Social Icons

Rabu, 26 Februari 2014

Wacana Sinar Harian 26: Wakaf Mampu Atasi Monopoli

 
Wacana Sinar siri ke 26 kelmarin berjalan dengan lancar dan mendapat kerjasama baik dari hadirin.

Wacana Sinar Harian siri ke-26 berjudul ‘Bagaimana Ekonomi Islam Mampu Kawal Pasaran’ telah berlangsung di Auditorium Sultan Muhammad V, Kumpulan Media Karangkraf kelmarin.

Wacana tersebut menampilkan barisan panelis yang tidak asing iaitu tokoh korporat negara, Tan Sri Muhammad Ali Hashim, Pensyarah Bahagian Pengajian Islam, Fakulti Sains Kemanusiaan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Ketua Pengarah Institut bagi Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), Wan Saiful Wan Jan. Manakala, Dr Maszlee Malik bertindak sebagai moderator.

Ikuti transkrip penuh wacana ini yang disediakan wartawan Sinar Harian.

Moderator: Pada permulaan sesi, seperti biasa kita akan memberi peluang kepada ahli panel untuk berkongsi pandangan mengenai tajuk ini.

Wan Saiful: Sebagai pembukaan, kita perlu tahu dan faham maksud sistem pasaran bebas. Prinsip pertama yang penting ialah pertukaran secara sukarela antara dua pihak tanpa paksaan daripada mana-mana pihak luar.

Misalnya jika si A mahu menjual secara sukarela dan si B mahu membeli secara sukarela, harga yang ditentukan ialah harga yang dibincangkan antara kedua-duanya berdasarkan prinsip tawaran dan permintaan.

Namun, pasaran akan menjadi tidak bebas apabila ada pihak ketiga masuk campur dalam urusan jual beli tersebut. Kemasukan pihak ketiga tanpa tuntutan pembeli dan penjual menyebabkan pasaran menjadi tidak bebas.

Apabila bercakap dalam 'public policy', perkara ini perlu di aplikasi dalam peranan kerajaan. Contoh paling senang, kerajaan tidak boleh masuk campur dalam urusan jual beli yang telah dipersetujui si A dan si B tadi.

Kedua, sistem pasaran bebas merupakan sistem yang amat mementingkan kebolehpercayaan dua belah pihak. Ia bermula dengan konsep moraliti, akhlak dan juga adab ketika berurusan. Apabila hendak berurusan antara dua orang, maka saya perlu memulakan dengan sikap bersangka baik dengan orang yang nak beli dan jual.

Ketiga, untuk membolehkan manusia bersangka baik antara satu sama lain, perlu ada sistem peraturan yang jelas. Ini penting supaya dapat menghapuskan konsep yang syubhah.

Keempat, perlu menghormati kebebasan individu untuk menandatangani perjanjian. Ini amat penting sebab dalam sistem pasaran bebas, harga ditentukan oleh sistem pasaran, perjanjian antara dua orang.

Pasaran bebas merupakan satu-satunya sistem yang memaksa penjual untuk bersaing dengan penjual lain untuk memastikan pembeli dapat harga terbaik.

Konsep persaingan ini amat penting kerana tanpanya, hak pembeli tidak dapat dijaga dengan baik. Jadi kita kena ingat konsep ini pro-pasaran bukan pro-bisnes. Konsep pro-bisnes atau melindungi perniagaan adalah konsep yang tidak bebas.

Misalnya kerajaan ada syarikat yang dijaga dan diberi kelebihan dan akhirnya tiada jaminan kebajikan awam dipelihara. Sebaliknya, pro-pasaran dapat menghalang monopoli dan kawalan harga yang boleh menyebabkan pembeli dizalimi.

Dr Asri: Saya akan fokus kepada perkataan ekonomi Islam kerana ramai yang masih keliru. Apabila hendak pergi ceramah, orang cari jenama-jenama Islam.

Sebahagian orang ingat perniagaan Islam itu kalau ada gambar masjid, tulisan Arab, atau ditambah perkataan ‘al’. Sebahagiannya pula merasakan ekonomi Islam apabila ada ustaz duduk dalam panel itu. Apabila ustaz kata halal, maka ia halal.

Tapi apa sebenarnya ekonomi Islam yang ALLAH SWT hantar syariat itu? Kita lihat banyak jenama di'arab'kan, misalnya perbankan, walaupun dari segi kandungannya tidak mencapai undang-undang Islam. Ada wujud unsur penindasan dan tidak adil. Kita masih tidak dapat mengeluarkan orang Islam daripada kemiskinan. Yang penting dalam ekonomi Islam ialah etika. ALLAH menyuruh adil dan ehsan.

Ehsan adalah makam yang lebih tinggi daripada adil. ALLAH tulis ehsan dalam setiap perkara. Di dalam pengurusan urus tadbir ekonomi, politik, rumah tangga dan seumpamanya. Tujuan syariah, apa yang sebenarnya Islam mahu? Dalam semua akad ini, dibuat supaya tiada unsur penindasan dan kezaliman.

Hari ini ramai yang mahu menggunakan ekonomi Islam dan jenama Islam. Adakah ekonomi Islam ini untuk menjadi sistem alternatif atau kerana memenuhi pasaran? Apakah bezanya? Kesannya sama, maka di situ jelas, akhlak dan nilai yang mesti kita lihat kembali.

Muhammad Ali: Persoalan yang lebih penting lebih relevan ialah bagaimana tentukan agihan harta sumber rezeki orang Melayu dan menjamin pendapatan lebih tinggi.

Ini penting supaya majoriti tidak hanya dipegang orang lain, tetapi tiba masanya majoriti orang Islam bangkit dan maju melalui ekonomi. Jadi kita perlu ada reformasi agihan harta supaya lebih adil dan penting laksana strategi jangka panjang serta merta.

Kerajaan menyediakan banyak dasar untuk menyelesaikan kos sara hidup seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), subsidi dan sebagainya.

Tetapi tidak dapat menyelesaikan cabaran yang kita hadapi. Habis subsidi, kita masih di takuk lama. Apa yang lebih penting ialah bagaimana untuk tingkatkan pendapatan.

Islam telah menjelaskan iaitu 9/10 sumber rezeki ialah melalui perniagaan. Kos sara hidup bukan fenomena inflasi sementara. Kelas menengah terjejas dan banyak revolusi bermula apabila golongan ini memberontak.

Kita perlu laksanakan segera strategi tingkatkan pendapatan rakyat. Kos sara hidup bukan masalah kalau pendapatan tinggi. Bina institusi yang berupaya secara berterusan jana pendapatan tinggi.

Sekarang ini kita harapkan swasta saja, itu penting tetapi Islam bukan anti pasaran. Tapi pasaran bebas pun ada bahayanya, yang kaya bertambah kaya. Jadi perlu ada strategi yang berdasarkan bisnes dan korporat.

Bisnes dipacu oleh bisnes sendiri bukannya bisnes dipacu oleh kerajaan, tapi jangan lupa peranan kerajaan untuk seimbangkan ekonomi. Gaji pekerja swasta dari 2007 hingga 2010 hanya meningkat 2.4 peratus setahun.

Ini tidak mencapai sasaran kita menjelang negara maju pada 2020. Sebaliknya, purata margin korporat swasta melambung. Harta kekayaan dikumpul sebahagian besar korporat, swasta yang bukan milik orang Islam.

Kita kena basmi monopoli. Jika pangkal ini kita tidak selesaikan, sampai bila pun subsidi tak akan cukup.

Kuasa monopoli meminggirkan semua dan ini berlaku di seluruh dunia kerana sistem kapitalis asasnya zalim. Kita perlu cari alternatif dan Islam telah menjelaskan jangan biarkan kekayaan berputar dalam kalangan orang kaya saja.

Itu sebab saya bimbang kalau pasaran terlalu bebas dan terlalu liberal. Apa kesannya kalau terlalu liberalisasi? Antara punca utama peminggiran ekonomi majoriti Melayu?

Kebocoran dan ketirisan hak milik orang Melayu. Puncanya ialah dasar penswastaan, liberalisasi ekonomi, dan korupsi. Di Mesir, berlaku revolusi kerana orang marahkan Mubarak. Di Malaysia pun ada Mubarak iaitu ‘Melayu Buruk dan Rakus’. Mereka lupa pegangan agama, lupa bahawa harta itu amanah, golongan ini yang merosakkan.

Jadi reformasi dalam ekonomi itu penting, bukannya lancar jihad perangi orang tengah. Yang lebih penting ialah jihad perangi kerakusan dan korupsi.

Galak dan permudahkan perusahaan kecil dan sederhana untuk berkembang. Serahkan amanah dan kekayaan kepada usahawan yang ahli.

Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) jangan diswastakan dan saya yakin kita boleh bina kepentingan GLC di landasan yang betul. Jangan dibiarkan GLC makan orang lain.

Jadikan GLC sebagai institusi amanah, galakkan pembangunan usahawan dan naikkan gaji pekerja swasta melalui GLC. Jihad perangi monopoli seperti dikatakan tadi.

Berikan mereka kebebasan dalam berniaga. Fokus kepada memperkasakan umat. Guna strategi bisnes dan elak kaedah tamak dan rakus. Bangunkan korporat adil dan institusikan amanah.

Amanah inilah yang membezakan sistem Islam dengan bukan Islam. Hak kekayaan milik ALLAH kita wakafkan. Bina wakaf korporat.

Hari ini wakaf terkenal dengan tanah kubur, masjid. Ini tidak salah tetapi aplikasikan dalam sektor bisnes. Bayangkan kalau syarikat-syarikat besar ini pemilik wakaf. Ada bahagian kita masing-masing, ada hak orang miskin ke atasnya, ada juga bahagian untuk kebajikan dan sebagainya.

Korporat hartanah membuatkan orang yang kaya bertambah kaya. Ada yang beli tanah harga murah kini bertambah mahal dan itu menjadikan mereka kaya, bukan kerana kehandalan dalam perniagaan.

Saham GLC biarkan dipegang oleh wakaf, jangan dibiarkan. Rapatkan jurang harta. Ubah sistem supaya dapat jadikan ia sebagai pembangunan komuniti. Islam menggalakkan institusi, secara berjemaah ini diutamakan bukan kepentingan individu. Dahulukan rakyat, bukan swasta korporat.

Kesimpulannya, berhentikan kebocoran hak milik dan tolak penswastaan. Kita mahu 20, 30, 100 tahun lagi pun tidak apa, 70 peratus ekonomi negara diterajui majoriti iaitu warganegara miskin. Bayangkan jika GLC diwakafkan, insyaALLAH mereka dapat pelihara kepentingan generasi akan datang. Sudah tiba masanya sistem ekonomi negara diterajui wakaf korporat bukan tamak dan rakus.

Moderator: Daripada gambaran yang diberikan, seolah-olah kapitalis itu jahat. Apa pula pandangan Wan Saiful mengenai sistem pasaran bebas yang dikatakan kapitalis?

Wan Saiful: Saya rasa tidak ada hujah mengatakan dasar pasaran bebas ini adalah dasar yang salah. Apa yang disebut monopoli bukan dasar pasaran bebas. Monopoli adalah satu amalan yang berlaku bila ada campur tangan dalam sistem pasaran apabila wujud seseorang mengawal keuntungan produk yang dikeluarkan.

Contohnya, kalau kita tengok pada syarikat Telco. Lihat pada bebannya. Berlakunya monopoli apabila lesen untuk Telco jalankan perkhidmatan dan sebagainya dikawal oleh kerajaan seterusnya diberi kepada golongan tertentu atau syarikat tertentu sahaja. Itu yang telah dipersetujui dalam perjanjian. Oleh sebab itu, memang ada keperluan untuk ada kepakaran dan sebagainya.

Tetapi yang menyebabkan berlakunya monopoli ialah apabila kerajaan yang memegang kuasa memberikan kebenaran untuk jalankan perniagaan kepada individu tertentu.

Misalnya jika di telco kita lihat kemudahan elektrik, servis internet di rumah kita, kenapa ada satu pembekal sahaja di setiap negeri? Sedangkan jika kita pergi ke negara lebih maju, kita boleh tukar sistem pembekal berdasarkan perkhidmatan yang disediakan. Jika syarikat itu lebih mahal boleh bertukar kepada syarikat lain. Jadi itu menggalakkan persaingan.

Akhirnya fokus adalah untuk membantu meningkatkan ekonomi mana-mana golongan masyarakat. Apa yang kita perlu buat kita tekankan keusahawanan. Keusahawanan salah satu daripada sistem dan yang lagi satu sistem bagi golongan kerajaan yang makan gaji. Jadi matlamatnya sama, tetapi ada perbezaan dari segi istilah di sini.

Contohnya bila disebut monopoli dan sebagainya, seolah-olah semua ini dilihat menjurus ke arah korupsi, tetapi bagi saya ia tidak. Sepatutnya sistem pasaran dapat mengurangkan rasuah.

Sebab itu kami di IDEAS, telah menerbitkan buku ‘Memerangi Rasuah’. Sebab rasuah musuh dalam sistem pasaran. Cuma apa yang perlu dilakukan bagaimana nak bantu golongan miskin. Ini yang jadi masalah.

Tidak semua orang boleh jadi berjaya, usaha bagaimanapun bukan mudah untuk hidup senang. Jadi bila tidak boleh berjaya, mereka memerlukan bantuan.

Bagaimana nak bantu, sekali lagi kita berbalik apa yang kita sebut iaitu bukan subsidi jawapannya. Subsidi bukan satu daripada sistem pasaran. Yang sepatutnya dibuat ialah sistem wakaf, sistem zakat yang ada dalam budaya kita.

Dan saya seronok sekiranya GLC dikembalikan kepada rakyat. Sekiranya GLC pemilikan tidak lagi milik kerajaan, automatik akan jadi swasta, kita menswastakan apa dimiliki oleh kerajaan, memang terminologi dari segi aplikasi tidak penting, tetapi perbincangan perlu betulkan dahulu. Justeru definisi pada istilah penting.

Moderator: Isunya yang Tan Sri cuba bawa tadi realiti berlaku di Malaysia, jika swasta tidak dimiliki rakyat tetapi dibolot oleh pihak tertentu dalam pekerjaan.

Wan Saiful: Berbalik pada proses penswastaan, ada banyak kekalutan, jangan disebabkan ada orang Islam mencuri, jadi Islam galakkan pencurian.

Begitu juga apabila ada pihak menyalah gunakan kuasa dalam sistem pasaran, tidak boleh salahkan pasaran. Pengaruh kerajaan terlalu banyak. Sehingga boleh salah gunakan kuasa.

Muhammad Ali: Memang saya sendiri bimbang, bukan kerajaan perlu lakukan segala-galanya, tetapi pasaran.

Hebatnya Islam sokong sistem pasaran bebas, tetapi ada perbezaan berlaku dalam konteks liberalisasi ekonomi, bebas segala-galanya sehingga orang yang kaya boleh bolot segalanya sehingga mengetepikan hak orang lain. Jadi tiba masanya umat Islam mendepankan idea-idea mereka, institusi seperti wakaf, zakat dan sedekah mainkan peranan.

Maknanya saya bimbang jika biar swastakan semuanya boleh ketepikan kepentingan orang lain. Kuasa swasta dipegang segelintir syarikat korporat yang besar, akan bolot dari generasi ke generasi. Bila tiba masa membesar perlu jaga kepentingan orang ramai.

Moderator: Banyak institusi, zakat, Baitulmal, saya dengar sasaran zakat Selangor RM300 juta, tetapi RM451 juta telah dicapai. Logiknya keuntungan banyak ini tidak timbul bawah 40 peratus orang Islam masih miskin. Apa masalahnya Dr Asri yang pernah jadi Mufti dahulu.

Dr Asri: Peningkatan zakat lebih tinggi berbanding tahun 2001 hingga 2010, Selangor contohnya berjaya kutip RM1.6 bilion, tetapi tahun ini berjaya kutip setengah bilion. Kita ada wang yang banyak, ada zakat dan berbagai-bagai badan Islam.

Kempen pelbagai juga telah dilakukan untuk membayar zakat. Tetapi masalah berlaku apabila diberi kepada pusat zakat, bagaimana ia diuruskan. Ini yang kita sebut adakah jenama Islam yang kita pentingkan termasuk bangunannya, tulisan khat di belakang kaunter tetapi sebenarnya bagaimana urus tadbir diuruskan.

Aset orang Islam dalam bidang kuasa pasaran sangat tinggi, zakat diuruskan betul boleh ubah segalanya. Misalnya di Kelantan, banyak pembayar melunaskan zakat di negeri tersebut, tetapi masih tersenarai negeri kedua paling ramai menerima bantuan kebajikan masyarakat. Ke mana pergi zakatnya, bagaimana diuruskan.

Selain itu, hanya di Malaysia ada ada 14 mufti. Juga mempunyai 14 pusat kutipan zakat dan 14 Majlis Fatwa negeri, projek Islam. termasuk semua benda nak jual, air mineral yang sememangnya halal letak cop halal lagi, semuanya kerana duit, tetapi ke mana wang ini pergi. Akhirnya balik kepada kita. Soal urus tadbir harta iaitu ketulusan dan amanah.

Moderator: Agama lain di negara luar, berusaha bangunkan ekonomi menjadi cemerlang. Misalnya Gereja Katolik berjaya hapuskan kemiskinan.

Sri Lanka juga guna konsep wakaf mereka sendiri dapat bangunkan rakyat. Adakah kita perlu membangun tanpa bantuan kerajaan, sebab itu boleh ke hadapan. Adakah masalah kita Baitulmal, wakaf letak bawah kerajaan, jadi tidak berkembang?

Dr Asri: Fakta harus terima realiti di negara ini sebab ada kebaikannya, tetapi bila agama kita berada di bawah kuasa negeri kita tidak bebas, jadi semua orang terpaksa buat dengan ambil keizinan.

Walaupun ada cukup mekanisme tetapi tidak boleh dilakukan. Begitu juga dengan wakaf, segalanya memerlukan kelulusan negeri. Saya kadang-kadang sokong cara Indonesia pihak agamanya ada benda perlu berani untuk berpendirian walaupun kerajaan tentang.

Pada suasana kita, ada positif tapi terlalu terikat hingga Islam hilang inovasi sehingga susah nak lakukan sesuatu. Ini membantutkan idea bagus untuk melakukan sesuatu yang baik.

Muhammad Ali: Kelebihan wakaf, hari ini ramai nak niaga, dah ada modal tetapi susah nak dapat tapak. Memang sebagai ahli perniagaan banyak terima aduan masalah kurang tapak dan harga kadar sewa yang tinggi. Justeru penting ekonomi Islam untuk beli tanah.

Tidak sampai 10 peratus tanah milik orang Islam. Jika lama-lama kita akan tertindas. Nak masuk niaga pun satu perkara mustahil. Jika mengikut sejarah banyak harta milik orang Islam, tetapi disebabkan kekangan banyak terlepas. Jika ada wakaf harta itu akan kekal.

Ada badan wakaf dan liberal untuk dapatkan lesen wakaf. Di Turki banyak universiti wakaf ditubuhkan sebab lebih liberal. Itu maksud saya dalam hal ehwal keputusan agama, hasil yang berkaitan dengan perniagaan dan ekonomi Islam tidak perlu dikawal.

Wan Saiful: Birokrasi dari segi wakaf memang tidak dinafikan dan ia wujud disebabkan pentadbiran agama telah dirampas ahli politik dan berkuasa , sebab itu bagi saya ia rasa satu kekangan yang perlu dibuat yayasan adalah konsep yang sama seperti wakaf untuk membantu orang kalau di Malaysia kalau sekiranya nak tubuhkan yayasan.

Kalau di UK kalau di US 3 bulan selesai pendaftaran kerana proses di sana lebih senang. Jadi yang perlu dibuat saya rasa wakaf dan yayasan perlu disatukan kita bercakap adalah dasar kerajaan, dia perlu diambil pentadbiran, tetapi dalam polisi kita sekarang kami cuba untuk menjaga kanak-kanak daripada keluarga yang miskin bagi memastikan penjagaan yang baik, ini menyebabkan dasar yang ada kepentingan untuk membantu yang memerlukan.

Muhammad Ali: Saya melihat yayasan wakaf korporat satu perbezaan ini merupakan satu badan korporat bukan untuk kebajikan tapi untuk mengatasi monopoli nilai-nilai yang tamak,.

Yayasan tidak akan menyelesaikan masalah kerana bila syarikat korporat berkuasa dia boleh membeli semua, macam mana cara untuk mengatasi, yayasan untuk kebajikan sahaja.

Wan Saiful: Kita kena melihat kepada prinsip, bagaimana nak bantu sekali lagi dalam Islam kena melihat kepada tanggungjawab, kita untuk bantu duit zakat kita bagi saudara mara dahulu sedangkan ia adalah tanggungjawab yang memerlukan.

Dr Asri: Bagaimana membantu ekonomi orang Islam dalam menangani kemelut ekonomi perlu ada perbincangan. Bagaimana membelaskan kekuatan yang sediakan perbincangan zakat lebih meluas kita ada lebih 1 bilion setiap tahun di seluruh negara, kalau dikumpulkan semua peruntukan 2 bilion khususnya untuk membantu orang Islam, bagi membantu kesusahan yang dihadapi. 
http://www.sinarharian.com.my/nasional/wacana-26-wakaf-mampu-atasi-monopoli-1.254701

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text