MESKIPUN para nabi dari kalangan manusia yang juga makan, minun, menikahi perempuan, berjalan-jalan di pasar-pasar, terdedah kepada gejala-gejala penyakit yang biasa dialami oleh manusia biasa seperti lemah, tua dan juga kematian, tetapi sesungguhnya mereka berbeza dengan pelbagai keistimewaan dan sifat-sifat agung serta mulia.
Sifat-sifat itu pula merupakan suatu yang amat lazim dan penting bagi mereka. Sifat-sifat mulia tersebut, secara ringkasnya adalah seperti siddiq (jujur), tabligh (menyampaikan), amanah, fathonah (bijaksana), bebas daripada keaiban yang membuatkan manusia lari daripadanya dan ismah (terpelihara daripada melakukan dosa).
Perbincangan tentang sifat-sifat dan keistimewaan penghulu segala rasul, Muhammad SAW adalah untuk membuktikan bahawa walaupun baginda adalah manusia tetapi sekali-kali tidak sama dengan manusia biasa. Kerana kesuntukan ruang, kita hanya akan menyentuhnya dengan ringkas sahaja.
l Rasulullah SAW melihat orang yang di belakangnya seperti melihat orang yang berada di hadapannya.
Diriwayatkan oleh al-Syaikhan (al-Bukhari dan Muslim) daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW bersabda: Adakah kamu dapat melihat Kiblatku di sini? Demi Allah! Rukuk dan sujud kamu tidak sekali-kali terselindung daripada penglihatanku. Sesungguhnya aku melihat kamu dari belakangku.
l Rasulullah SAW melihat dan mendengar apa yang kita tidak dapat lihat dan dengar.
Daripada Abu Zar berkata, Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya aku dapat melihat apa yang kamu tidak lihat dan aku mendengar apa yang kamu tidak dengar. Langit merintih dan memang ia mempunyai hak untuk merintih. Tidak ada padanya (langit itu) walau selebar empat jari melainkan ada malaikat meletakkan dahinya sujud kepada Allah. Demi Allah! Sekiranya kamu mengetahui apa yang aku ketahui, pasti kamu akan sedikit ketawa dan banyak menangis, kamu tidak akan bersedap-sedap dengan isteri-isteri di atas ranjang dan kamu pasti akan keluar menuju ke jalan-jalan untuk tunduk memohon pertolongan kepada Allah".
l Nabi Muhammad SAW terpelihara daripada menguap
Imam al-Bukhari meriwayatkan dalam al-Tarikh, dan Ibnu Abi Syaibah dalam al-Musannaf, serta Ibnu Sa'ad daripada Yazid ibn al-Asom, berkata: "Nabi Muhammad SAW tidak pernah menguap sama sekali."
l Peluh nabi SAW yang mulia
Imam Muslim meriwayatkan daripada Anas berkata: Rasulullah SAW pernah datang kepada kami lalu tidur sebentar (qailulah) di tempat kami. Baginda SAW berpeluh (semasa tidur). Ibuku datang membawa sebuah botol kaca lalu menadah peluh Rasulullah SAW yang mengalir itu. Rasulullah SAW pun terjaga lalu bersabda, "Wahai Ummu Sulaim! Apakah yang engkau lakukan?" Dia menjawab: "Peluh ini akan kita jadikan minyak wangi kita, ia adalah wangian yang paling harum!"
l Ketinggian Rasulullah SAW
Diriwayatkan oleh Ibnu Khaithamah di dalam Tarikhnya, Imam Baihaqi dan Ibnu 'Asakir, daripada Aisyah r.ha, beliau berkata:
"Rasulullah SAW tidak terlalu tinggi dan tidak pula terlalu rendah. Baginda SAW kelihatan berperawakan sederhana jika berjalan sendirian. Tiada seseorang yang berjalan bersama Rasulullah SAW (kelihatan) lebih tinggi, melainkan Baginda SAW melebihi ketinggian mereka.
"Jika ada dua orang lelaki yang tinggi bersamanya, Baginda SAW tetap kelihatan lebih tinggi daripada mereka. Tetapi, jika mereka berpisah darinya, Rasulullah SAW kelihatan berketinggian sederhana."
l Bayang-bayang Rasulullah SAW
Al-Hakim al-Tirmizi meriwayatkan daripada Zakwan: "Sesungguhnya Rasulullah SAW itu tidak mempunyai bayang-bayang sama ada ketika berada di bawah sinar matahari, mahupun bulan."
l Terhindar daripada lalat
Al-Qadhi 'Iyadh menyebut di dalam al-Syifa, dan al-'Azafi dalam Maulidnya: "Di antara keistimewaan Nabi Muhammad SAW, lalat tidak pernah menghinggapi baginda."
Ia juga disebutkan oleh Ibnu Sabu' dalam al-Khasa'is, dengan lafaz: "Sesungguhnya lalat tidak pernah hinggap pada pakaiannya."
Beliau menambah: "Sesungguhnya di antara keistimewaan Rasulullah SAW, kutu tidak pernah menggigitnya."
l Darah Rasulullah
Diriwayatkan oleh al-Bazzar, Abu Ya'la, al Tabrani, al Hakim dan al Baihaqi daripada Abdullah ibn al Zubair: "Bahawa dia pernah datang menemui Rasulullah SAW ketika sedang dibekam. Setelah selesai dibekam, Rasulullah SAW pun bersabda, "Wahai Abdullah! Pergilah kamu dengan membawa darah ini dan buanglah ia di suatu tempat yang tiada sesiapa pun melihat kamu."
Tetapi dia meminum darah itu. Apabila pulang, Rasulullah SAW bertanya: "Wahai Abdullah! Apakah yang telah kamu lakukan (terhadap darahku itu)?"
Jawabnya: "Aku telah meletakkannya di tempat yang tersorok yang aku ketahui ia sememangnya tersembunyi daripada pengetahuan orang."
Rasulullah SAW bersabda: "Kemungkinan kamu telah meminumnya". Kataku, "Ya!" Rasulullah SAW bersabda: "Celakalah manusia daripada kamu dan terselamatlah kamu daripada manusia."
Maka mereka berpendapat kekuatan Abdullah r.a adalah disebabkan dari darah yang diminumnya itu.
l Tidur Rasulullah SAW
Dikeluarkan oleh al-Bukhari dan Muslim, daripada Sayyidah Aisyah bertanya kepada baginda: "Wahai Rasulullah! Adakah kamu akan tidur sebelum solat witir?
Maka jawab Rasulullah SAW: "Wahai Aisyah! Kedua mataku tidur tetapi hatiku tidak tidur".
Kesimpulan yang kita perolehi dalam perbincangan ini, ternyata keistimewaan Nabi Muhammad SAW adalah sangat banyak.
Tidak dinafikan bahawa sebahagian hadis yang dipetik dalam bab ini diperselisihkan oleh ulama, kerana sebahagian mereka menilai bahawa hadis-hadis mengenainya adalah sahih dan sebahagian ulama yang lain melihat ia tidak sahih.
Oleh yang demikian, ia termasuk di dalam permasalahan khilafiah. Tetapi jika dinilai secara menyeluruh masih tidak menafikan kesimpulan bahawa Nabi kita dan para nabi adalah manusia-manusia yang istimewa dan bukannya manusia biasa.
Artikel di atas adalah tulisan atas tajuk:
Nabi manusia istimewa
© Utusan Melayu (M) Bhd
0 ulasan:
Catat Ulasan