Pemilihan pekerja berkualiti
Firman ALLAH SWT dalam Surah al-Qasas ayat 26 yang bermaksud: “Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: “Wahai ayah, ambilah dia menjadi orang upahan (menggembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat (al-Qawiy), lagi amanah (al-Amin)”.
Sesungguhnya ayat ini membicarakan tentang dua aspek penting yang telah menjadi dasar sekian lama sejak zaman Nabi Musa AS lagi yang dijadikan sebagai panduan pemilihan terhadap seseorang pekerja cemerlang dan berkualiti.
Malah menurut Prof Hamka dalam ‘Tafsir al-Azhar’ yang telah menghuraikan definisi al-Qawiy dalam ayat berkenaan sebagai seorang individu yang kuat dari aspek mental dan fizikal, manakala al-Amin pula sebagai individu yang beramanah dan bertanggungjawab melaksanakan sebarang tugas yang diberikan.
Kedua-dua sifat penting ini juga telah digabungkan oleh Ir Dr Muhamad Fuad Abdullah dalam artikel beliau ‘Ancaman Kepada Kecemerlangan Prestasi Organisasi’ bagi membentuk satu nilai integriti yang tinggi apabila pekerja melakukan tugas seharian mereka demi mencapai visi dan misi yang digarapkan oleh sesebuah organisasi.
Justeru, kedua-dua elemen atau sifat tersebut menjadi kemestian bagi seseorang pekerja untuk melakukan tugasnya dengan sebaik mungkin. Sekiranya individu itu hanya mempunyai kekuatan dari segi fizikal dan mental sahaja, belum memadai untuk menjadikan mereka pekerja cemerlang.
Betapa banyak kita dengar di dada-dada akhbar tentang penyelewengan kuasa, penipuan, pecah amanah, rasuah, pilih kasih, khianat, mungkiri janji dan sebagainya apabila seseorang pekerja itu tidak menghiasi diri mereka dengan nilai amanah semasa melaksanakan tugas mereka di pejabat.
Fenomena sebegini jika dibiarkan akan memusnahkan segala tamadun bangsa yang telah dibina selama ini. Hal sedemikian disebabkan sifat amanah sangat dititik beratkan dalam ajaran Islam terutamanya dalam al-Quran menerusi firman ALLAH SAW yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) ALLAH dan RasulNya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya)”. (Surah al-Anfal, ayat 27).
Oleh itu, kerana masih dalam suasana menyambut Hari Pekerja yang jatuh pada setiap tahun pada 1 Mei, marilah kita semua kakitangan kerajaan mahupun swasta untuk sama-sama menghayati, mengoreksi diri dan mengingati semula dua prinsip utama tersebut yang telah dinyatakan oleh ALLAH SWT menerusi Sirah Nabi Musa AS agar kita menjadi seorang pekerja yang berkualiti bukan sahaja di dunia malah pada hari akhirat juga.
Janganlah kita hebat dari aspek luaran sahaja, dengan mempunyai pakaian yang berjenama dan mahal, handphone atau tablet yang terkini, kenderaan yang selesa, kediaman yang besar, keluarga yang ramai; namun aspek amanah dan tanggungjawab disia-siakan.
Malah yang lebih menyayat hati apabila kita sebagai pekerja terutamanya Muslim tidak menghiraukan kepada tuntutan Agama Islam itu sendiri dalam kehidupan seharian kita. Sebagai contohnya, gejala tidak menutup aurat dianggap sebagai selamba sahaja dengan memakai seluar pendek sehingga menampakkan aurat di khalayak ramai, tidak menitikberatkan pengurusan masa dalam melaksanakan kerja, sering bertangguh-tangguh, amalan berbicara dengan bahasa kurang sesuai dengan budaya ketimuran dan sebagainya. Hal sebegini akan memusnahkan harapan dan tamadun sebuah negara yang kita telah bina bertahun-tahun lamanya.
Tidak dinafikan sememangnya amat sukar bagi seseorang individu itu untuk beristiqamah (tetap teguh) memiliki akhlak Mahmudah (terpuji) dalam jiwa sanubari masing-masing apatah lagi mehnah dan tribulasi yang besar pada era globalisasi kini.
Oleh itu, ingatilah wahai diri sendiri dan semua warga pekerja, bahawasanya pada hari akhirat kelak segala amalan dan tingkah laku kita di dunia yang sementara ini akan dipersoalkan dan dipertanggungjawabkan satu-persatu di hadapan ALLAH Rabb al-Jalil, Tuhan Semesta Alam.
Akhirnya, sentiasalah lakukan tugasan dan kerja dengan integriti dan beramanah sebagaimana ‘AKU JANJI SEBENAR’ kita pada setiap hari, lima kali sehari semalam iaitu: “Katakanlah: “Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk ALLAH Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Tiada sekutu bagi-Nya, dan dengan yang demikian sahaja aku diperintahkan, dan aku (di antara seluruh umatku) adalah orang Islam yang awal pertama (yang berserah diri kepada ALLAH dan mematuhi perintah-Nya).” (Surah al-An’am, ayat 162-163).
* Penulis ialah pensyarah di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia
KREDIT UNTUK SINAR HARIAN
0 ulasan:
Catat Ulasan