Social Icons

Isnin, 24 Februari 2014

Rasulullah SAW Melihat Malaikat Ketika Bersembahyang

Kisah berikut telah disebutkan di dalam hadith sahih yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari daripada Rif'ah bin Rafi' al Zaraqiyyi radiyaLLahu 'anhu, katanya (yang bermaksud):

Daripada Rif'ah bin Rafi' al Zaraqiyyi radiyaLlahu 'anhu, katanya: Suatu hari kami telah solat bersama-sama Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam. Ketika mengangkat kepala dari RUKU', Baginda sallaLlahu 'alaihi wasallam lantas menyebut : سمع الله لمن حمده .. Tiba-tiba seorang lelaki yang berada di belakang Baginda - ketika bangkit daripada ruku' - menyebut:
ربنا ولك الحمد حمدا كثيرا طيبا مبارك فيه
 
Setelah selesai solat, RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam lalu berpaling ke belakang sambil bertanya: "Siapakah di antara kamu yang menyebutkan perkataan tadi ketika solat?" Jawab lelaki tersebut: "Saya"

RasuluLLah sallaLLahu 'alaihi wasallam lantas bersabda: "Aku telah melihat lebih daripada tiga puluh para malaikat berebut-rebut untuk menjadi orang yang paling awal menulis ucapan kamu tadi."

Hadis sahih ini menjelaskan betapa berharganya ucapan yang kita lafazkan di dalam solat asalkan ianya dilakukan dalam keadaan hati kita khusyuk dengan Allah SWT. Dalam hadis ini, jelaslah bahawa Baginda Nabi menyaksikan sendiri tiga puluh Malaikat yang berebut mencatit apa yang dibacakan itu. 
 
Lafaz ربنا ولك الحمد حمدا كثيرا طيبا مبارك فيه adalah kata-kata pujian kepada Allah SWT - mengembalikan seluruh pujian hanya untukNya dengan pujian yang sebanyak-banyaknya, dengan pujian yang sebaik-baiknya serta dengan pujian yang penuh keberkatan padanya.
 
Kefahaman tentang hadis ini sepatutnya mendorong kita menghayati sembahyang dengan penuh rasa hati yang mikraj menuju Allah SWT yang maha melihat, yang maha mengetahui dan yang maha agung. 
 
Kita bukan sekadar merasakan Allah melihat kita bahkan kita juga sedar bersama Allah itu adalah para malaikat, seluruh penghuni langit dan bumi serta ruh-ruh suci sedang memerhatikan pergerakan fizikal dan hati kita yang sedang membesarkan Allah yang maha besar. Jika kita betul-betul mengingati Allah dan menghayatiNya dengan rasa takut Allah dan rindukan Nabi SAW, kita sebenarnya sedang berada dalam seagung-agung majlis.
 
Alangkah indahnya suasana kita sedemikian rupa. Kita sedang mengadap Raja bagi segala raja sedangkan kita hanyalah insan yang hina, kerdil dan lemah. Kita adalah hamba yang datang kepadaNya dalam keadaan dosa yang belum tentu diampunkanNya kita. 
 
Jika kita mengadap Allah dalam keadaan hati sepenuhnya khusyuk, ertinya kita sedang berdiri dalam keadaan diperhati Allah SWT dan semua yang bersamaNya. Berebut-rebut Malaikat menulis apa yang ada di hati kita, apa yang keluar dilafazkan oleh mulut kita. 
 
Tidak tergambar oleh kita betapa hebat dan indahnya majlis yang sedemikian rupa. Kita hanya dapat membayangkannya mengikut ukuran dunia sedangkan yang sebenarnya adalah suatu majlis yang tersangat hebat. Kalaulah dibukakan hijab untuk kita menyaksikannya....... 
 
Itulah kehebatan sembahyang yang Baginda Nabi SAW menerimanya sendiri secara langsung daripada Allah SWT ketika Mikraj. Maka mikraj yang sama yang sepatutnya berlaku pada kita setiap kali kita mengerjakannya dengan sekhusyuk hati... Allah! 
 
Sebenarnya para kekasih Tuhan sudah mengalaminya. Sebab itu mereka asyik-maksyuk dengan sembahyang. Mereka bersembahyang dengan sembahyang yang sebegitu indah lebih dari 300 rakaat sehari semalam. Kabarnya ramai yang mengerjakan sembahyang sejumlah 1,000 rakaat setiap hari. 
 
Tentulah keasyikan dalam sembahyang yang menjadikan mereka bahagia dengan sembahyang. Ibarat bertemu kekasih hati, tentulah mahu berlama-lama dan saling bermesra. Dengan Allah yang maha indah tentulah tersangat luar biasanya kemesraan, kecintaan dan kerinduan. 
 
Kita orang awam ini hanya mampu meniti atas rasa takut.... itupun kalau 'dapat' rasa takut hanya sedikit, hanya sekilas dan selintas atau sekelip mata.. Sebab itulah rasa takut itu hendak di usahakan sekali dengan rasa rindukan Nabi SAW. Semoga Baginda Nabi SAW akan membantu ruh kita celik melihat alam ghaib yang hebat itu. Jika Rasulullah SAW yang membantu kita, mudahlah perjalanan mujahadah melepasi gangguan nafsu, syaitan dan iblis..
 
Apa pun, hakikatnya kita hanya mampu menulis tetapi belum berupaya merasakan hebatnya majlis bersembahyang mengadap Allah Jalla jalaluh!! Mohon ampun Ya Allah!

Semoga kita semua direzekikan sembahyang yang agung ini!!

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text