Kewujudan dua kelompok dalam PAS sudah semakin ketara. Kelompok profesional dan ulama kelihatan sudah tidak boleh duduk semeja. Masing-masing punya gagasan sendiri. Apakah yang akan berlaku jika keadaan ini tidak diperbaiki atau diselesaikan?
Pihak profesional melihat keterusan bersama Pakatan Rakyat adalah suatu yang perlu demi memastikan gelombang 'kebangkitan rakyat' sampai ke Putrajaya pada PRU akan datang. Kelompok ulama pula sudah tidak tahan dengan PKR yang dikatakan tidak mengamalkan sikap musyawarah dalam mengendalikan pakatan.
Tahalluf siyasi PAS bersama PR ada syarat rukunnya. Salah satu rukun terpenting ialah PAS mesti terlibat dalam membuat keputusan dalam apa jua langkah PR. Terbukti 'Langkah Kajang" adalah contoh PAS diketepikan secara murahan oleh pihak berkenaan. Ini adalah salah satu hal yang sangat terkesan pada PAS di samping banyak lagi yang lain.
Ianya merupakan ujian kepimpinan kepada Presiden PAS. Semoga Allah selamatkan umat islam dan agamaNya di negara yang tercinta ini. Bacalah paparan berikut:
Dr Mujahid: Pas, Umno Tidak Akan Bercampur
KUALA LUMPUR - Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Mujahid Yusof Rawa (gambar) sekali lagi menegaskan bahawa Pas tidak akan bekerjasama dengan Umno walaupun terdapat desas-desus mengenai perkara tersebut.
Mujahid berkata, pegangan tersebut terus kekal seperti yang diputuskan oleh Pas sebelum ini.
"Pas hendak bercampur dengan Umno, tapi hendak saya beritahu, Pas tidak pernah berhasrat untuk bercampur dengan Umno," katanya pada Forum Pas Campur Umno: Ke Mana Hala Tuju? di Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor di sini hari ini.
Sementara itu, mengulas sama ada Pas akan menerima kerusi Menteri Besar Selangor, Mujahid berkata, Pas tidak akan menerima jawatan tersebut selaras dengan keputusan Pas Pusat sebelum ini.
"Pas tetap dengan keputusan tidak akan menerima kerusi Menteri Besar tersebut," katanya.
Terdahulu isu ini timbul berikutan kenyataan berbeza dua orang pemimpin tertinggi Pas sebelum ini yang memberi kenyataan berbeza dalam satu sidang media baru-baru ini. Timbalan Presiden Pas Mohamad Sabu berkata, Pas akan menolak walaupun istana memilih Adun mereka sebagai MB.
Bagaimanapun, dalam sidang media sama Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, Pas akan bersetuju dengan apa sahaja pilihan istana. Jawapan Mujahid itu tetap menjadi tanda tanya, walau ia sedikit sebanyak menjawab persoalan peserta forum tersebut.
Turut hadir dalam forum tersebut adalah Presiden Pasma, Pahrolrazi Zawawi dan bekas pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Aziz Bari. (SH)
SUMBER; BLOG IBNU HASYIM
0 ulasan:
Catat Ulasan