Social Icons

Sabtu, 22 Februari 2014

Merealisasikan Falsafah Pendidikan Negara

http://moeflich.files.wordpress.com/2014/01/eid01d.jpg
Tulisan ini ditujukan kepada teman-teman dan rakan-rakan yang bertanyakan Pak Lang tentang pendidikan GISB / YKPPM sekarang. Apakah berbeza atau sebaliknya. Sepertimana termaklum, kita sedang berada di dalam arus perdana – menerima keputusan Fatwa terhadap kesilapan kita dimasa lalu. Lalu  mungkin ada di kalangan kita yang belum memahami konsep pendidikan yang GISB laksanakan sekarang.

GISB / YKPPM yang diterajui Dato Ratu Ibu Hatijah Aam telah mengambil sikap mematuhi fatwa. Semua yang berkaitan dengan apa yang diharamkan sebelum ini, kita akur dengan sepenuh hati. Sekarang adalah waktunya kita menerima program yang dianjurkan JAKIM dan Jabatan Agama di semua negeri. Tidak ada dolak dalihnya.

Dalam bidang pendidikan, semua sekolah di bawah GISB / YKPPM akan mengikut Kurikulum JAIS (dan jabatan agama negeri-negeri) dan Kurikulum Kementerian Pendidikan. Apa yang penting ialah pembentukan sahsiah pelajar. Maknanya, walaupun kurikulum tersebut mempunyai kerangka konsep dan perlaksanaan aktiviti pengajaran dan pembelajaran, ianya tetap boleh menerima penambah-baikan dari segi pembinaan sahsiah pelajar.

Ianya suatu yang fleksibel dan telah lama direalisasikan di kebanyakan sekolah. Setiap pengetua bertanggung jawab mengubah-suai kerangka kurikulum yang ada bagi memastikan hasrat yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Negara dapat dicapai. Tujuan pendidikan ialah memastikan pelajar mendapat peluang menguasai ilmu dan kemahiran seiring dengan proses membina akal, jiwa dan mental ke arah menjadi individu berkualiti. Dari sudut agama, pembelajaran sebenarnya mencakup ruang lingkup yang lebih luas dan memberi fokus yang lebih jauh ke hadapan iaitu ke akhirat!!

(Sila rujuk Falsafah Pendidikan Negara seperti berikut:
Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara).


Jelaslah Falsafah Pendidikan Negara mempunyai konsep yang menyeluruh. Ianya bergantung sejauh mana para pelaksana menggunakan kreativiti yang ada bagi merealisasikan konsep yang unggul itu. Justeru kami di GISB dan YKPPM menekankan natijah dari perlaksanaan falsafah ini bagi melahirkan pelajar yang benar-benar berkualiti.

Pendekatan kami ialah pembinaan ruh atau jiwa semua warga yang terlibat dalam pendidikan. Kurikulum yang ada hanya sebagai landasan asas. Perjalanan dan perlaksanaan boleh menggunakan pelbagai teknik dan pendekatan. Mungkin ianya agak berbeza tetapi tujuannya tetaplah untuk memastikan hasil pendidikan yang terbaik.

Hari ini ramai yang berusaha merealisasikan hasrat terkandung dalam falsafah tersebut tetapi menempah hasil yang mendukacitakan. Semuanya sudah kita maklumi tanpa perlu dinyatakan fakta dan contoh. Dari sudut ini, semua mengakui masih banyak perkara yang perlu diberi perhatian dalam sistem pendidikan di negara kita. Mungkin bentuk perlaksanaannya yang perlu dilakukan secara serius dan menepati sasaran.

Sebagai contoh, pada kami GISB / YKPPM, semua warga dalam pendidikan adalah subjek sasaran dalam program pendidikan yang dijalankan. Semua individu bermula pemimpin, gurubesar, warga persekitaran, ibubapa, guru-guru dan pelajar tertakluk dalam sistem ini. Tidak ada yang terkecuali. Hakikatnya inilah pendekatan yang dilakukan Rasulullah SAW. Setiap anggota masyarakat mesti melalui proses pendidikan sepanjang hayat. Bukankah pendidikan itu dari buaian hingga ke liang lahad. 


Jadi kami mengambil Falsafah Pendidikan Negara itu secara bersepadu dan menyeluruh. Pendidikan itu adalah tarbiyah ruhaniah. Pembelajaran pula hanya bersifat mental atau 'aqliah. Tujuan dinamakan 'Kementerian Pendidikan' kerana ianya memberi penekanan terhadap proses belajar dan didik. Belajar semata-mata tidak ada maknanya jika tidak dididik. Inilah maksudnya pendidikan. Jadi mendidik inilah intisari proses yang utama. 

Dalam mendidik, sepatutnya kita tidak semata-mata memberi perhatian kepada pelajar kerana "Kalau guru kencing berdiri, anak murid akan kencing berlari." Sebab itu sahsiah guru juga kena diberi perhatian. Mereka menjadi contoh ikutan dan teladan kepada para pelajar. 

Rasanya semua kita mengakui kepentingan guru sebagai contoh suri teladan tetapi tidak mungkin dalam sistem yang ada, pendidikan kepada para guru ini dapat dibuat secara komprehensif. Kalau pun yang mampu dibuat hanyalah memberikan kursus-kursus tertentu ke arah meningkatkan profesionalisma mereka sebagai pendidik. 

Inilah antara faktor tumbuhnya banyak sekolah tahfiz, sekolah agama dan sekolah swasta yang memungkinkan mereka memilih sendiri guru yang akan mengajar di sekolah mereka. Sekurang-kurang ereka dapat memilih sendiri guru yang mereka perlukan dan inginkan. Natijahnya tentulah untuk memberi kesan pembelajaran dan pendidikan kepada para pelajar.

Secara umum, guru yang berkualiti itu - di sudut agamanya ialah dilihat pada solatnya. Jika guru tersebut mengutamakan solat di awal waktu, sekurang-kurangnya guru tersebut sudah berada di landasan seorang pendidik yang dicari-cari. Tetapi dalam sistem yang ada tidak ada garis panduan sebegini rupa dalam menilai sahsiah guru. Itu belum lagi dilihat dari sudut yang lain. Adakah guru tersebut ahli maksiat, meninggalkan sembahyang lima waktu, melakukan dosa besar, sombong, penipu, suka mengumpat, mengadu domba dan sebagainya? Guru yang baik akan melahirkan pelajar yang baik. Itulah sifirnya. Bayangkan jika lebih ramai guru yang tidak baik!

Begitu juga proses mendidik pelajar, memerlukan wujudnya persekitaran yang baik. Semua insan yang berada di dalam aktiviti pendidikan mesti dalam kategori layak menjadi contoh peribadi yang baik. Ianya bukanlah guru semata-mata. Jadi, siapa sahaja yang terlibat dalam pendidikan mesti dibantu membina sahsiah yang terbaik. Ianya akan saling melengkapkan jika semua individu berusaha ke arah membina persekitaran pendidikan yang kondusif dan berkesan. 


Setiap insan terutama yang mukallaf tergantung kepada program membina jaringan keselamatan dunia akhirat. Setiap orang mesti disiapkan untuk dihantar menuju akhirat dalam keadaan dia sudah siap dianugerahkan kematian husnul khatimah. Inilah tugas pemimpin di mana-mana jua mereka berada. Untuk dewasa, pendidikan tetap diperlukan apatah lagi untuk anak-anak. Jika anak-anak yang dididik ini mati pada usia remaja pun, dia diharapkan menjadi penghuni syurga di akhirat. Inilah matlamat pendidikan.


Jadi, walaupun kita sudah ada Falsafah Pendidikan Negara, proses membina sahsiah pelajar bergantung pada para pelaksana. Seperti mana dinyatakan di atas, bagi mendapatkan hasil pendidikan yang maksima kepada pelajar, maka semua lapisan masyarakat mesti terlibat. Diri mereka sendiri mesti diproses menjadi hamba Allah yang bersiap menuju kematian. Bukankah mati itu pendidik terbaik untuk mengubah insan?

Di samping ianya tugas pemimpin, individu terbabit tentulah lebih utama dalam membaiki dan meningkatkan diri. Hal ini pun sememangnya menjadi tugas setiap insan. Bukankah setiap mukallaf mesti menyiapkan dirinya untuk bertemu Tuhan. Ianya satu hal yang pasti iaitu mati. Malanglah kalau kita lalai dari mengingatinya. Mendidik manusia mengingati kematian adalah intisari pendidikan.

Inilah hasrat kami di dalam GISB / YKPPM di dalam merealisasikan pendidikan untuk anak-anak kami. Kami mendaftar semua sekolah kami di bawah jabatan agama negeri-negeri agar anak-anak kami dapat mengikuti pembelajaran agama, tahfiz dan akdemik yang bersepadu. 

Untuk tarbiah dan pembinaan sahsiah mereka, kami asramakan mereka. Mereka bersekolah dan tinggal di asrama di tempat yang sama atau berhampiran. Jadi tidak timbul mereka terdedah bergaul dengan kawan-rakan yang merosakkan. Mereka bahkan terkawal dan terdedah dengan pelbagai aktiviti kemahiran hidup yang sengaja diwujudkan di persekitaran asrama dan sekolah mereka. 

Mereka boleh berternak, berkebun dan bertukang. Mereka juga belajar kemahiran elektrik, membaiki peralatan elektronik, membaiki telipon bimbit, komputer dan sebagainya. Bagi yang lasak, mereka boleh belajar kerja-kerja simen dan pembinaan, ubah-suai bangunan, membaiki kereta motor dan bahkan membuat bangunan! 

Melatih pelajar dengan pelbagai kemahiran kehidupan sebegini akan menjadikan pelajar tersebut seorang yang praktikal dan aktif. Mereka boleh memilih apa jua bidang yang diminati dan disukainya. Mereka tidak mahu menjadi anak-anak 'ayam daging' yang aktiviti seharian hanya bermain permainan komputer!!

Pembelajaran di dalam kelas mengikut kurikulum apa sekalipun tetaplah memerlukan pendedahan dan latihan praktikal. Inilah faktor seseorang pelajar itu tidak jumud dan kaku. Mereka terlatih dengan pelbagai elemen positif dalam proses pembinaan sahsiah. Mereka mampu berfikir secara positif disamping kreatif dalam berhadapan dengan apa jua masalah atau persoalan. Jiwa mereka terlatih lasak dan kuat. Hebatlah sahsiah pelajar sebegini.

Inilah uniknya sistem asrama sebegini. Ianya sangat diperlukan tetapi tidak semua mampu melakukannya. Sistem ini membolehkan para pelajar diproses ruh dan jiwanya pada sembahyang berjemaah lima waktu sehari semalam. Para guru akan bersama pelajar menghayati sembahyang. Mereka akan berada di saf sembahyang sejam sebelum masuk waktu!! Kelihatan ekstrem tetapi inilah proses yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat. Inilah punca utama kejayaan umat Islam di mana jua mereka berada.

Menghayati sembahyang adalah budaya kehidupan Baginda Nabi SAW, para sahabat dan salafussoleh. Sembahyang mereka, sembahyang yang khusyuk yang benar-benar menghayati kebesaran dan keagungan Tuhan. ketakutan mereka kepada Tuhan membekas kuat membentuk peribadi yang luar biasa. Mereka berakhlak mulia, berjiwa lasak, berhati waja. MMereka menjadi abid di malam hari dan singa di siangnya!

Inilah program pendidikan yang utama. Jika ini berjaya diterapkan sehingga dihayati oleh pelajar, itulah pertanda kejayaan sesebuah sekolah!

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text