Social Icons

Rabu, 18 Disember 2013

Kisah Mengejutkan Anak-Anak Di Sekolah Rendah

Susahnya menghadapi situasi masyarakat yang sudah rosak. Kerosakan ada di mana-mana. Sukar dan sulit kita mengelak daripada terperangkap dalam kancah kerosakan. Tanpa pimpinan dan kekuatan iman, mudah sangat seseorang itu tergelincir dan gagal. 

Jika orang dewasa pun mudah tersasar dan tersilap apatah lagi kanak-kanak kecil yang masih mentah. Sebab itu persekitaran sangat perlu diawasi. Menjaga suasana rumah tangga dan masyarakat sangatlah utama dalam membentuk watak dan tingkah laku anak-anak. Mereka hidup bersama kita. Mereka akan mengikut apa saja tingkah laku kita.

Jika komuniti di sekelilingnya mengutamakan solat lima waktu, anak-anak itu juga akan terdidik untuk mendahulukan solat dalam aktiviti harian mereka. Jika masyarakat dewasa berakhlak mulia, berkasih sayang dan mengutamakan Tuhan, nescaya anak-anak juga akan terikut dengan apa yang dijalani orang yang lebih dewasa di sekeliling mereka. 

Pak Lang terkejut mendengar kisah seorang ibu bercerita tentang anaknya yang masih di sekolah rendah. Walaupun baru di tahun 5, anak ini rupanya sudah memahami banyak perkara. Cuma anaknya itu terdidik dengan didikan rohaniah dari keluarganya. Dia tahu menilai baik buruk apa yang dihadapinya dan setakat ini masih berupaya mengelak diri dari terjebak.

Dia mengadu pada ibunya dengan apa yang dilihatnya di dalam kelasnya setiap hari. "Mak! kawan-kawan kite kat sekolah kan, main cinta-cinta tau!! Masing-masing ada pak wenya" "Wah! berderau darah saya Ustaz!!" ujar siibu pada Pak Lang. "Anak saya beritahu, setiap kali guru keluar kelas, sementara menanti guru lain masuk, murid-murid lelaki perempuan bertukar-tukar surat 'cinta'. Baling membaling gulungan kertas sesama mereka. Apa nak jadi pada budak-budak sekarang ni! Kecik-kecik pun sudah pandai hal macam tu!"

"Anak puan macamana? Joint sekali ke tak?"  Tanya saya ingin tahu selanjutnya.

"Tapi Alhamdulillah Ustaz!! Anak saya tak suka hal-hal sebegitu. Dia warak Ustaz, dia takut dosa. Bila saya tanya dia kenapa kawan-kawannya berbuat hal-hal yang seperti itu, Ustaz tahu apa anak saya jawab? 

"Apa jawabnya?" Pak Lang teruja sangat hendak tahu.

"Anak saya jawab; "mereka tidak takut Tuhan!" Jawabnya penuh syukur. 

Apa yang sedang menular di peringkat anak-anak sekolah rendah itu sudah tentu sangat mengejutkan. Pak Lang pun terperanjat. Sudah kroniklah masalahnya. Pak Lang sendiri pernah diberitahu oleh seorang bapa pelajar bahawa kebanyakan tandas di sekolah rendah sudah seperti tandas awam di Puduraya atau lebuhraya. Lakaran-lakaran yang memalukan ada di mana-mana. Kalau tandas di sekolah menengah tentu lebih dahsyat lagi!!

Cerita siibu sangatlah menginsafkan. Rupanya bukan mudah mendidik anak di zaman ini. Jika kita sudah berhempas pulas melakukannya di rumah, di luar rumah pula mereka dapat hal-hal yang tidak elok. Bagaimana masyarakat umum dapat melepasi keadaan ini? Semuanya terperangkap dalam kemelut sosial yang mencengkam. 

Itu belum lagi dilihat pada sudut lain. Merokok pun sudah jadi isu biasa di sekolah rendah apatah lagi ponteng sekolah dan menyelinap masuk ke siber kafe!! Ya! segalanya tergantung pada didikan dan pengawasan. Inilah dilema masyarakat umum. Menghantar anak untuk dijaga orang lain seperti 'rumah transit' memerlukan perbelanjaan. Ianya tidaklah mudah bagi keluarga yang pendapatannya hanya secukupnya sahaja.

Yayasan kebajikan Dan perkhidmatan Perubatan Malaysia (YKPPM) sangat memahami situasi yang sedang masyarakat umum hadapi ini. Insya Allah akan sampai masanya YKPPM berupaya menjadi penaung dan pembela golongan yang terhimpit kesusahan sebegini rupa. Tuhan pasti ada cara menyelamatkan anak bangsa Melayu Islam di negara yang tercinta ini.

Untuk itu, buat masa ini, YKPPM akan terus berusaha memastikan berlakunya didikan anak-anak di asrama-asrama yang dinaunginya. Mereka sudah difahamkan tentang akhlak mulia dan budaya hidup anak soleh. Jika ada hal negatif berlaku di sekolah, anak-anak ini akan segera mengadu kepada ibu bapa dan penjaganya di asrama. Kalau perlu di buat aduan kepada pihak sekolah, kenalah dibuat aduan. Cemasnya keadaan ini bagi mereka yang sangat sensitif jiwanya dengan Tuhan.

Apa-apa pun, YKPMM sedang dalam proses mendaftarkan semua sekolah di bawah naungannya samada di peringkat rendah dan menengah di bawah Jabatan Agama Negeri-negeri. Biarlah semuanya terdidik dalam semua sudut, sepanjang hari di bawah didikan guru-guru yang mengutamakan Allah dan Rasul. Sekurang-kurangnya jika berada di bawah pengawasan Bahagian Pendidikan Islam Jabatan Agama, sekolah-sekolah YKPPM akan dapat merealisasikan didikan Islam yang secukupnya untuk mereka. 

Inilah harapan kami di YKPPM dalam membantu masyarakat umum. Permintaan masyarakat untuk menghantar anak-anak bagi dididik di sekolah-sekolah YKPPM sedang makin meningkat. Harapannya agar semua anak-anak dapat diselamatkan daripada terdedah dengan unsur-unsur negatif di dalam masyarakat yang sudah rosak. Berdoalah! agar kita, anak-anak, keluarga dan masyarakat mendapat kesedaran untuk kembali kepada Tuhan dan merindui Baginda Nabi saw. Inilah asas untuk kejayaan dan keselamatan kita.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text