Social Icons

Isnin, 24 Februari 2014

Kisah Solat Beberapa Orang Sahabat, Tabi'en Dan Ahli Sufi


Aisyah r.a berkata, "Rasulullah s.a.w adalah bersama-sama dengan kami bersembang dan berbual. Apabila menjelang waktu solat, Baginda dengan tak semena-mena berubah kelakuannya seolah-olah baginda tidak kenal kami dan akan leka dengan urusan Allah semata-mata."

Adalah diceritakan bahawa Hassan r.a apabila beliau berwudhu' mukanya menjadi pucat. Bila ditanya sebabnya, dijawabnya, "Ini adalah waktu untuk berdiri di depan Raja Yang Maha Agung lagi Maha Mulia."

Apabila sampai di pintu masjid, beliau berdoa, "Ya Allah, hambaMu ini berada di pintuMu. Wahai Yang Amat Pemurah. Ini adalah seorang hambaMu yang banyak berdosa berdiri di depanMu. Engkau telah memerintahkan atas hamba-hambaMu yang baik supaya memaafkan kesalahan-kesalahan hamba-hambaMu yang jahat. Ya Allah, Engkau adalah baik dan daku ini jahat, oleh itu demi kebaikan yang ada padaMu , maafkan lah kesalahan-kesalahanku. Wahai Yang Amat Pemurah." Kemudian barulah dia masuk ke dalam masjid.

Zainul Abidin r.a selalu solat seribu raka'at solat nafil (solat sunat) setiap hari. Beliau tidak pernah tinggal solat Tahajjud sama ada dalam perjalanan mahu pun di rumah. Mukanya menjadi pucat apabila beliau berwudhu' dan beliau menggeletar apabila beliau berdiri hendak solat. Orang bertanya padanya akan sebab-sebabnya. Dijawabnya, "Tak tahukah daku di depan siapa daku berdiri?"

Sekali peristiwa, beliau sedang solat, tiba-tiba rumahnya terbakar. Beliau terus dengan solatnya dengan keadaan tenang sekali. Apabila ditanya mengenainya maka dijawabnya, "Api akhirat telah melupakan daku akan api dunia ini."

Sekali ada beliau berkata, "Kesombongan seorang yang sombong menakjubkan daku. Sehari dulu dia adalah dari setitis air yang najis dan esok dia akan menjadi bangkai dan masih sombongkah lagi dia?"

Beliau kerap berkata, "Hairan benar! Orang-orang giat berusaha untuk dunia ini yang adalah buat sementara saja tetapi tidak berusaha langsung untuk akhirat dimana mereka akan hidup abadi." Beliau selalu membantu orang-orang miskin pada malam hari supaya mereka tidak tahu siapa yang membantu mereka. Setelah beliau meninggal dunia barulah diketahui bahawa tidak kurang dari seratus keluarga yang dibantunya.

Adalah diceritakan bahawa air muka Saiyidina Ali r.a akan berubah dan beliau akan menggigil apabila waktu solat menjelang. Apabila beliau ditanya, dijawabnya, "Inilah waktunya untuk menunaikan apa yang telah diamanahkan yang mana langit dan bumi serta bukit-bukau pun juga takut memikulnya. Daku tidak tahu apakah yang daku akan perolehi dari menunaikannya."

Adalah diceritakan bahawa apabila Saiyidina Abdullah bin Abbas r.a dengar suara azan, beliau menangis hingga serbannya akan basah kuyup kerana air matanya yang begitu banyak, urat-uratnya akan timbul dan matanya menjadi merah. Ada orang berkata kepadanya, "Kami tidak melihat apa-apa pada azan yang patut menjadikan kamu begitu takut."

Dijawabnya, "Kalau orang faham apa yang disuarakan oleh muazzin itu maka mereka akan bangun dari tidur serta meninggalkan segala kesenangannya." Kemudian beliau menerangkan makna yang dimaksudkan oleh setiap kalimah azan.

Ada seorang menceritakan, "Saya telah sembahyang Asar di belakang Zun Nun Al-Misri r.a. Apabila beliau melafaz "Allah" (dalam takbir) beliau merasa amat takut akan keagungan Allah seolah-olah nyawanya akan tercabut dan apabila beliau melafazkan "Akbar" hatinya menjadi remuk kerana takutkan Allah."

Uwais Al-Qarni r.a seorang waliullah yang masyhur dan amat dimuliakan dari sekalian Tabi'en menghabiskan masa malamnya dengan keadaan ruku' atau sujud. 
 
Adalah diberitakan bahawa Hatim r.a sekali tertinggal solat berjema'ah dan beliau merasa amat dukacita. Beberapa orang yang datang turut berdukacita bersamanya. Beliau pun menangis lalu berkata, "Kalau daku kehilangan salah seorang dari anakku, separuh dari penduduk bandar Balkhi akan turut berdukacita bersamaku, tetapi atas kehilangan solatku dengan berjema'ah maka kamu lah saja yang berdukacita. Ini adalah kerana orang yang menganggap bahawa siksa di akhirat itu lebih ringan dari siksa di dunia."

Said bin Almusayyah r.a berkata, "Selama dua puluh tahun yang lampau, tak pernah aku berada di luar masjid pada waktu azan." 
 
Muhammad bin Wase berkata, "Daku cinta tiga perkara dalam hidupku ini. (1) seorang rakan yang dapat menegur daku apabila daku salah. (2) makanan yang cukup untuk daku hidup , dan (3) solat (berjema'ah) yang Allah S.w.t dapat maafkan cacat-cacatnya dan memberikan pahala bagi sebarang yang baik dalamnya.

Ada sekali Saiyidina Abu Ubaidah bin Jarrah r.a sedang mengimamkan solat. Setelah solat selesai, beliau memberitahu para makmum, "Syaitan telah menyerang daku dengan hebatnya semasa daku mengimamkan solat tadi. Daku dirasukinya supaya daku berfikir bahawa semasa daku mengimamkan solat tadi dakulah yang paling bagus dari antara kamu sekalian. Daku tak akan mengimamkan solat lagi."

Sekali peristiwa Maimun bin Mehran r.a sampai ke masjid apabila solat berjema'ah telah selesai. Beliau mengucap, "innaa lillahi wainnaa ilaihi raaji'uun", lalu berkata, "pahala solat berjema'ah lebih berharga padaku dari menjadi maharaja negeri Iraq."

Adalah diberitakan bahawa para sahabat Rasulullah s.a.w akan berkabung selama tiga hari kalau mereka tertinggal takbir pertama dalam solat dan selama tujuh hari kalau mereka tertinggal solat berjema'ah.

Bakar bin Abdullah sekali ada berkata, "Kamu boleh bercakap dengan Tuhan, Khaliqmu bila-bila masa yang kamu suka." "Bagaimana?" Tanya seorang. Dijawabnya, "Ambil wudhu' dengan sempurna dan bersolat."

Adalah diberitakan bahawa air mata Said Tanakhi r.a akan mengalir tidak henti-henti selama mana yang dia bersolat. Ada orang bertanya pada Khalaf bin Ayyub r.a, "Tak pernahkah lalat mengganggumu dalam solat?" Dijawabnya, "Sampah masyarakat pun dengan sabar tahan sebatan polis kerana hendak bermegah-megah dengan sifat tahan menderita. Mengapa patut daku meloncat-loncat hanya kerana lalat mengganggu semasa daku berdiri solat di depan Khaliqku?"

Adalah diceritakan di dalam Bahyatun-Nufus bahawa salah seorang dari sahabat Rasulullah s.a.w sedang menunaikan solat Tahajjud. Seorang pencuri datang dan mencuri kudanya. Beliau nampak tetapi beliau tidak hentikan solatnya. Ada orang bertanya kepadanya, "Mengapa anda tidak hentikan solat dan menangkap pencuri itu?" Dijawabnya, "Daku sedang sibuk mengerjakan suatu yang lebih berharga dari kuda itu."

Adalah diceritakan bahawa satu anak panah telah melekat pada tubuh Saiyidina Ali r.a dalam satu pertempuran dan anak panah ini telah dicabut keluar semasa beliau bersolat. Sekali peristiwa satu anak panah telah terpanah pada pehanya. Anak panah ini tidak dapat dicabut keluar walaupun beberapa kali telah diusahakan kerana kesakitan yang teramat dideritai olehnya. 
 
Apabila beliau sedang solat nafil dan sedang dalam keadaan sujud, maka sahabat-sahabatnya mencabut keluar dengan sekuatnya anak panah itu. Apabila beliau telah selesai solat, beliau bertanya pada sahabat-sahabat yang berkerumun di sekelilingnya, "Adakah kamu sekalian berhimpun hendak mencabut keluar anak panah itu?"

Apabila mereka beritahu padanya bahawa anak panah itu sudah pun dicabut, beliau berkata pada mereka bahawa beliau tidak merasa sakit semasa ia dicabut.

[Petikan dari buku Fadhilat Salat - Raisul Muhadditsin Allama Mohammad Zakariyya Syeikhul Hadits]

1 ulasan:

  1. Terima kasih di atas perkongsian cerita.

    Aisyah r.a berkata, "Rasulullah s.a.w adalah bersama-sama dengan kami bersembang dan berbual. Apabila menjelang waktu solat, Baginda dengan tak semena-mena berubah kelakuannya seolah-olah baginda tidak kenal kami dan akan leka dengan urusan Allah semata-mata."

    Kisah ini memberi faham kepada kita bagaimana kelakuan Rasulullah yang patut kita contohi bila hampir masuk waktu sembahyang. Seolah sudah tidak mengenal yang lainnya kerana disibukkan dengan persiapan hati dengan Tuhannya sebelum lagi masuk waktu sembahyang. Supaya sembahyangnya itu benar-benar dia terhubung dengan Tuhannya. Dan tidak disibukkan dengan perkara lainnya.

    BalasPadam

 

Sample text

Sample Text

Sample Text