannya. Othman hampir putus asa. “Begini susahkah untuk mencari kebenaran?” bisik hati Othman. 

Namun, dia tetap yakin yang Tuhan tidak akan mensia-siakannya. Dia begitu yakin bahawa Tuhan mengetahui segala isi hatinya dan sangat mengasihi hamba-hambaNya. Kalau seekor ibu kucing pun sayangkan anaknya, tentulah Tuhan yang Maha Sempurna itu lebih sayangkan manusia ciptaan-Nya. “Takkanlah Tuhan menciptakan aku, dan selepas itu Dia membiarkan aku. Tuhan begitu mengambil berat kepadaku selama ini. Tidak pernah satu detik pun aku tidak diberikan udara untuk bernafas. Sudah tentulah pencarianku akan kebenran tidak akan disia-siakan Mungkin, Tuhan mahu menguji kesungguhanku,” fikir Othman. Lantas, Othman pun terus mencari. Dia bertolak pula ke Eropah dan menghabiskan masa sebulan di London. 

Sewaktu dia di London, dia tidak tahu apa yang hendak dilakukannya dan dia pun pergi ke kedai-kedai buku dan restoran. Sepanjang-panjang perjalanannya itu, dia sentiasa berdoa kepada Tuhan agar Tuhan memberinya petunjuk dan panduan. 

"Saya begitu takut kalau-kalau saya tersalah langkah atau bertemu dengan orang yang salah yang mungkin membawa saya kepada kesesatan," terang Othman. 

Pada satu hari, dia pergi ke sebuah kedai buku dan melihat-lihat di dalamnya. Dia ternampak akan sebuah buku yang berjudul Muhammad. Dia pun mengambil buku tersebut untuk mengetahui apakah isi kandungan di dalam buku itu. 

Dua orang lelaki yang berada di dalam kedai itu memerhatikannya. Mereka pun mendekatinya dan bertanya, "Adakah anda berminat dengan Nabi Muhammad (s.a.w.)" Othman tidak tahu apa yang harus dijawabnya kerana dia tidak tahu siapakah Muhammad yang diperkatakan di dalam buku yang telah diambilnya itu. 

Kedua-dua lelaki tersebut, seorang daripadanya ialah lelaki Muslim berbangsa Amerika dan seorang lagi berbangsa Inggeris membawa Othman ke sebuah kedai kopi dan menerangkan tentang Islam kepadanya. 

"Saya dapat merasakan dalam hati saya bahawa saya akhirnya menemui apa yang telah saya cari-cari selama ini. Saya benar-benar yakin dengan penerangan mereka itu," sambungnya lagi. 

Kedua-dua lelaki itu kemudian membawa Othman ke rumah mereka dan mengajak dia tinggal bersama mereka. Cukup sekadar melihat ibadah dan akhlak mereka, Othman mempelajarai banyak tentang Islam. Othman memeluk Islam hanya selepas seminggu dia berada bersama-sama rakan-rakannya yang baru dikenalinya itu. 

Benarlah ayat yang telah dibaca Othman sebelum ini. Allah pasti memberikan kebenaran kepada orang yang mencarinya. Kini, Othman hidup dengan tenang dan menghabiskan usianya untuk berdakwah mengajak orang lain kepada Islam. 

Nota: 
Ateis- orang yang tidak percaya kepada Tuhan dan hidup selepas mati. 
Jesus – Panggilan Nabi Isa oleh orang Kristian. Mereka mempercayai bahawa Jesus ialah anak Tuhan. 
Bible - Kitab Injil (salah satu kitab yang diturunkan Allah SWT) yang sedikit sebanyak sudah diubah isi kandungannya dari yang asal. Hakikatnya isi kandungan Bible sudah tidak asli seperti kitab Injil yang asal diturunkan pada Nabi Isa as. Namun, tidak dinafikan masih ada lagi mengandungi ayat-ayat yang benar.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text