Social Icons

Sabtu, 7 Disember 2013

Mengendalikan Anak-anak Semasa Musim Cuti Panjang

Sekarang, cuti persekolahan akhir tahun untuk semua sekolah di Malaysia. Lebih 40 hari anak-anak akan berada di rumah masing-masing yang jika selama ini tinggal di asrama. Atau bagi yang berulang ke sekolah, masa penuh sepanjang hari tidak lagi sibuk dengan aktiviti belajar atau ke sekolah. Disiplin sekolah atau asrama sudah tidak lagi mengikat mereka.

Samada mereka tinggal di asrama atau di rumah, suasana mereka tidak banyak berbeda. Cuma mungkin masa anak-anak tersebut - jika tidak dikawal akan banyak berada di luar rumah bersama kawan-kawan. Inilah yang merunsingkan kebanyakan ibu bapa.

Anak-anak yang tinggal di asrama akan berada di rumah dengan suasana yang berbeda. Situasi asrama tentulah tidak sama dengan apa yang ada di rumah. Sistem tarbiyah dan disiplin asrama itu dikatakan berjaya jika ianya kekal di dalam diri anak-anak walaupun sudah berada di rumah. Jika ibubapa bertanggung jawab, disiplin asrama itulah juga disiplin di rumah. Suasana tarbiyah Islamiah sepatutnya wujud di dalam setiap rumah tangga muslim.

Banyak perkara yang mesti diberi perhatian ibubapa apabila anak-anak pulang bercuti. Mereka mesti pastikan disiplin di asrama itu juga dipatuhi di rumah. Kegagalan menangani anak-anak semasa musim cuti inilah yang akan menggagalkan seluruh usaha membina mereka menjadi seorang yang diharap-harapkan. Menyesal kemudian tidak berguna.

Apa yang diterapkan di asrama - mendidik mereka untuk takut setakut-takutnya kepada Allah dan rindu serindu-rindunya kepada Nabi saw adalah suatu yang bukan mudah. Bahkan anak-anak itu belumlah lagi mempunyai rasa takutkan Allah sehingga gementar hatinya. Ianya satu rasa yang tidak ada bedanya dengan para guru dan pemimpin mereka. Semuanya sedang bertatih mendapatkan rasa yang sangat agung itu.

Maka dalam keadaan hati masing-masing yang belum kuat terikat dengan Tuhan, kepungan suasana seperti di asrama mestilah diwujudkan untuk anak-anak semasa di rumah. Malangnya inilah yang tidak ada pada kebanyakan keluarga. Apatah lagi jika ibu ayah sibuk bekerja. Walaupun masa cuti, ibubapa akan terus bekerja. Bagi yang susah, hidup mesti bekerja. Ruang masa untuk melihat dan memerhati atau mendidik anak sangat terbatas. 

Akhirnya anak-anak terpaksa di lepaskan ke luar rumah. Bermain dan bergaul dengan rakan-rakan dan anak-anak jiran. Kerosakan anak jiran akan terpindah menular kepada anak-anak di rumah. (Wal'iyazubillah!!). Lihatlah apa yang sedang dikuasai anak-anak zaman ini. Mereka mempunyai keupayaan meneroka alam siber di segenap ruang. Kalau sudah menonton tv pun sudah banyak perkara yang merosakkan apatah lagi jika anak-anak itu sudah dibenarkan menggunakan internet samada di rumah atau di cafe siber atau menggunakan telipon bimbit. 

Kerosakan daripada perkara sebegini sudah sangat dimengerti oleh kita semua. Soalnya bagaimana menyelamatkan keadaan? Dilema ini berpanjangan di kalangan ibu bapa yang prihatin dan bersungguh-sungguh mengawal anak mereka. Ada ramai pula yang tersilap. Mengelak anak daripada bergaul dengan kawan-kawan di luar, mendorong ibubapa menyorongkan i-pad dan laptop untuk anak-anak bermain permainan komputer - di dalam bilik mereka. Anak yang belum matang tapi sudah diberi 'pisau'!! Bayangkan hasilnya!!


Kelengahan ibubapa mengawasi anak-anak hanya dalam masa beberapa hari sahaja akan mengakibatkan penyesalan seumur hidup. Membiarkan anak-anak terbiasa dengan 'apa yang dia mahu' akan mengakibatkannya ketagih dengan hal tersebut. Budak sekolah rendah rata-rata sekarang, belajar menghisap rokok di musim cuti sekolah - hasil pergaulan dengan rakan-rakan!!

Jadi perlulah semua pihak mengusahakan persekitaran tarbiyah untuk anak-anak sepanjang masa. Kalau boleh 'asramakan' anak-anak di mana-mana institusi bagi menyelamatkan keadaan. Beri ruang untuk anak tersebut tumbuh membesar dalam persekitaran solat berjemaah, ada tarbiyah rohaniah, berdisiplin serta beraktiviti musim cuti yang bermanfaat. 


Anda semua boleh hubungi kami di Yayasan Kebajikan Dan Perkhidmatan Perubatan Malaysia (YKPPM) untuk membantu merencanakan masa cuti yang terbaik untuk anak-anak anda. Ingatlah anak-anak kita adalah aset keluarga, agama, bangsa dan tanah air yang tercinta. Mari kita corakkan mereka dengan sebaik-baik akhlak dan seindah-indah kemuliaan peribadi.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text