Social Icons

Ahad, 15 Februari 2015

Umat Islam Kehilangan Ulama Berwatak Rasul

Salah satu bencana yang menimpa umat Islam di akhir zaman ialah kematian atau ketiadaan ulama yang boleh dicontohi umat.

Kerosakan umat Islam adalah disebabkan ulama sudah tidak memainkan peranan selaku penasihat kepada para penguasa sebaliknya bertukar menjadi pemburu dunia. Ulama jenis ini takut menegakkan kebenaran berpunca dari penyakit cinta dunia dan takut mati yang semakin menebal dalam diri mereka.

Di akhir zaman, sudah sukar untuk umat Islam mendapatkan ulama yang mewarisi watak Rasul. Rasul memang tidak ada. Tetapi ulama yang mewarisi Rasul itu memang diperlukan setiap zaman.

Di kebanyakan masa dan tempat, kalau pun ada ulama, hanyalah yang berwatak Nabi. Ulama berwatak Nabi ini secara peribadinya memang baik, warak dan soleh. Mungkin beliau istiqomah dalam ibadah termasuk ibadah sunatnya banyak. Bangun malamnya tidak pernah tinggal. Sedekah dan pengorbanannya hebat. Ilmu dan dakwahnya juga tersebar. Sedikit sebanyak akhlaknya nampak lebih baik dari orang awam.

Ulama berwatak Nabi ini bagaimana pun tidak mempunyai kekuatan. Pengaruhnya sekadar mendapat sokongan dan peminat sahaja. Tidak ada pengikut yang setia dan sanggup berjuang seperti beliau. Maksudnya, kalau pun ada yang menyokong dan bersimpati tetapi tidak pun meniru dan mengamalkan seperti mana apa yang diamalkan oleh ulama tersebut.

Berlainan dan berbeza sekali dengan ulama berwatak Rasul. Ulama berwatak Rasul berjaya mendidik dan menjadikan pengikutnya mampu meniru dan mengamalkan seperti mana apa yang beliau perjuangkan. 

Jika beliau istiqamah dalam ibadah termasuk perkara-perkara sunat, begitu juga dengan pengikutnya. Jika beliau kuat berjuang dan berkorban untuk Islam, maka pengikutnya juga sanggup berjuang dan berkorban sama seperti beliau. Peribadi keluarga ulama jenis ini menjadi contoh dan ikutan para pengikut setianya. Malah para pengikut setianya akan sanggup menurut arahan ulama tersebut selagi tidak melanggar syariat. Inilah kelebihan dan kehebatan ulama berwatak Rasul.

Keberadaan ulama berwatak Rasul ditengah-tengah pengikut seperti keberadaan Rasul di tengah para sahabat. Kehidupan Rasulullah menjadi ikutan para sahabat dalam segala aspek. Iman, ilmu, ibadah, akhlak, perjuangan dan pengorbanan Rasul ditiru oleh sahabat-sahabatnya. Bahkan bagaimana Rasulullah mengatur rumah tangga dan kehidupan seharian, itu jugalah menjadi panduan langsung kepada sahabat dalam menyusun dan mengatur kehidupan mereka.

Kewujudan ulama berwatak Nabi tidak memberi kesan besar dalam kehidupan para penyokong dan simpatisannya. Tetapi keberadaan ulama berwatak Rasul sangat memberi kesan dan mencorak kehidupan para pengikutnya. Pendek kata, ulama berwatak Nabi hanya ada penyokong, peminat dan para simpati. Tetapi ulama berwatak Rasul, selain mempunyai peminat, penyokong dan para simpati, tetapi dia juga memiliki pengikut yang setia dan sejiwa. Sebab itu ulama berwatak Rasul mampu mencipta sebuah jemaah yang menjadi model berbanding ulama berwatak Nabi.

Ulama berwatak Nabi sekadar meriah dalam kuliah dan ceramah. Tetapi tidak ada kekuatan untuk membina sebuah model kehidupan Islam. Oleh kerana tidak mampu membangunkan model dalam jemaah, maka mereka menyalahkan kononnya pemerintah menghalang usaha dan cita-cita mereka. Inilah kelemahan yang sangat ketara memimpa nasib umat Islam hari ini. Sukar melihat kelemahan diri sendiri tetapi sebaliknya mudah sahaja menyalahkan pihak lain terutamanya musuh politik mereka.

Kehilangan ulama berwatak Nabi hanya akan dirasai dalam satu jangka masa singkat. Tidak berapa lama, umat Islam kembali kepada kehidupan biasa. Tetapi kehilangan ulama berwatak Rasul, perjuangan tetap diteruskan dan kehidupan Islam dalam skala kecil sedaya upaya dipertahankan malah terus dikembangkan.

Umat Islam sebenarnya sangat perlukan ulama yang berwatak Rasul. Di saat Islam berhadapan dengan segala macam fitnah, hanya ulama yang berwatak Rasul sahaja mampu membawa umat Islam keluar dari kegelapan dan kesesatan. 

Sekadar ulama berwatak Nabi, umat Islam masih samar-samar menuju jalan kebenaran. Selain itu, ulama dunia yang mengejar dunia dan kebendaan tidak akan memberikan apa-apa harapan kepada umat Islam selain kekeliruan. Sebab itu Rasulullah memberi peringatan agar menjauhkan diri dari ulama suk, yakni ulama yang cinta dunia kerana “bau busuk”nya pun sudah cukup untuk merosakan agama kita.

Kredit Sumber: Blog Matahati

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Sample text

Sample Text

Sample Text