Social Icons

Isnin, 30 September 2013

Taubat GISB - Kembali Menurut Kehendak Fatwa. Apa Cerita Di Sebaliknya?

Kisah ahli-ahli GISB (baca bekas Arqam) bertaubat bergema di mana-mana. Ada yang bertanya, "Kenapa baru insaf sedangkan fatwa sudah dikeluarkan sejak 1994?" Kalau persoalan itu ditanya pada Pak Lang, Pak Lang hanya sekadar menjawab ianya ketentuan Allah. Memang betul pun, Allah yang jadikan peristiwa demi peristiwa berlaku sebelum keputusan ini dibuat. Banyak hal yang terjadi sebelumnya. 

Keluarga Pak Lang menyambut khabar ini dengan gembira. Mereka sudah lama menanti saat ini. Cuma selama ini keluarga Pak Lang rata-rata menghormati pendirian Pak Lang. Mereka tahu Pak Lang tidak meminggirkan keluarga. Bahkan Pak Lang lebih banyak menziarahi rumah mereka berbanding mereka mendatangi Pak Lang. Jika ada kenduri kendara di kampung, sedaya upaya Pak Lang akan berusaha pulang meraikan jemputan mereka. Sebab itu mereka suka sangat dengar Pak Lang dan GISB sudah bertaubat. Pak Lang sentiasa berharap taubat kami ini diterima Allah SWT. Pak Lang berdoa semoga kami dibantu dalam usaha kami mendekatkan hati kepadaNya serta berkhidmat untuk agama, bangsa dan negara tercinta.

Orang yang tidak tahu hujung pangkal - kalau dia tidak berhati ikhlas - akan mengata-ngata yang tidak patut, memfitnah atau berburuk sangka. Sebaliknya orang yang berjiwa mulia akan menerima khabar ini dengan penuh kesyukuran. Lihatlah dan pandanglah hasrat kami ini dengan sikap positif tanpa prejudis. Sekurang-kurangnya ini semua menjadi permulaan bagi penyatuan umat Islam di Malaysia. Bukankah ini yang sangat kita harapkan selama ini?

Selama ini kesangsian tidak dapat dielakkan. Diantara JAKIM, JAIS dan lain-lain pihak berkuasa agama di negeri-negeri - dengan GISB - ada jurang yang amat dalam. Ada curiga mencurigai serta saling tidak mempercayai. Prejudis ada di mana-mana dan pada setiap ketika. Keadaannya seperti tidak ada titik temu. Seolah-olah isu pengharaman Al-Arqam ini berlarutan begitu sahaja walaupun pelbagai usaha pemulihan telah dilakukan oleh pihak berkenaan. Duri dan sembilu yang muncul dalam isu pengharaman ini sangat menyucuk dan menyakitkan semua pihak.

Pak Lang ingat lagi ketika Dato' Abd Rahman Palil pada sekitar tahun 2007 datang ke Bandar Country Homes, Rawang bersama anggota penguat kuasa JAIS. Tujuan mereka untuk memastikan syarikat Rufaqa' Corporation Sdn Bhd (RCSB) ketika itu dibersihkan dari unsur-unsur yang menyalahi fatwa. Walaupun kedatangan mereka sedemikian ramai ke pusat pentadbiran RCSB - untuk merampas barang dan peralatan serta buku-buku yang ada unsur menyalahi fatwa - tetapi suasananya tetap tenang. 

Al-Marhum Ustaz Ashaari memang mendidik kami untuk tenang dan berlapang dada dengan apa juga tindakan mana-mana pihak terhadap RCSB ketika itu. Walaupun tenang, hakikatnya apa yang ada di dalam hati setiap pihak ialah saling mencurigai. Ianya lumrah bagi mana-mana pihak yang sedang memantau dan yang dipantau. Dari sudut agama, hati yang sebegini dikatakan hati yang berpecah atau hati yang tidak ada ikatan kasih sayang atau tidak ada perpaduan. 

Demikianlah keadaan ini berlarutan hampir 20 tahun!! Bayangkan apa yang akan berlaku jika ianya terus menerus sedemikian. Soalnya sekarang GISB sudah mahu kembali ke pangkal jalan. Kembali menurut kehendak fatwa yang telah dikeluarkan wartanya hampir 20 tahun yang lalu. Beberapa orang tokoh menteri yang terlibat dalam pengharaman Al-Arqam ini sudah ramai yang pencen atau telah meninggal dunia. 

Tuan Guru Pak Lang sendiri iaitu Dato' Mursyid DiRaja Tuan Guru Haji Tajuddin Abd Rahman (Pengerusi Jawatan Kuasa Fatwa, Majlis Fatwa Kebangsaan) sudah lama meninggal dunia. Begitu juga Tan Sri Datuk Paduka Dr Abd Hamid Othman. Yang pencen seperti Dato' Abd Hamid Zainal Abidin, Dato' Zainal Abidin Abd Kadir dan lain-lain juga lebih ramai. Semuanya tidak sempat menyaksikan pematuhan Al-Arqam terhadap fatwa yang mereka keluarkan - sekurang-kurangnya semasa mereka masih menjawat jawatan masing-masing.

Kembalinya GISB kepada fatwa sememangnya suatu yang diharap-harapkan oleh semua pihak yang cintakan Islam. Inilah yang sepatutnya. Apa pun kita bersyukur, akhirnya GISB dapat disedarkan dan difahamkan. Jika ada yang curiga dengan niat kami, itu adalah lumrah. Bukan mudah orang mahu mempercayainya kerana tentu bukan senang membuang keyakinan yang kelihatan sudah mendarah daging puluhan tahun!! Pak Lang sendiri merasainya. Begitu juga rakan-rakan yang lain yang sudah pasti akan mengambil waktu untuk pulih sepenuhnya. 

Apa pun, Pak Lang bersyukur dengan penerimaan pihak JAKIM dan JAIS yang sangat positif. Hasrat GISB disambut dengan sikap yang mampu melenyapkan kesangsian masa lalu. Keterbukaan pihak berkenaan sangat dihargai. Para pegawai JAIS terutama Bahagian Penguat-Kuasanya sangat terbuka dalam berdepan dengan kami. Kemesraan dan keakraban sudah mula berputik. Ianya menghilangkan sama sekali keraguan atau pun kesangsian.

Umum sebenarnya tidak tahu kesungguhan pihak JAIS dalam memahamkan kami untuk mematuhi fatwa. Ianya bermula sebaik Puan Ibu Hatijah Aam dan 94 orang yang lain dihantar kembali dari Mekah oleh kerajaan Saudi. Para pegawai penguat kuasa JAIS telah menunggu sebaik mereka keluar dari pintu pesawat. Dari situlah bermulanya proses soal siasat dan perbincangan yang berlarutan. 

Pihak JAIS mengambil pendekatan berbincang dan saling bertukar pandangan. Tidak ada langsung kaedah mengugut, memaksa atau mengancam terhadap Puan Ibu Hatijah dan lain-lain. Apatah lagi - kalau mahu - JAIS boleh sahaja menahan kesemua mereka atau sebahagian pemimpin kanan GISB yang turut serta. Menahan mereka - walaupun sementara - sudah cukup untuk memberi tekanan terhadap "Ummu Jah" dan "pengikutnya", tetapi JAIS tidak bertindak sedemikian. 

Semua yang terlibat diberi masa bertemu keluarga dan datang semula pada tarikh yang ditetapkan. Itupun dirasakan bukanlah sesi soal siasat tetapi lebih merupakan sesi taaruf atau pengenalan diri dan latar belakang. Butiran yang ditanya sangat bersahaja sehingga yang dipanggil tidak terasa mereka sedang disoal siasat. 

Pak Lang puji pendekatan JAIS yang sebegini. Ianya sangat membantu Puan Ibu Hatijah menerima penjelasan pihak JAIS dengan sepenuh hati. Tekadnya bulat untuk tetap mematuhi kehendak fatwa. Apa yang dikehendaki fatwa, itulah yang sedang dan akan diikut. Apa yang dilarang dalam fatwa, itulah yang sedang dan akan terus ditinggalkan. 

Orang yang mengenali Puan Ibu Hatijah pasti sedar, bukan mudah untuk "menterbalikkan" fikirannya tetapi inilah hakikat yang berlaku. Rupanya proses perbincangan dua hala yang merupakan pendekatan pihak JAIS telah membuka pintu hati Puan Ibu Hatijah untuk sedar dan insaf. Biarlah ada pihak yang agak skeptikal dengan hasrat ini. Apa yang penting kami semua - staf GISB seluruh dunia akan tetap bersamanya melalui proses ini.  Ya Allah! bantulah kami dan terimalah taubat kami!!


LAMPIRAN:
Berikut adalah perkara-perkara yang besar dan utama yang menjadi amalan ahli-ahli GISB sebelum ini. Selain itu, ada juga yang kecil-kecil atau pecahan dari yang utama ini.

1. Mengamalkan Aurad Muhmmadiah yang telah difatwakan sebagai mengeliru dan boleh membawa kesesatan.

2. Mempercayai Syeikh Muhammad bin Abdullah AsSuhaimi sebagai Imamul Mahdi

3. Mengatakan dan mempercayai bahawa Abuya Ashaari Muhammad belum mati tetapi cuma ghaib sahaja.

4. Mengamalkan pencak selepas solat, hantar power, kuarantin, pengasingan suami/isteri dengan pasangan masing-masing dan beberapa amalan berkaitan dengannya.


Bagi membuktikan kesungguhan pihak GISB mematuhi fatwa dan bertaubat, maka beberapa langkah secara sukarela dan drastik telah dan sedang diambil seperti berikut;

1. Menghantar surat kepada Majlis Fatwa, Jakim, Jais dan media bertujuan meminta maaf dan bertaubat.

2. Bersedia mengangkat sumpah taubat dan membuat surat sumpah taubat jika diminta oleh pihak berwajib agama di peringkat pusat maupun negeri-negeri dan bersedia mematuhi syarat-syarat dan peraturan-peraturan berkaitan yang ditetapkan.

3. Melupuskan semua bahan-bahan rujukan dan apa-apa juga yang berkaitan dengan ajaran yang dilarang oleh fatwa

4. Mengadakan majlis-majlis untuk menyedarkan, menginsafkan dan mentaubatkan seluruh staf dan mereka yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan GISB

5. Melaksanakan program mengawal dan memantau semua staf GISB agar tidak terlibat mengulangi kesilapan dalam melanggar fatwa

6. Membebaskan semua staf yang sedang dikuarantinkan

7. Mengembalikan dan menyatukan semula suami/isteri atau anak-anak yang telah terpisah kepada keluarga masing-masing

8. Menghantar surat permohonan maaf dan bertaubat kepada semua pihak atau individu yang GISB pernah melakukan kesilapan dan kesalahan terhadap mereka

9. Akan beramal dan menerima amalan seperti wirid, zikir dan amalan tambahan lain yang disahkan oleh atau dari pihak yang mempunyai kelayakan seperti Jakim, Jais dan lain-lain.

10. GISB akan berusaha agar semua langkah-langkah tersebut dapat dihebahkan melalui media massa seperti TV dan akhbar-akhbar utama di Malaysia.

Sebahagian daripada langkah tersebut telah pun dilaksanakan. Manakala sebahagiannya sedang diusahakan dengan serius secara berperingkat-peringkat.





DOA KAMI:
"Wahai Tuhan Yang Maha Mengetahui lagi Maha Menerima Taubat hamba-hambaNya. Terimalah taubat kami kali ini dengan sebenar-benar penerimaan. Memang kami mengakui bahawa kami sering tersalah dan tersilap terhadap Engkau wahai Tuhan, kami sering kali tersalah dalam berfikir, berpendirian dan bersikap. Maka sudilah kiranya Engkau maafkan segala kelemahan kami dan Engkau ampunilah dosa-dosa kami wahai Tuhan Yang Maha Pengampun. Amin Ya Rabbal 'alamin."

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text