Tulisan Tuan Harun Taat dalam Blog Anjangmuor sangat bermakna untuk kita semua. Pesanan Rasulullah saw kepada Saiyidina Muaz Bin Jabal sangat signifikan dengan situasi umat Islam di mana saja mereka berada dan pada bila-bila masa sekalipun. Ianya tetap relevan. Pak Lang perturunkan paparannya di bawah....
Di Mana Saiyidina Muaz Akhir Zaman?
Salam ceria.
Belajar dengan Abuya yang sentiasa memuliakan orang-orang roh, anjang cuba memulakan langkah di Jordan kali ini dengan menziarahi maqam Saiyidina Muaz bin Jabal. Kawan-kawan di Palembang menceritakan dahulu Allahyarham Abuya, setiap kali sampai ke Palembang akan menghadiahkan bacaan surah Al Fatihah sebanyak 11 kali.
Belajar dengan Abuya yang sentiasa memuliakan orang-orang roh, anjang cuba memulakan langkah di Jordan kali ini dengan menziarahi maqam Saiyidina Muaz bin Jabal. Kawan-kawan di Palembang menceritakan dahulu Allahyarham Abuya, setiap kali sampai ke Palembang akan menghadiahkan bacaan surah Al Fatihah sebanyak 11 kali.
Kalau di Jawa terkenal dengan
Wali Songo, mungkin di Palembang walinya lebih dari 9 orang. Di Jordan
ini tentulah, lebih ramai lagi wali-wali Allah kerana bukan sahaja
maqam-maqam wali Allah, malah maqam para Sahabat, Nabi dan Rasul ada di
sini.
Menziarahi maqam Saiyidina Muaz kali ini membuatkan anjang terfikir
betapa jauhnya sikap dan peribadi kita umat Islam di akhir zaman dengan
sakhsiah sahabat Nabi Muhammad SAW yang sangat mulia. Seluruh kehidupan
mereka sebenarnya adalah contoh terbaik buat kita. Boleh dijadikan
panduan dan menambah kekuatan jiwa dalam menempuh ujian perjuangan.
Malah kalau kita mampu mengambil sebahagian sahaja dari sikap dan
peribadi mereka pun boleh membuatkan roh kita melonjak laju.
Contohnya Saiyidina Muaz, ketika mendapat arahan baginda Rasulullah
SAW yang telah menjadi kekasih hatinya, untuk berkhidmat di Yaman yang
jauhnya beribu kilometer dari Madinah, menerimanya dengan penuh tanggung
jawab. Tiada kereta, keretapi apatah lagi kapal terbang dari Madinah Al
Munawwarah ke sana ketika itu.
Tidak menjadi persoalan perkara tersebut
baik dari sisi baginda, mahupun dari Saiyidina Muaz sendiri. Yang kita
ketahui, baginda bertanya kepadanya, “Wahai Muaz! Dengan apa kamu
berhukum?” Ya, soalannya menjurus kepada tugas yang akan dijalankan,
yang menjadi dasar kepada penghantaran beliau, bukan pada persoalan
teknikal yang sepatutnya diselesaikan di peringkat bawahan.
Di pihak
Saiyidina Muaz sendiri sudah tentu sangat bersungguh-sungguh menunaikan arahan baginda lalu merintih dan berdoalah
kepada Allah di malam hari agar dibantu dalam urusan tersebut hingga
Allah beri faham di hati-hati sahabat tentang pentingnya utusan itu,
maka bersegeralah membantu hingga berlakulah permusafiran beliau ke
Yaman.
Walaupun hanya berkuda dengan penuh bersusah payah, mengharungi
padang pasir yang luas, cuaca yang amat panas di siangnya dan sejuk di
waktu malam, demi cintanya kepada Allah dan Rasul, dilakukan penuh
bahagia. Itulah kemuliaan. Pada Saiyidina Muaz, itulah kemuliaan.
Kemuliaan kerana menjunjung arahan Allah dan Rasul.
Peribadi yang sama juga, sangat menggetarkan hati kita kerana sangat
setia dengan pemimpin. Ini dapat dilihat ketika membaca coretan sejarah
beliau di sisi kanan pintu masuk ke Maqamnya di Shauna Syimaliyiah,
Jordan. Apabila dihantar berjuang, menjadi pantang laranglah bagi para
peribadi yang mempunyai ‘hati sahabat’ ini untuk meminta kembali pulang.
Mereka akan berjuang sehingga diarahkan pulang, barulah pulang.
Berjuang dan terus mara, sanggup mati di medan perang. Selesai perang,
masih belum dipanggil pulang ke Madinah, di arah melaksanakan tugas di
bumi Syam, maka teruslah bertugas walau apa pun terjadi.
Bayangkan,
ketika taun Amwas menyerang, ribuan orang mati satu persatu akibat taun
yang merebak pantas, beliau tetap teguh bersama pengikutnya hinggalah
syahid sebagai mangsa taun Amwas. Oh mulianya Saiyidina Muaz! Mulianya
Saiyidana Muaz! Mulianya Saiyidina Muaz!
Mana Muaz akhir zaman? Di mana peribadi Saiyidina Muaz di akhir
zaman? Yang segera menyahut seruan, berdatangan ke medan perjuangan bak
singa-singa lapar. Di mana peribadi Muaz di akhir zaman yang sanggup
setia menunggu kubu perjuangan? Biar lapar, biar sakit, biar luka, biar
tersiksa, malah biar mati sekalipun tidak akan berganjak dari medan
tempur atau meminta izin untuk bertukar lokasi.
Jadilah seperti
Saiyidina Muaz! Untuk apa kita ziarahi maqamnya jika sejarahnya kita
bakul sampahkan? Untuk apa kita berdoa di sisi dhorihnya sedangkan
peribadinya tak kita contohi? Sesungguhnya kita belum mengenal erti
perjuangan. Kita masih ‘syok-syok’ sendiri, merasa diri sudah berjuang
sedangkan meletakkan pantang larang pada diri sendiri agar tidak
dilanggar oleh orang lain.
Kalaulah Rasulullah telah kita rindui, tak begini sikap kita.
Kalaulah Allah telah kita takuti, kita tak jadi begini…. Ampunkan kami
Tuhan kerana tidak takut setakut-takutnya padaMu. Ampunkan kami
Rasulullah SAW kerana belum rindu serindu-rindunya padamu.
Mat’am Nur Muhammad, Irbid, Jordan.
10.12am, Feb 11, 2014 KLIK KE ANJANGMUOR
10.12am, Feb 11, 2014 KLIK KE ANJANGMUOR
0 ulasan:
Catat Ulasan