Social Icons

Jumaat, 14 Februari 2014

Alhamdulillah! Selamat Kembali Ke Malaysia - Corat-coret 1

 Di Airport SOLO

Setelah hampir 3 minggu berada di bumi Indonesia, Pak Lang sampai semalam di tanah air. Rindunya masakan kegemaran Pak Lang. Semua yang mengenali Pak Lang, tahu kegemaran Pak Lang ialah sambal belacan dan ulam-ulaman. Kuahnya cukup dengan sayur rebus sahaja. Tanpa ada lauk pun, menu yang sebegitu sudah cukup menyelerakan. 


 Makam Iyang Jamik di Batur

Bukan tidak ada makanan yang sedap di tanah Jawa atau Sumatera. Rendang Minang dan lauk pauk masakan Padang memang sangat 'kelas' tapi menu asas seperti di atas itu perlu ada pada Pak Lang. Walaupun salah seorang isteri Pak Lang orang Jawa, kebiasaan makanan kampung selera utara sukar untuk diubah. 

Apa yang agak sukar pada Pak Lang ialah pada penggunaan lengkuas dalam masakan. Hampir semua masakan di tanah Jawa menggunakan lengkuas. Setahu Pak Lang lengkuas untuk ikan dan makanan laut manakala halia untuk 'makanan darat' seperti daging, ayam dan sebagainya. Sifat makanan laut sejuk sesuai dengan lengkuas manakala sifat daging dan lain-lain pula sesuai dengan halia yang panas. 

Sebab itu Rasulullah SAW tidak menggalakkan minum susu ketika makan ikan. Sifat ikan sejuk sedangkan sifat susu binatang adalah panas. Mengambil kedua-duanya serentak tidak elok untuk tubuh. Sebab itu elakkan minum susu kambing atau susu lembu ketika makan hidangan yang mempunyai ikan atau makanan laut. Eloklah dipilih salah satu. (Tapi teh tarik yang menggunakan susu kelapa sawit tidaklah mengapa). 

Berbalik pada keberadaan Pak Lang di Pulau Jawa, ianya sememangnya sudah disusun Tuhan. Awalnya Pak Lang sudah diberi izin oleh Dato' Ratu untuk ke Australia tetapi kursus pemulihan oleh JAIS pada 17Februari di Shah Alam menyempitkan ruang masa yang ada. Maka sementara menanti tarikh tersebut dapatlah Pak Lang menziarahi keluarga isteri termasuk emak mertua yang sudah 'sakit-sakitan'.

Kebetulan menantu Pak Lang juga orang Bandung. Mereka berada di sana untuk majlis perkahwinan keluarga di sana. Jadi kami bergabung untuk bergerak sama-sama (ekspedisi) dari Bandung ke Garut, Tasik Malaya, Wanosobo, Batur, Gunung Dieng, Temanggung, Semarang, Yogjakarta, Magelan dan Solo. Wah! walaupun meletihkan, pemandangan di sekeliling mampu menghiburkan.

Pak Lang sukakan keadaan muka bumi yang berbukit bukau. Menariknya di Wanosobo. Kedudukannya di tengah-tengah antara dua gunung berapi. Kesan letusan mega gunung berapi ratusan tahun yang lalu menyuburkan tanah di seluruh ruang buminya. Bayangkan luahan dari letusan gunung berapi itu mampu membentuk bukit yang luas tapaknya melebihi 5 buah padang bola!!

Apa yang sangat teruja ialah pada aliran airnya yang datang dari puncak gunung. Maha besar Tuhan kerana mengalirkan air dari atas gunung sebagai puncanya. Dari mana air yang begitu banyak datang hanya Tuhan yang tahu. Ianya cukup untuk mengairi seluruh petak-petak sawah dan tanaman dari lereng bukit paling atas hingga ke bawah. 

Ratusan tahun lalu, gunung berapi Dieng memuntahkan lahar, batu, tanah, pasir halus dan debu. Dahsyatnya letusan tersebut sehingga hari ini, semua muntahan tersebut masih banyak menimbun kehitam-hitaman. Ianya baja asli semula jadi yang sangat menyuburkan semua tanaman. Di sebalik gempa yang membunuh ribuan manusia, ia juga memberikan kehidupan pertanian yang sangat bererti. Justeru Kabupaten Wanosobo dan Temanggung muncul sebagai pusat pengeluaran hasil pertanian yang sangat berkualiti.

Menelusuri jalan-jalan sempit ke Batur di kaki Gunung Dieng menyaksikan suasana pertanian di tanah tinggi yang sangat menakjubkan. Air segar yang mengalir pada segenap ruang tanah tinggi kelihatan begitu membahagiakan. Maha suci Tuhan atas limpahan nikmatNya. Sayur-sayuran dan buah-buahan segar kelihatan di mana-mana.

Tanah Jawa sememangnya istimewa. Kepadatan penduduknya jauh berbeza dari Sumatera. Di Jawa manusia wujud di mana-mana dengan berbagai ragamnya. Perjalanan kami anak beranak bersama keluarga dari Wanosobo serta kawan-kawan sempat menyinggahi tempat-tempat yang dinyatakan di atas. Kami di GISB tidaklah menghadapi kesukaran ketika berpergian di mana sahaja. 

Pada semua tempat yang disebutkan itu, sudah ada teman-teman yang menunggu. Mereka menyiapkan apa yang kami perlukan. Makan minum dan tempat menginap itu sudah pasti. Biasanya kami dihiburkan oleh anak-anak kecil atau remaja dengan persembahan nasyid dan tarian ala-GH yang terbaik. Kelihatannya mereka sudah lama berlatih sehingga cekap dan mantap persembahannya. 

Jadi kedatangan kami sebagai tamu disambut meriah sehingga tidak terasa menyusahkan mereka. Mereka sangat menghargai kunjungan tamu. Di pihak kami wajar membalas budi mereka dengan apa jua sumbangan yang sesuai. Semuanya menambah ikatan kasih sayang dan saling doa mendoakan. Indahnya kehidupan sebegini. 

Sebab itu kita wajar sedemikian terhadap tetamu yang datang ke tempat kita. Biarlah kita bersungguh-sungguh memberi layanan terbaik kepada tamu. Inilah apa yang sangat dijaga oleh Al-Marhum Abuya dan Dato' Ratu Ibu Hatijah ketika menerima tamu berkunjung ke rumah. Sekarang Dato' Ratu meneruskan tradisi yang mulia ini. Setiap kali ada tamu yang datang untuk bertemu Dato' Ratu, pastilah juadah hidangan sangat diberi perhatian. Tetamu sangat terasa mereka dihargai. Inilah sunnah Baginda Nabi SAW.

Pak Lang, isteri dan anak sampai di Malaysia semalam. Malaysia tetaplah menjadi negara istimewa bagi kita semua. Kita bebas dari kawasan lingkaran gempa bumi tetapi bahaya 'gempa' pada budi, akhlak dan tingkah laku masyarakat kita tetap wujud. Ianya malah makin menggerunkan. Sebaik membaca surat khabar di tanah air, cerita dan kisah 'gempa tingkahlaku manusia' berlaku di mana-mana di negara kita. Insiden-insiden yang semakin ganas sudah berani dilakukan terang-terangan!! 

Kami di GISB / YKPPM akan berusaha membantu menyelesaikan masalah masyarakat semampu yang mungkin. Jika ada yang perlu dibela, Insya Allah kami bersedia membela mereka. Kami mahu berperanan di tengah masyarakat dalam erti kata yang lebih bermakna. Justeru, kursus kendalian JAIS pada Isnin nanti sangat signifikan dalam proses pemulihan yang perlu kami tempuh. Dato' Ratu Ibu Hatijah Aam pasti akan hadir. Tentu banyak resolusi terbaik yang akan dapat dicetuskan bagi manfaat agama, bangsa dan negara tercinta.
 Anak-anak di GISB Tasik Malaya sedang membuat persembahan




 Kawasan tanaman hijau yang sangat subur di Wanosobo

 Bersama Bapak Abu Bakar Abdul Syakur - (Sepupu Al-Marhum Abuya) di Batur
 Pohonan bunga yang menyerikan halaman

 Makam Iyang Jamik dan suaminya Mbah Tasliman
 Cuaca tanah tinggi yang berkabus
 Makam Syeikh Muzakkir - seorang waliyullah di Semarang - di kelilingi laut.
Laluan di celah-celah pohon bakau menuju maka Syeikh Muzakkir

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text