Social Icons

Ahad, 28 September 2014

Di Kelompok Manakah Kita?

Jika kita teliti, manusia mempunyai perbezaan sikap dan rasa tanggung jawab. Walaupun manusia itu sama dari segi fizikalnya, akal dan hati yang ada menjadikan manusia  terpecah kepada pelbagai kategori. Akal dan hati mengubah, memisah dan menjarakkan manusia antara satu sama lain. Sebagai contoh, lidah yang bentuknya sama, tetapi terdapat ribuan jenis bahasa pertuturan yang diguna pakai oleh berbagai bangsa dan etnik manusia.

Jadi apatah lagi akal dan hati. unsur dalaman manusia ini tidak dapat dilihat dan disentuh. Merasa dan berfikir adalah pekerjaan dalaman diri setiap manusia. Itulah asas terbezanya manusia sesama manusia - walaupun sama dari segi bangsa, agama, bahasa, tempat tinggal dan sebagainya.

Kelompok umat Islam juga tetap berbeza - dari sudut berperanan sebagai hamba dan khalifah Allah. Ada yang baik, ada yang jahat dan sebagainya. 

Muslim yang berjaya ialah jika berjaya mencapai upaya mengawal akal dan hati agar tahu, kenal dan takutkan penciptanya. Hatilah yang sepatutnya menjadi raja mengawal akal dan unsur manusiawinya. Jika hati berperanan sebaiknya, seluruh fungsi manusia akan dapat berjalan sebagaimana yang Allah swt kehendaki. 

Justeru, berdasarkan hal ini, lihatlah pembahagian kelompok umat Islam seperti berikut:


1)   Mereka yang terbaik dan berkualiti kerana mempunyai hubungan hati yang kuat dengan Allah swt. Hati mereka sentiasa rasa takut terhadap kemurkaan Allah swt. Hasilnya memberi kesan pada watak dan peribadi mereka. Kualiti mereka ialah pada ketaatan tulus mereka terhadap apa jua kehendak dan peraturan Allah swt serta sentiasa mengutamakan kasih sayang ketika bermuamalah sesama manusia. 


2)  Golongan yang lebih cenderung kepada kebaikan. Sepanjang masa mereka berusaha mencapai tahap yang ada pada kelompok pertama tetapi mereka ada halangan yang menggagalkan harapan mereka. Jika mereka berjaya melepasinya, mereka juga boleh mempunyai hati yang tenang dan bahagia - yang hanya takut kepada Allah swt.

3)  Golongan yang 'berjaya dan kalah'. Ada ketika mereka berjaya melepasi halangan nafsu dan syaitan yang sentiasa mengajak kepada kejahatan. Ada ketikanya mereka gagal. Nafsu dapat menguasai diri mereka untuk terjebak dengan dosa dan maksiat. Jika mereka insaf dan bertaubat, mereka perlu kembali melalui proses baiki diri dengan membaiki sembahyang, mengaji / belajar agama dan dibimbing untuk bermujahadah melawan nafsu.

4) Golongan yang tahu dan sedar diri tetapi masih tenggelam dengan maksiat dan mungkar. Mereka tidak dapat berperanan memikul amanah Allah ke atas mereka samada untuk diri, keluarga, masyarakat dan tugas mereka. Mereka perlu didekati dan dipimpin oleh orang yang dekat atau oleh mereka yang mudah diterima.

5)   Solongan yang sombong dengan maksiat serta kejahatan yang dilakukan. Mereka merasa mereka tidak perlu ditolong dan ditegur. Mereka mahu terus bergelumang dengan keseronokan dunia dan hanyut dibawa arus noda. Biasanya Allah beri peluang mereka supaya insaf - dengan ditimpakan ujian dan bala bencana. Kalau masih tidak mahu sedar, dibimbangi mati dalam kekufuran atau kefasikan.

Demikianlah kategori manusia muslim yang ada secara ringkas. Bimbangilah diri kita untuk kembali kepada Allah swt dalam keadaan Allah redha dengan kita. Semoga Dia menyelamatkan kita dengan menunjukkan kita jalan yang lurus semasa hidup di dunia ini. 

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text