Di awal 80'an, ceramah Abuya mula dirakamkan. Masa tu belum ada ceramah agama yang dirakamkan lagi-lagilah dijual dalam bentuk kaset. Maka timbullah suara-suara sumbang yang mengatakan Abuya dah tak Islamik. Ceramah agama telah diniagakan. Keluarlah hujah-hujah dan nas-nas yang berjela-jela. Kononnya menjual ayat-ayat Allah dengan harga yang sedikit.
Tiga puluh tahun selepas itu, keadaan sudah jauh berubah. Sekarang memang sudah lumrah ceramah agama, kuliah motivasi dan pengajian-pengajian dipasarkan secara komersil. Bukan sekadar rakamannya, tetapi semua sudut termasuk 'kegelemeran' ustaz-ustazahnya. Tidak lagi kedengaran suara sumbang yang menolak pendekatan ini, malah dipuji-puja pula oleh penggemar mereka.
Begitulah advancenya Abuya. 30 tahun lebih dahulu menerokai bidang yang sekarang sudah dijadikan amalan biasa. Itu baru sudut jual kaset ceramah. Belum lagi dalam soal pemakaian tudung (lagilah purdah), berjubah dan berserban, makanan halal, surat khabar dan majalah Islam, kebudayaan Islam (nasyid & muzik), sekolah Islam, ekonomi dan perniagaan Islam, sistem kewangan Islam, jemaah & masyarakat Islam dan jaringan antarabangsa Islam. Semua itu Abuya dah lagangkan sejak dalam jemaah Al Arqam lagi hinggalah sekarang ini bertambah kemas, kuat dan sangat berwibawa.
Pada awal 80'an, murid-murid Abuya sangat ghairah dengan apa saja yang datang dari Abuya. Samada mindanya (buah fikiran), cara dan gaya berpakaian, gaya dan cara makan Abuya hinggalah seluruh hidup Abuya menjadi contoh ikutan dan teladan pengikut-pengikutnya. Secara tak langsung Abuya telah menjadi ikon Islamik bermula sejak waktu itu. Pakaian terutama serban Abuya sangat kuat pengaruhnya kepada para pengikut, para simpatisan dan tak terkecuali penentang-penentang Abuya. Kadang-kadang ada orang perli,"Tak panas ke, awak lilit-lilit kepala tu (berserban)?" Hairan juga, kita yang berlilit kepala tak rasa panas, dia pula yang macam kepanasan! (cara dia perli itu macam nada sakit hati je tengok orang pakai serban)
Antara yang menarik dengan Abuya ni ialah ceramahnya. Ceramah Abuya sangat memberi kesedaran dan kefahaman. Ceramahnya ada tajuk, fokus dan tersusun tetapi bahasanya mudah difahami. Walaupun ada juga kelakar, tetapi lawak-lawak Abuya tidak merapu bahkan sebenarnya lawak-lawak itu adalah bahasa kiasan atau sindiran yang penuh berhikmah. Begitulah Abuya.
Ceramah dan ilmu Abuya berkembang mengikut era. Antara tajuk ceramah pada era kesedaran dan kefahaman ialah seperti 'Dua Peranan Manusia", "Kebahagian Dunia & Akhirat", "Pembahagian Manusia di Akhirat", "Islam Agama Kebulatan", "Penyakit Masyarakat Berpunca Dari Penyakit Hati" atau "Bagaimana Rasulullah Mengubat Penyakit Masyarakat" dan "Gunung Tujuh". Salah satu tajuk yang sangat popular juga ialah "Mengapa Manusia Hidup".
Dalam ceramah "Mengapa Manusia Hidup" Abuya membawa falsafah mudah untuk memberikan sentuhan fitrah agar pendengar bersetuju bahawa kita patut jadi hamba Allah. Kata Abuya,"Katalah datang seorang kepada kita lalu berkata, hei sedara, sedara ni hamba Allah lah...(biasanya Abuya suka ulang 3 kali). Apa rasahati kita dan bagaimana penerima hati kecil kita? Tentu kita setuju, hati rasa puas, hati rasa seronok bila orang panggil kita hamba Allah." Kemudian Abuya buat perbandingan pula, "Katalah di masa yang lain ada orang panggil kita begini, hei sedara, sedara ni hamba keretalah, sedara ni hamba rumahlah, sedara ni hamba dunialah, sedara ni hamba syaitanlah...(dll), apa rasa hati kecil kita dan bagaimana penerimaan kita bila orang panggil kita hamba selain hamba Allah?"
Abuya kata, kalau orang panggil kita hamba Allah, hati terus bersetuju walaupun seumur hidup kita tak pernah sembah Allah, tak peduli Allah pun. Sebaliknya hati terus menolak dan memberontak kalau orang panggil kita sebagai hamba selain hamba Allah sekalipun memang seluruh hidup, kita korbankan untuk dunia, untuk rumah, untuk kereta bahkan untuk nafsu dan syaitan!
Begitu jugalah kalau orang kata kita sebagai penentang kebenaran. Mana mungkin kita boleh terima. Malah hati terus menerus menolak dan memberontak. Hati akan membentak-bentak tanda tidak bersetuju yang kita dikatakan penentang kebenaran. Lebih-lebih lagi jika kita memang pernah bersama memperjuangkan kebenaran, lagi-lagi sulit untuk kita boleh menerima bila kita dikatakan sebagai penentang kebenaran.
Tapi apa salahnya kita bertafakur sejenak dan melihat sedalam-dalamnya beberapa perkara seperti berikut;
1. Sebelum mendapat kesedaran dakwah, kita tidak kenal Tuhan, lalai dalam menyembah Tuhan dan mengamalkan syariat Tuhan. Bila dah dapat kesedaran dakwah, maka seluruh hidup sanggup dikorbankan demi untuk Tuhan dan kerana Tuhan. Kita tak persoalkan pun berapa banyak yang perlu dikorbankan. Hatta jika diminta nyawa pun sanggup kita korbankan demi mendapat keredhoan Allah. Begitulah semangat kesedaran membentuk watak dan sikap kita. Tetapi itu baru peringkat kesedaran. Belum diuji lagi. Bila diuji, semangat sahaja belum cukup untuk bertahan. Semangat ini baru peringkat Iman Ilmu, belum mantap.
2. Bila kita dididik dan diasuh dari satu era ke satu era, rupanya kita ini sedang berjalan dalam jadual Allah untuk akhir zaman. Maka keyakinan yang beransur-ansur ditanamkan dalam diri dan snubari kita mula membentuk watak pejuang yang ingin melihat Islam kembali gemilang buat kali kedua seperti yang dijayakan oleh para sahabat r.a bersama Rasulullah saw. Maka beranjaklah paradigma kita dari hanya membaiki diri kepada membela Islam dan memperjuangkan kebenaran ini sehinggalah menemui antara dua, iaitu samada syahid atau menang!
3. Semua itu sangatlah mempengaruhi jiwa kita sehingga tidak mahu menoleh ke belakang lagi. Bukan sahaja sudah bertemu dengan kebenaran yang semenangnya diwajibkan setiap orang mendapatkannya, tetapi telah bertemu dan direzekikan bersama pemimpin dan jemaah kebenaran yang dijanjikan di akhir zaman. Rezeki yang cukup besar dan paling berharga. Jika rezeki ini dizahirkan dalam bentuk material, untuk mendapatkannya, tidak mungkin mana-mana billionier dunia mampu membayarnya. Begitulah terlalu mahal harganya. Tetapi apa boleh buat, hidayah dan taufik Allah sudah tentukan kekal dalam bentuk maknawi dan rohani. Tidak dapat dilihat dan dinilai dengan mata kasar. Hanya hati yang direzekikan sahaja dapat merasaikan betapa mahalnya harga sebuah hidayah.
4. Setelah berjuang, maka bermacam-macam ujian yang mendatang. Samada ujian secara individu, maupun ujian secara berjemaah. Sepanjang perjuangan, bermacam bentuk dan rupa ujian yang telah menyapa. Setiap kali ujian datang, maka ramai juga yang kecundang dan tidak kurang yang semakin kukuh berpegang kepada kebenaran. Yang datang kemudian kadang-kadang lebih hebat dari yang sudah lama berjuang. Semua hikmahnya hanya dalam pengetahuan Tuhan. Kita yang lemah hanya dapat memahami setitis air dari seluruh lautan. Begitulah lemahnya manusia sebagai hamba.
5. Setelah kita tersaring, segalanya berubah dan bertukar. Kalau dulu kita anggap musuh, sekarang kita boleh bersama dan bersengkokol dengannya. Kalau dulu kita anggap ujian perjuangan, tetapi sekarang semua itu kita anggap kesalahan dan kelemahan malah kezaliman orang. Kalau dulu kita sabar dengan cacian musuh, sekarang kita gembira bila musuh menyusah-nyusahkan jemaah yang kita tinggalkan. Begitulah seterusnya.
6. Setelah kita meninggalkan jemaah, fokus kita lebih kepada isu-isu kehidupan seperti harta benda, keturunan, nasib hidup kita, masa depan hidup di dunia, perbalahan masalah kewangan, projek dan seumpamanya.
7. Setiap mukmin ada 5 musuh. Semasa dalam jemaah kebenaran, jelas kita mempunyai lima musuh. Nafsu, syaitan, kafir yang memerangi, munafik dan orang yang hasad dengki. Setelah tidak bersama jemaah, nampaknya musuh pun sudah tiada lagi, malah meminta tolong pada musuh pula. Apa maknanya semua ini? Sepatutnya kalau semasa bersama dengan jemaah kebenaran kita ada musuh, bila kita terus dengan kebenaran yang baru, maka tentulah musuh-musuh terus gerun dan memusuhi kita. Ini tidak, musuh-musuh mula rasa selesa dan seronok untuk bekerjasama dengan kita. Pelik juga bukan?
Inilah salah satu bukti bahawa orang yang meninggalkan jemaah sudah tidak dianggap sebagai musuh lagi oleh musuh yang sebelum ini cukup tidak senang dengan mereka kerana memperjuangkan kebenaran.
8. Sebaik meninggalkan perjuangan, terus mempertikaikan jemaah yang sebelum ini sangat diyakininya. Perkara yang dipertikaikan dan yang dibangkitkan itu pula kadang-kadang sangat tidak munasabah. Adakalanya sangat melucukan. Sebaliknya pula, ada beberapa perkara yang sebelumnya ini sangat dimusuhi atau sangat dielakkan atau sangat dijauhi kini sudah boleh dimesrai atau diamalkan pula. Sebagai contoh rokok. Kalau dulu boleh tinggal rokok, tapi sekarang sudah pandai merokok bahkan jual rokok. Ampun maaf, kalau dulu masa jaga pelajar cukup anti pelajar pakai seluar jean (sebab kan masih banyak seluar manusia, kenapa mesti pakai seluar jin) tapi sekarang dah jadi toke seluar jean!
9. Penentang kebenaran bukan mesti menentang terus Allah dan Rasul secara nyata. Di zaman Rasulullah, orang yang menentang Rasulullah saw itu antaranya ialah ahli kitab. Menurut setengah ulama, ahli kitab itu aqidah mereka masih betul, cuma tak semestinya diterima Allah sebab mereka telah menolak Rasulullah saw. Tetapi hakikatnya mereka telah sesat dan menentang kebenaran juga.
10. Penentang kebenaran bukan mesti mereka berperang dengan golongan yang membawa kebenaran. Cukuplah mereka menyusah-nyusahkan orang yang memperjuangkan kebenaran. Menyusah dan memusuhi orang yang memperjuangkan kebenaran tidak sama dengan golongan yang berbeza pendapat dalam memperjuangkan kebenaran.
11. Contoh yang paling tepat untuk melihat perbezaan antara orang yang berbeza pendapat cara memperjuangkan kebenaran dengan memusuhi kebenaran ialah melihat sikap dan tindakan Abuya itu sendiri. Terdapat banyak golongan yang berbeza pendapat dengan Abuya dalam memperjuangkan kebenaran. Tetapi adakah Abuya pernah menyusah-nyusahkan mereka? Adakah Abuya cuba memprovok musuh untuk menghancurkan jemaah yang berbeza pendapat dengan Abuya? Pernahkan Abuya menuduh-nuduh jemaah dan harakah lain yang berbeza pendapat dengan Abuya dengan tuduhan melulu dan liar?
12. Jika bukan bermusuh tetapi cuma berbeza pendapat, sepatutnya mereka yang meninggalkan jemaah ini teruslah berbuat dan membangunkan jemaah mereka dengan bersungguh-sungguh. Malah mereka juga kena ada rasa bahawa kebenaran tidak semestinya tertegak di tangan mereka. Mereka juga mengalu-alukan kebenaran yang mampu dibuat oleh orang lain.
13. Setelah meneliti beberapa perkara di atas, maka salahkah kalau dikatakan, "hei sedara, sedara ni penentang kebenaranlah" setelah menyaksikan tindakan dan sikap saudara yang tidak puas-puas hati terhadap jemaah ini sekalipun sebenarnya hati kecil saudara tidak mampu untuk menafikan kebenarannya. Tindakkan melulu dan terus-terusan menyerang jemaah ini semuanya adalah tindakan dan sikap 'orang yang hasad dengki'. Sedangkan orang yang hasad dengki adalah termasuk dalam salah satu musuh orang mukmin. Maka walaupun hati menolak, hakikatnya memang sedara penentang kebenaran!
Wallahu'alam.
0 ulasan:
Catat Ulasan