Social Icons

Selasa, 24 Februari 2015

Diabetes Penyakit Mahal

Sumber: myMetro
Oleh: Norlaila Hamima Jamaluddin

Dalam menangani dan menguruskan diabetes ada satu perkara penting yang mesti ada pada setiap pesakit iaitu kesediaan untuk berubah. Ya, berubah demi kebaikan diri sendiri kerana anda tahu mengawal paras gula supaya sentiasa berada dalam julat ‘normal’ bagi pesakit diabetes bukan kerja mudah.

Memang ambil ubat dan atur makan, tetapi apabila diperiksa paras gula tetap meragam. Tidak hairanlah jika saranan untuk memeriksa paras gula sebanyak tiga kali sehari kadangkala boleh buat pesakit kecewa, geram dan sakit hati kerana berasakan usaha yang dilakukan tidak berhasil.

Mengurus dan me­ngawal diabetes perlukan pendekatan menyeluruh bukan sekadar telan ubat dan kawal makan semata-mata. Ia perlu dilengkapkan dengan aktiviti fizikal atau bersenam setiap hari, sekurang-kurangnya berjalan selama 20 hingga 30 minit.

Kalau tidak mampu dilakukan dalam satu sesi, bolehlah dibahagikan kepada dua atau tiga sesi (10 minit bagi setiap sesi) namun kita perlu amanah dalam melaksanakan tang­gungjawab terhadap diri sendiri ini kerana tanpa kesungguhan, kebarangkalian atau kecenderungan untuk ‘ponteng’ bersenam amat tinggi.

MICHAEL Hirst dedahkan beban diabetes di seluruh dunia semakin meningkat.

Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2011 mendapati jumlah pesakit diabetes di Malaysia meningkat 31 peratus dalam tempoh lima tahun ­daripada 11.6 peratus pada 2006 kepada 15.2 peratus. Ini bermakna lebih kurang 2.6 juta rakyat negara ini yang berusia 18 tahun ke atas menghidap kencing manis.

Itu data yang dikutip dari 2006 hingga 2011. Jika diperhatikan pada gaya hidup penduduk, tidak mustahil jika berlaku pertambahan deras pada jumlah pesakit diabetes.

Menurut Presiden Yayasan Diabetes Antarabangsa, Sir Michael Hirst, di seluruh dunia ada 382 juta penghidap diabetes namun jumlah sebenar dianggarkan lebih tinggi kerana masih ramai yang tidak menyedari menghidap penyakit ini.

Jumlah ini dijangka akan bertambah 55 peratus kepada 592 juta pada 2035 jika langkah pencegahan tidak diambil sekarang. Jumlah pesakit diabetes di Asia Tenggara juga tidak kurang hebatnya kerana kini sudah menjengah ke angka 72 juta.

Paling membimbangkan ialah 50 peratus kes tidak dikesan atau pesakit tidak sedar mereka menghidap diabetes. Ramai pesakit hanya menjengah hospital selepas mendapat serangan jantung - antara komplikasi diabetes yang menakutkan. Tahukah anda, apabila ada diabetes, komplikasi penyakit lain yang berkaitan biasanya lebih teruk berbanding mereka yang tiada diabetes.

“Kira-kira 86 peratus pesakit diabes muda (dalam lingkungan umur bekerja) tinggal di negara berpendapatan rendah dan sederhana. Pakar perubatan mengakui diabetes bukan sekadar satu penyakit tetapi ia adalah masalah yang bercabang-cabang kerana ia boleh menjadi pencetus kepada pelbagai penyakit lain.

“Tidak dinafikan diabetes satu penyakit yang mahal. Kos rawatan diabetes di seluruh dunia berjumlah ASD548 bilion (RM1,786) pada tahun lalu dan dijangka akan melebihi ASD627 bilion menjelang 2035.

“Dianggarkan satu kes baru dikesan bagi setiap tiga saat dan satu kematian akibat diabetes berlaku setiap enam saat. Dalam setiap 20 saat, satu kaki pesakit dipotong dan sebanyak 5.1 juta kematian yang berkaitan dengan penyakit ini dicatatkan pada 2013. Angka ini lebih tinggi jika dibandingkan dengan gabungan jumlah kematian akibat HIV, TB dan malaria,” katanya pada beng­kel Cities Changing Diabetes dan STENO Reach Project di Pusat Latihan Novo Nordisk di Copenhagen, Denmark baru-baru ini.

Katanya, dianggarkan 12 peratus daripada bajet penjagaan kesihatan setiap negara digunakan bagi menampung kos kematian akibat diabetes. Namun kos rawatan komplikasi akibat diabetes jauh lebih besar contohnya jika kaki pesakit terpaksa dipotong (amputasi) atau apabila mendapat serangan jantung. Itu belum masuk masalah kerosakan saraf dan buta akibat diabetes.

Kehadiran diabetes juga memberi kesan besar kepada seluruh isi rumah terutama jika pesakit adalah pe­nyumbang utama pendapatan keluarga. Jadi, untuk mengelak daripada menjadi beban keluarga, pesakit perlu bersedia dan bertekad untuk berubah dengan me­ngambil ubat, kawal pemakanan dan mesti rajin bersenam.

Jika ada ada sejarah diabetes dalam keluarga, kita perlu lebih berwaspada dan usah berkira untuk menjalani ujian darah. Ujian mudah yang hanya mengambil masa beberapa minit itu sudah memadai untuk mengetahui paras gula darah kita. Bersyukurlah jika keputusan­nya normal tetapi jika catatan paras gula darah kita tinggi, mulakan usaha me­ngubah gaya hidup kita dari sekarang.

‘Cities Changing Diabetes’

Dalam mengubah senario diabetes yang kini sudah menjadi wabak dunia, pengeluar insulin terbesar dunia, Novo Nordisk menjalankan program sejagat ‘Cities Changing Diabetes’ yang dilancarkan di Mexico City pada 28 Mac lalu.

Tujuan utamanya adalah untuk mengekang pening­katan diabetes di kota besar di seluruh dunia dan Copenhagen menjadi bandar kedua menyertai program ini. Penyertaan Copenhagen dalam program ini sangat signifikan memandangkan 89 peratus pesakit diabetes di Denmark tinggal di bandar itu dan ia akan diperluaskan di bandar lain di Amerika Utara serta Asia tidak lama lagi.

Antara yang dimuatkan dalam program ini adalah perluasan maklumat mengenai diabetes dan pendidikan bagi memperkasakan ­pesakit di kota khususnya untuk menangani penyakit mereka serta perubahan gaya hidup yang perlu dilakukan.

Menurut Naib Presiden Eksekutif Novo Nordisk A/S, Lise Kingo, di seluruh dunia didapati dua daripada tiga pesakit diabetes tinggal di kota. Melalui program ini mereka berharap akan merangsang pembabitan bandar lain untuk saling bekerjasama mencari penyelesaian kepada cabaran diabetes di kota.

Bagaimana bandar me­ngubah kehidupan kita? Pembangunan bandar me­nyebabkan penduduk kota sangat bergantung kepada penggunaan kenderaan hatta untuk ke kedai runcit yang hanya beberapa puluh meter dari rumah.

Kemunculan pelbagai restoran malah ada yang beroperasi 24 jam sehari merancakkan lagi budaya makan tanpa mengira waktu dalam kalangan penduduk kota selain kurangnya keghairahan terhadap aktiviti cergas menyumbang kepada masalah obesiti. Kajian menunjukkan jumlah penduduk gemuk dan obes di bandar besar di China tujuh kali lebih tinggi berbanding di desa.

Ini adalah antara faktor yang membuatkan warga kota mempunyai kebarangkalian dua hingga lima kali lebih tinggi untuk mendapat diabetes berbanding penduduk desa. Di seluruh dunia, kira-kira 64 peratus pesakit diabetes yang membabitkan jumlah 246 juta orang tinggal di kota.

Ada banyak sebab mengapa peningkatan diabetes menjadi beban dunia, tetapi dua yang paling utama ialah: 

• Kesannya kepada individu (pesakit) - Walaupun penjagaan diabetes semakin bertambah baik tetapi komplikasi diabetes itu tetap memberi kesan yang teruk. Diabetes yang tidak terkawal boleh menyebabkan pesakit hilang penglihatan (retinopati diabetes), ada risiko tiga kali lebih tinggi untuk mendapat serangan jantung dan mengalami kegagalan buah pinggang serta empat kali risiko diserang angin ahmar (strok). Malah diabetes tidak terkawal juga menjadi penyebab utama amputasi bukan trauma iaitu pemotongan kaki bukan kerana kemalangan.

• Kesan pada ekonomi dan kewangan - Ketika kebanyakan negara cuba mengurangkan peruntukan penjagaan kesihatan, kos rawatan untuk penyakit ini semakin bertambah. Ia sememangnya menjadi beban kepada kebanyakan kerajaan khususnya di negara berpendapatan sederhana dan rendah.

Sebagai langkah mula, kini pendidikan mengenai diabetes diberikan kepada kanak-kanak tadika berumur lima tahun. Memang ada yang bertanya tidakkah umur itu terlalu awal untuk didedahkan dengan ilmu mengenai diabetes. Tidak, malah kanak-kanak dilihat mempunyai potensi besar untuk mempengaruhi ibu bapa supaya beralih kepada gaya hidup sihat.

Jom Mama

Meskipun program Cities Changing Diabetes belum sampai ke Kuala Lumpur, tetapi projek pencegahan diabetes dalam kalangan wanita muda sudah pun berjalan sejak tahun lalu. Projek kendalian Novo Nordisk dengan kerjasama Kementerian Kesihatan itu turut disertai Pusat Diabetes Steno Denmark, Universiti Southampton (United Kingdom) dan Universiti Witwatersrand Johannesburg.

Naib Presiden Kemampanan Korporat Novo Nordisk, Susanne Stromer berkata, Malaysia dipilih untuk menjadi perintis kepada projek tiga tahun itu kerana semakin ramai penduduk negara ini menghidap diabetes.

“Tumpuan kami ialah pada wanita muda, khususnya yang baru berumah tangga dan bakal menjadi ibu supaya mereka kekal sihat serta tidak mengalami masalah diabetes ketika hamil. Pencegahan diabetes ketika hamil sangat penting untuk mengelakkan wanita mendapat penyakit ini apabila usianya meningkat kelak. Malah perubahan diet ketika hamil juga akan memberi kesan pada janin.

“Diabetes ketika hamil boleh dirawat melalui dua cara iaitu bersenam dan menjaga pemakanan atau diberi suntikan insulin. Biasanya ia hilang selepas bersalin tetapi apa yang dikhuatiri ialah adanya risiko untuk mendapat penyakit ini semula kemudian hari. Mung­kin ramai yang tidak tahu bahawa jika ibu mendapat diabetes ketika hamil, anak dalam kandungan juga berisiko untuk menghidap ­penyakit apabila dia besar nanti.

“Jika ibu makan banyak ketika hamil, anak dalam kandungan akan menerima banyak nutrien. Jika dilihat pada budaya makan di Malaysia, berkemungkinan besar selepas dilahirkan si bayi juga akan terdedah kepada banyak makanan sehinggalah dia besar.

“Corak pemakanan tidak sihat, banyak makan, mengamalkan gaya hidup santai (tidak aktif) dan sangat kurang bersenam akan mendekatkan golongan muda kepada diabetes jenis 2. Tidak hairanlah jika saban tahun semakin ramai golo­ngan muda mendapat diabetes jenis 2 yang dulunya hanya dihidapi oleh orang tua.

“Penduduk Malaysia sebenarnya menjalani perubahan diet yang ketara. Badan kita tidak boleh bertindak balas dan menyesuaikan jika perubahan ini berlaku terlalu pantas. Akibatnya berlakulah pelbagai masalah kesihatan yang berkaitan dengan makanan dan gaya hidup,” katanya.

Pengisian projek ini amat menarik kerana ia membabitkan pasangan muda khususnya wanita dalam usaha meningkatkan tahap kesihatan mereka sebelum dan sepanjang kehamilan. Ia tidak hanya mendedahkan pasangan muda terhadap ilmu terhadap penjagaan kesihatan malah turut memberi khidmat nasihat, panduan dan sokongan untuk mening­katkan atau memperbaiki aktiviti fizikal mereka.

Berdasarkan temubual dengan hampir 300 peserta perintis projek Jom Mama itu, Stromer berkata, secara teori kebanyakannya sedar dan tahu mengenai pemakanan serta gaya hidup sihat. Namun secara praktikalnya, pengetahuan itu hanya terpendam dalam dada dan tidak diamalkan.

Projek ini turut bertujuan mengumpul bukti bahawa program kesihatan sebelum hamil boleh mencegah diabetes apatah lagi negara kita mencatatkan pertambahan pesakit yang sangat pantas iaitu 31 peratus dalam tempoh lima tahun. Kajian mendapati tahap kesihatan wanita sebelum dan ketika hamil boleh mempengaruhi risiko anak untuk mendapat diabetes.

Usaha murni ini tentu saja tidak akan membuahkan hasil seperti diharapkan jika kita tidak mahu berubah. Stromer sendiri mengakui, cabaran untuk mencegah diabetes amat besar. Ia bukan kerja mudah namun tidak mustahil untuk dilakukan.

Kata Ketua Pegawai Perubatan Pusat Diabetes STENO, Dr Henrik Ullits Andersen, sehingga kini penawar diabetes masih belum ditemui. Ubat paling mujarab setakat ini ialah kerelaan hati dan kesungguhan untuk mengubah gaya hidup.

Bagi yang sudah mengambil insulin juga jangan kecewa kerana dengan bersenam secara konsisten dan serius dalam menjaga pemakanan, keperluan terhadap insulin akan berkurangan.

Malah Dr Andersen juga mengesahkan dengan bersenam dan menjaga pemakanan, ada kemungkinan yang tinggi untuk pesakit ­diabetes jenis 2 beralih daripada ­suntikan insulin kepada ubat makan (pil). Pun begitu ubat hanya mengawal penyakit, bukan menyembuh­kannya.

Walaupun ubat ajaib untuk menyembuhkan ­diabetes belum ada tetapi dia tidak menolak kemungkinan wujudnya penawar diabetes iaitu dengan kurangkan makan dan banyakkan berjalan. Saranan yang mudah diucap tapi amat payah dilaksanakan. Namun jika anda serius dan istiqamah melakukannya, ada kemung­kinan diabetes anda benar-benar ‘hilang’! 

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text