Yayasan Kebajikan Dan Perkhidmatan Perubatan Malaysia (YKPPM) hari ini menghantar sukarelawannya seramai 50 orang ke Pahang. Mereka bertolak dari Bandar Country Homes, Rawang pada malam tadi. Selebihnya adalah mereka yang sedia ada di negeri Pahang.
Tujuan penghantaran sukarelawan ini ialah untuk membantu seramai mungkin mangsa banjir terutama penduduk yang tercicir dari menerima bantuan. Kemungkinannya memang ada terutama penduduk luar bandar yang hidup jauh di pedalaman. Ketika banjir berlaku, ada yang hanya diselamatkan atau dipindahkan di saat akhir. Pasukan bantuan pastinya berusaha membantu mangsa yang berdekatan dengan jalan utama atau bandar utama terlebih dahulu.
Kita yakin kerajaan negeri dan persekutuan melalui jabatan dan agensi yang berkaitan telah dan akan memberikan khidmat yang terbaik kepada semua mangsa banjir - tanpa mengira latar belakang pegangan agama atau politik. Setakat ini - menurut lapuran media, semua usaha membantu mangsa banjir berjalan lancar dan tersusun.
YKPPM wajar menghantar sukarelawannya ketika ini bagi membantu bergotong royong bersama masyarakat membersihkan rumah dan peralatan masing-masing. Kerjanya tentu sangat memenatkan. Jika perlu, sukarelawan akan membantu menyediakan makanan untuk mereka yang sudah pasti kehilangan stok barangan basah atau kering. Kalaupun barangan tersebut masih ada tentulah sudah rosak atau tercemar.
Umumnya setiap keluarga akan bergelut dengan kerja-kerja mengutip barangan atau kelengkapan rumah yang masih boleh digunakan. Biasanya semua sudah tidak boleh dimanfaatkan lagi. Apatah lagi jika rumah sudah ditenggelami air lumpur di paras bumbung, apakah lagi yang tinggal? Kadang-kadang struktur rumah pun sudah mula retak, rosak atau membahayakan. Semuanya memerlukan bantuan wang ringgit yang tidak sedikit.
Bulan Disember adalah bulan hujan turun lebat - musim tengkujuh - terutama di pantai timur. Bulan Disember juga adalah bulan semua keluarga mengawal kewangan masing-masing untuk digunakan bagi persediaan pelajaran anak-anak di awal Januari. Bagi mangsa banjir, hal ini sangat menghantui mereka. Inilah dilema dan kesulitan perit golongan berpendapatan rendah.
Banjir sudah mula pulih walaupun masih ada kebimbangan berlakunya gelombang kedua seperti yang diwar-warkan. Orang ramai sudah mula dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing. Walaupun masih khuatir, mereka tidak ada pilihan. Banyak hal yang perlu diuruskan terutamanya menyelamatkan barang-barang dari terus rosak terendam di dalam air atau lumpur. Lagi cepat pulang ke rumah, lagi cepatlah usaha ini dapat dibuat.
Paling tidak, rumah kena dibersihkan dahulu. Apa juga kerosakan, tentulah perlu di baiki. Itupun jika tidak memerlukan kos yang banyak. Kalau melibatkan wang yang banyak, dari mana pula hendak didapatkannya? Bantuan untuk mangsa banjir setakat yang diumumkan hanya RM500.00 bagi satu keluarga!! Jumlahnya tersangat sedikit berbanding dengan bebanan yang berat ekoran banjir.
Itupun sudah ada keraguan, bagaimana penyaluran bantuan kewangan seterusnya. Adakah mengulangi kekecewaan mangsa banjir atau bencana alam sebelum ini yang banyak diperkatakan dalam media sosial. Adakah berlaku ketirisan, kebocoran atau pilih kasih. Persepsi masyarakat sudah melekat dengan stigma sebegini. Orang ramai tidak boleh dipersalahkan. Mereka ada mata untuk melihat, ada telinga untuk mendengar, ada hati untuk merasa dan ada rakan taulan yang akan bercerita.
Harapnya para pemimpin kerajaan negeri dapat pastikan semua mangsa banjir menerima bantuan secukup-cukup dan seadil-adilnya.

0 ulasan:
Catat Ulasan