Social Icons

Rabu, 26 Februari 2014

Dato' Seri Jamil Khir - Tindakan Tegas Jika Kassim Menyeleweng Islam


 
Datuk Seri Jamil Khir Baharom 
KUALA LUMPUR - Tindakan tegas akan diambil terhadap karyawan dan bekas aktivitis politik Kassim Ahmad sekiranya terbukti pandangan-pandangannya bercanggah dengan prinsip dan sumber hukum ajaran Islam, berdasarkan Ahli Sunnah Wal Jamaah, pegangan masyarakat Islam di Malaysia.

Menegaskan demikian, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata setakat ini Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) masih mengumpul maklumat dan bukti berhubung kenyataan Kassim dalam seminar "Pemikiran Kassim Ahmad: Suatu Penilaian" di Putrajaya pada 15 dan 16 Februari lepas.

Kassim pada majlis itu dilaporkan mengkritik golongan ulama Islam yang disifatkannya sebagai 'kasta paderi' dan mendakwa Nabi Muhammad SAW tidak perlu dimuliakan, serta rambut wanita bukan aurat.

"Sekiranya ada bukti terhadap anti hadis dan penghinaan kepada Nabi Muhammad SAW tindakan akan diambil," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) dengan Universiti Sains Malaysia (USM) dan pelancaran Zon Hijau di sini hari ini.

Jamil Khir berkata tindakan undang-undang berhubung kesalahan syariah itu adalah di bawah bidang kuasa Jawi kerana mengikut perlembagaan negara, di bawah Jadual 9 agama Islam berada di bawah bidang kuasa negeri-negeri.

Mengulas mengenai kenyataan seorang wanita dari negeri pantai timur yang mempersoal kuasa ALLAH dalam akaun Facebook 'Murtads In Pantai Timur', katanya beliau akan mengarah Jakim untuk mengambil tindakan ke atas akaun itu dengan segera.

Beliau berkata pada masa ini, isu yang menyentuh sensitiviti agama Islam dengan kandungan berunsur provokasi dan negatif di laman sosial semakin serius sehingga menimbulkan provokasi.

"Jakim sendiri pun berterusan memantau perkembangan ini dan kita berterusan bekerjasama dengan SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) dan KDN (Kementerian Dalam Negeri) bagi menyekat sebarang provokasi yang melibatkan sensitiviti agama Islam di laman sosial," katanya.

Katanya, situasi itu berlaku seolah-olah ada agenda tertentu oleh pihak terbabit sehingga sanggup menggunakan agama Islam sebagai alat untuk mencetuskan provokasi dalam kalangan rakyat yang berbilang kaum di negara ini. - Bernama 


http://www.sinarharian.com.my/nasional/tindakan-tegas-jika-kassim-menyeleweng-islam-1.254228

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text