Banjir: Tiada istilah keluarga diraja
KUANTAN – Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sanggup menahan kesejukan merintangi air bersama mangsa banjir lain ke pusat pemindahan selain menyingsing lengan menyediakan hidangan untuk mangsa terlibat. Foto Sinar Harian Online
Baginda menghabiskan masa lebih tiga jam bergotong-royong memasak kepada ribuan mangsa banjir di Stadium Sukpa, Wisma Belia Indera Mahkota, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Rangin, SMK Sungai Isap Murni dan Sekolah Kebangsaan Kampong Belukar.
Bagaimanapun, baginda sedih kerana ada yang tidak bersyukur dengan penerimaan rezeki yang diberikan selain kurangnya disiplin walaupun dari golongan dewasa.
“Saya dapati ada yang tidak mengucapkan terima kasih dengan apa yang mereka nikmati manakala orang dewasa pula tidak menunjukkan disiplin yang baik.
“Mereka sepatutnya beratur dan bukannya tergesa-gesa, menolak antara satu sama lain untuk mendapatkan makanan yang dihidangkan seolah-olah tidak boleh berpeluang untuk menikmati hidangan,” katanya.
Justeru, baginda mahu polis atau tentera mengawal tingkah laku mereka dengan mendahulukan warga emas dan kanak-kanak kerana percaya golongan belia tidak kelaparan seperti negara lain yang turut ditimpa bencana.
“Mangsa juga harus pandai mengucapkan ‘terima kasih’ kepada mereka yang membantu dan kerajaan yang menyediakan pusat pemindahan dan semua keperluan sepanjang mereka berada di pusat pemindahan berkenaan,” katanya.
Sebagai keluarga diraja yang mementingkan kesihatan rakyat, Tunku Azizah turut menekankan aspek menjaga kebersihan di lokasi mereka ditempatkan.
0 ulasan:
Catat Ulasan